Topic followed successfully
Go to BHkuEnterpriseSG buka pejabat baru di Austin bantu syarikat S’pura berkembang di AS
EnterpriseSG buka pejabat baru di Austin bantu syarikat S’pura berkembang di AS
EnterpriseSG buka pejabat baru di Austin bantu syarikat S’pura berkembang di AS
Enterprise Singapore (EnterpriseSG) telah mengembangkan jejaknya di Amerika Syarikat dengan membuka pejabat baru di Austin, ibu kota negeri Texas, bagi membantu syarikat Singapura merebut peluang di pasaran kawasan tengah Amerika yang berkembang pesat.
Pusat Luar Negara Austin, yang dilancarkan pada 13 April waktu tempatan (14 April di Singapura), merupakan pusat luar negara keempat EnterpriseSG di Amerika,.
Pusat lain terletak di New York, Los Angeles dan San Francisco.
Pejabat baru itu akan membekalkan syarikat Singapura dengan maklumat pasaran terkini, rangkaian dan perkhidmatan rundingan bagi memudahkan pengembangan pasaran dan memupuk perkongsian rentas sempadan.
Ia juga dijangka menyokong syarikat Texas yang ingin berkembang ke Asia, dengan menggunakan Singapura sebagai pintu masuk.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, yang merasmikan pembukaan pejabat itu, berkata ketegangan geopolitik yang kian meruncing telah mendorong negara-negara untuk mengutamakan pengeluaran tempatan dan rantaian bekalan yang lebih berdikari.
“Tetapi bagi ekonomi seperti kita (Singapura) – terbuka, berhubung dan bergantung kepada perdagangan – berdikari bukanlah pilihan praktikal mahupun optimal.
“Ia akan menyempitkan akses kita kepada pasaran, mengehadkan peluang pertumbuhan dan akhirnya menjejas kemampuan kita untuk bertindak balas terhadap kejutan,” ujar Encik Gan.
Sebaliknya, Singapura perlu kekal terbuka dan membina perkongsian yang lebih erat dengan ekonomi yang dipercayai dan sehaluan, katanya kepada sekitar 90 wakil daripada agensi pemerintah, persatuan industri dan pelabur dari Amerika dan Singapura.
Menurut Encik Gan, Texas adalah pemimpin dalam bidang tenaga, daripada minyak dan gas hinggalah gas asli cecair (LNG).
Singapura pula merupakan hab sejagat terkemuka untuk perdagangan, penapisan dan pembiayaan tenaga.
Texas dan Singapura boleh bekerjasama dalam bidang pengeluaran, perdagangan, logistik dan peralihan kepada sistem tenaga yang lebih mampan, katanya.
Beliau turut berkata Texas semakin berkembang sebagai hab utama perkilangan canggih dalam bidang semikonduktor, elektronik dan sistem industri.
Terdapat juga potensi untuk menggabungkan skala Texas dengan kekuatan Singapura sebagai tapak perkilangan canggih – bukan sekadar tempat pengeluaran, bahkan sebagai pusat inovasi, pembangunan proses dan kegiatan bernilai tinggi, tambahnya.
Encik Gan memetik ST Engineering sebagai syarikat Singapura yang mempunyai kehadiran kukuh di Texas, dengan kemudahan aeroangkasa di San Antonio dan menggajikan lebih 5,000 pekerja di Amerika.
“Kehadiran ST Engineering di Texas bukan sahaja mengukuhkan negeri itu sebagai hab aeroangkasa terkemuka, bahkan turut mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk penduduk tempatan.”
“
“Tetapi bagi ekonomi seperti kita (Singapura) – terbuka, berhubung dan bergantung kepada perdagangan – berdikari bukanlah pilihan praktikal mahupun optimal. Ia akan menyempitkan akses kita kepada pasaran, mengehadkan peluang pertumbuhan dan akhirnya menjejas kemampuan kita untuk bertindak balas terhadap kejutan.”
