Topik diikuti
Pergi ke BHkuFirma akaun Melayu/Islam raih status ‘superhero’ Xero
Firma akaun Melayu/Islam raih status ‘superhero’ Xero
Usaha bantu lebih 100 syarikat setahun untuk bina ekosistem aplikasi bersepadu, tingkat daya penghasilan
Firma akaun Melayu/Islam raih status ‘superhero’ Xero
Bagi kebanyakan syarikat kecil dan sederhana (SME), penggunaan alat digital bukan lagi cabaran utama, sebaliknya terletak pada cara menggunakannya secara berkesan.
Ia sering kali tidak disepadukan sepenuhnya dalam proses membuat keputusan harian syarikat meskipun satu sistem telah dilaksanakan.
Khususnya, platform perakaunan sering dilihat sebagai alat yang berdiri sendiri, bukannya disepadukan dengan sistem gaji, pengurusan pelanggan dan analitik, sekali gus mengehadkan potensi penuh pendigitalan.
Oleh itu, pengasas firma perakaunan dan penasihat digital Accounting Superhero, Encik Mohamed Fazluddin Mohd Hanipah, 47 tahun, menjadikan usaha merapatkan jurang ini sebagai misinya dengan membimbing SME melangkaui sekadar sistem perakaunan.
“Semasa proses suai tugas (pendigitalan), tumpuan utama biasanya diberikan kepada latihan pasukan kewangan untuk menggunakan platform seperti Xero.
“Namun, apabila sistem sudah berjalan lancar, banyak SME berhenti setakat itu sahaja dan tidak memperluaskan penggunaan merentasi pertubuhan.
“Misalnya, perniagaan makanan dan minuman (F&B) yang mempunyai beberapa cawangan boleh meraih manfaat daripada penggunaan alat sumber manusia (HR) seperti teknologi geolokasi atau pengecaman wajah untuk kesan kehadiran seseorang,” kongsi usahawan itu kepada Berita Harian (BH).
Dalam merapatkan jurang ini, Accounting Superhero menawarkan pakej nasihat Ketua Pegawai Kewangan (CFO) serta strategi kewangan menggunakan wadah seperti Xero, satu platform perakaunan SME.
Langkah tersebut turut diperkukuh menerusi usaha memanfaatkan geran pemerintah seperti Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG), yang mana mereka menyediakan pakej pelaksanaan, latihan serta sokongan bagi membantu SME menyesuaikan sistem dengan lebih berkesan.
Menurut Encik Mohamed Fazluddin, firma tersebut telah membantu lebih 100 syarikat untuk menggunakan Xero saban tahun.
Ini termasuk perniagaan F&B seperti Abu Mubarak Mandi Rice dan institusi pendidikan seperti Brainy Bunch International Montessori.
Beliau turut membimbing SME menerusi platform bimbingan perniagaan miliknya, Monsters of the Deep.
“Setiap SME seharusnya mempunyai ekosistem aplikasi dan huraian mereka sendiri yang saling bersepadu dan berhubung antara satu sama lain, supaya lebih banyak urusan dapat diselesaikan dengan lebih cekap dan berkesan dari segi kos,” kongsinya, yang meraih Ijazah Kehormat dari Sekolah Perniagaan Dunster yang berpangkalan di Switzerland.
Usahanya itu akhirnya membuahkan hasil apabila Accounting Superhero mencapai kedudukan Rakan Kerjasama Platinum Xero, iaitu tahap tertinggi dalam Program Rakan Kerjasama Xero.
Firma tersebut merupakan salah satu daripada enam firma di Singapura yang meraih kedudukan tersebut, dan satu-satunya firma perakaunan Melayu/Islam.
“Dengan tempoh kami dalam industri dan melakukan perkara ini… anda akan menilai sama ada untuk meletakkan kepercayaan kepada kami sebagai sebuah vendor.
“Apabila kami diiktiraf sebagai Rakan Kerjasama Platinum, ia bermaksud terdapat lebih kepastian kami adalah pihak yang boleh dipercayai,” ujar beliau.
Sebelum ini, firma ini memegang kedudukan sebagai Rakan Kerjasama Emas Xero selama lapan tahun.
Pengurus Kejayaan Rakan Kerjasama Xero, Cik Esther Li, berkata: “Rakan Kerjasama Platinum lazimnya terdiri daripada firma yang menerajui pendigitalan dalam bidang perakaunan, daripada e-invois hingga aliran kerja berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Mereka sering dianggap sebagai bertahap emas apabila membincangkan teknologi, pematuhan, dan pertumbuhan merentas sempadan.
“Menjadi sebahagian kumpulan ini menunjukkan Accounting Superhero beroperasi pada tahap tertinggi dalam keupayaan perakaunan berasaskan awan,” ujar beliau.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abdul Malik Hassan, berkata pencapaian Accounting Superhero adalah pencapaian penting bagi masyarakat perniagaan Melayu/Islam secara keseluruhan kerana ia membina keyakinan, menetapkan kayu ukur lebih tinggi, serta menunjukkan apa yang mampu dicapai oleh perniagaan lain dalam masyarakat,
“Ia mencerminkan tahap kekaryawanan SME kita yang semakin meningkat, dengan lebih banyak perniagaan membina sistem, keupayaan dan nilai jangka panjang yang kukuh.
“Pengiktirafan pada tahap ini juga penting kerana ia membina keyakinan, menetapkan kayu ukur yang lebih tinggi, serta menunjukkan apa yang mampu dicapai oleh perniagaan lain dalam masyarakat,” katanya lagi.
