Nilai dolar Australia melonjak ke tahap paling kukuh berbanding dolar Singapura dalam tempoh setahun. 

Peningkatan ini bakal memberi kesan kepada pelancong Singapura, pelajar di sana, mahupun mereka yang sering membeli barangan buatan Australia.

Trend kenaikan ini didorong oleh harga komoditi yang melambung serta jangkaan bahawa bank pusat Australia akan mengekalkan kadar faedah tinggi bagi tempoh lebih lama.

Dolar Australia didagangkan pada sekitar 91.12 sen Singapura pada 27 April, kurang sedikit berbanding paras tertinggi setahun iaitu 91.52 sen yang dicatatkan pada 17 April.

Mata wang tersebut telah meningkat 1.54 peratus berbanding dolar Singapura pada 2025, dan terus melonjak sebanyak 6.1 peratus setakat 2026, menurut data pakar analisis.

Dolar Australia yang lebih kukuh bermakna nilai mata wang Singapura menjadi lebih kecil, menjadikan kos pendidikan dan pelancongan ke Australia semakin mahal.

Pengukuhan mata wang Australia turut menyebabkan produk keluaran Australia seperti daging, produk tenusu, menjadi lebih mahal untuk diimport.

Pengguna mungkin mula merasakan tekanan ini sekiranya peruncit memilih untuk memindahkan kos import lebih tinggi itu kepada pembeli, jelas pakar strategi pertukaran asing Bank OCBC, Encik Christopher Wong.

Kekuatan dolar Australia sebahagian besarnya didorong oleh peranannya sebagai ‘mata wang komoditi’, dengan kenaikan harga bagi eksport utama Australia seperti gas asli, bijih besi, litium, dan emas telah meningkatkan permintaan terhadap mata wang negara tersebut.

Ketua Penyelidikan Pertukaran Asing di Maybank, Encik Saktiandi Supaat, menjelaskan bahawa sebagai pengeksport sumber asli, “Australia mendapat manfaat apabila harga minyak dan komoditi meningkat, berbeza dengan kebanyakan ekonomi lain yang bergantung kepada import tenaga”.

Beliau menambah bahawa dolar Australia disokong oleh syarat perdagangan lebih kukuh, di samping permintaan berterusan daripada China terhadap barangan eksport Australia.

Pada masa sama, Bank Pusat Australia mengekalkan kadar faedah pada tahap agak tinggi untuk menangani inflasi yang berpanjangan. 

Langkah ini menarik minat pelabur asing yang mencari pulangan lebih baik, sekali gus membantu mengekalkan kekuatan dolar Australia.

Ini menunjukkan bahawa walaupun dasar kewangan Singapura secara amnya menyokong pengukuhan dolar Singapura berbanding sekumpulan mata wang utama, nilainya masih boleh menyusut berbanding mata wang tertentu seperti dolar Australia apabila mata wang tersebut naik dipacu faktor dalamannya sendiri, jelas Encik Saktiandi.

Pada 14 April, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah memperketat pendirian dasar kewangannya buat kali pertama sejak 2022. 

Langkah ini diambil bagi membolehkan mata wang Singapura menjadi lebih kukuh untuk mengawal inflasi, susulan lonjakan harga minyak dan gas asli akibat perang di Iran.

Menurut pedagang jualan Saxo, Encik Sean Teo, dolar Australia akan terus kekal kukuh disebabkan jangkaan bahawa Bank Pusat Australia akan mengekalkan kadar faedah tinggi bagi tempoh lebih lama untuk mengekang inflasi yang berlarutan.

Sebagai perbandingan, Purata Kadar Faedah Semalaman Singapura (Sora) – penanda aras utama bagi kos pinjaman – berada pada sekitar 1 peratus, jauh lebih rendah berbanding kadar faedah Australia yang berada pada tahap sekitar 4 peratus.

Jurang perbezaan ini menjadikan dolar Australia lebih menarik bagi pelabur, kata Encik Teo.