Eksport Singapura terus memacu pertumbuhan pada April, sekali gus mencatat pertumbuhan untuk bulan kelapan berturut-turut, meskipun berdepan dengan ketegangan di Iran.

Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) melonjak 24.5 peratus, melebihi unjuran pasaran yang diramal sekitar 11 peratus dan pertumbuhan sebanyak 15.3 peratus pada Mac.

Demikian menurut data yang dikeluarkan Enterprise Singapore pada 18 Mac.

Sektor elektronik menjadi nadi utama dengan lonjakan 66.7 peratus pada April, didorong permintaan tinggi terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI).

Penghantaran litar bersepadu naik 82.7 peratus, disusuli produk media cakera dengan 148.9 peratus dan komputer peribadi dengan 35.7 peratus.

Dalam pada itu, segmen bukan elektronik mengembang dengan pertumbuhan 10.9 peratus pada April, memulihkan prestasi selepas menguncup 0.6 peratus pada Mac.

Kenaikan itu diterajui sektor farmaseutikal yang bertambah 97.1 peratus, selain sumbangan mesin khusus (23.6 peratus) dan alat pengukur (60.5 peratus).

Eksport utama ke Amerika Syarikat berkembang pesat sebanyak 59.6 peratus, dipacu permintaan terhadap barangan farmaseutikal, produk media cakera serta peralatan pengukur tepat.

Pasaran China turut menyaksikan pengembangan 37.8 peratus menerusi penghantaran mesin khusus, emas bukan kewangan dan litar bersepadu.

Sementara itu, eksport ke Korea Selatan melonjak 71.2 peratus, didorong oleh keperluan kritikal terhadap komponen litar bersepadu, mesin khusus dan komputer.