Bank DBS telah menguruskan pembiayaan lebih $20 bilion untuk projek pusat data di seluruh Asia-Pasifik sepanjang 2025.

Ini penting, memandangkan permintaan luar biasa terhadap prasarana kecerdasan buatan (AI) – daripada pusat data sehingga kepada penghasilan semikonduktor – yang kini mula mencabar kemampuan pembiayaan bank tradisional.

Ketua global bahagian telekomunikasi, media dan teknologi di DBS, Encik Amit Sinha, menganggarkan perbelanjaan modal penyedia pengkomputeran awan utama (hyperscaler) seperti Google dan Microsoft, bersama pembekal mereka, mungkin mencapai AS$1 trilion (sekitar $1.28 trilion) pada 2026.

Kepesatan AI di seluruh dunia telah mendorong syarikat-syarikat besar ini meningkatkan perbelanjaan modal mereka sebanyak 70 hingga 80 peratus tahun demi tahun, jelas Encik Sinha.

Dengan pertumbuhan ini dijangka kekal pesat, Encik Sinha meramalkan perbelanjaan untuk pusat data akan melonjak antara AS$4 trilion dengan AS$7 trilion menjelang 2030.

Angka ini jauh mengatasi AS$375 bilion yang dicatatkan pada 2025.

Namun, apabila syarikat penyedia pengkomputeran awan utama ini mencari dana bagi menyokong cita-cita besar mereka, bank-bank terpaksa mengubah strategi dalam membiayai projek-projek sedemikian.

Bagi menguruskan risiko, pihak bank kini lebih kerap memilih kaedah pembiayaan bersama untuk membiayai projek berskala besar.

Pada 2025, DBS dan UOB telah berganding bahu menyalurkan pinjaman berjumlah 6.7 trilion rupiah (kira-kira $530 juta) untuk membiayai pembinaan pusat data di Batam.

Bank-bank lain, seperti OCBC dan Standard Chartered, turut rancak membiayai pembangunan pusat data di seluruh Asia kebelakangan ini.

Namun, Encik Sinha memberi isyarat bahawa jika perbelanjaan prasarana ini terus memuncak, bank-bank berisiko mencapai had pinjaman maksimum bagi setiap peminjam dan akhirnya kehabisan dana untuk pembiayaan baharu.

Bagi menangani kekangan ini di Amerika Syarikat, syarikat pengkomputeran awan utama mula beralih kepada kerangka kewangan yang lebih matang untuk menggunakan semula modal.

Instrumen ini merangkumi Sekuriti Sandaran Aset (ABS) dan Sekuriti Sandaran Gadai Janji Komersial (CMBS), di samping pasaran bon dengan penarafan rasmi (rated bond).

ABS ialah bon yang dicagarkan oleh pelbagai jenis pinjaman bukan gadai janji, manakala CMBS adalah sebahagian daripada ABS, yang dicagarkan khusus oleh gadai janji hartanah komersial.

Menurut Encik Sinha, meskipun kaedah ini lumrah di Amerika, ia masih jarang diamalkan di Asia.

Sebaliknya, rantau Asia lebih bersandar pada model dana amanah pelaburan hartanah (Reit) untuk membiayai aset pusat data.

Namun, model Reit ini lazimnya hanya melabur dalam bangunan yang telah siap dan sudah mula menjana hasil.

Ini menyempitkan peranan Reit kepada fasa akhir sesuatu projek sahaja.

Oleh itu, DBS kini sedang meneroka kaedah pembiayaan ala Amerika ini, bertujuan mengisi jurang dalam sistem kewangan Asia, terutamanya bagi menyokong fasa pertengahan pembangunan projek, jelas Encik Sinha.

Beliau menjangkakan struktur ini akan bermula dengan kalangan pelabur swasta yang lebih kecil, sebelum beralih ke pasaran awam yang lebih besar.

Encik Sinha memberi amaran, tanpa pembiayaan alternatif ini, pembangunan pusat data di Asia boleh terbantut, sekali gus mengehadkan cita-cita besar rantau ini dalam memajukan prasarana digital.

Meskipun berdepan pelbagai rintangan, Encik Sinha optimis sektor ini akan terus berkembang, didorong permintaan kukuh terhadap prasarana AI, serta minat pelabur luar yang kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pinjaman bank tradisional.

“Kita hanya perlu sentiasa berhati-hati dan sedar akan batas kemampuan kita,” ujar beliau.