Topik diikuti
Pergi ke BHkuCEO baru NCS sasar gandakan usaha dalam sektor awam
CEO baru NCS sasar gandakan usaha dalam sektor awam
Strategi bertepatan dengan lonjakan permintaan terhadap AI
CEO baru NCS sasar gandakan usaha dalam sektor awam
Apabila beliau mengambil alih tampuk kepimpinan anak syarikat Singtel, NCS, pada 1 April, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Encik Sam Liew, mewarisi sebuah perniagaan yang bergantung pada kontrak pemerintah, dengan 69 peratus pendapatan tahun kewangan 2026 datang daripada sektor awam.
Langkah pertamanya sebagai nakhoda baharu adalah untuk terus memperkasakan taruhan syarikat itu dalam sektor tersebut.
“Kami akan menggandakan usaha dalam sektor pemerintah Singapura,” ujarnya dalam temu bual eksklusif pertamanya sebagai CEO bersama The Business Times.
Strategi ini bertepatan dengan lonjakan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam, sejajar dengan aspirasi Singapura untuk mempercepatkan penggunaan teknologi itu di seluruh negara, berpandukan Strategi AI Kebangsaan 2.0.
Melangkaui AI, Encik Liew melihat permintaan tinggi terhadap penyepaduan sistem merentasi ekosistem teknologi pemerintah, khususnya dalam aspek prasarana dan keselamatan siber.
“NCS boleh memainkan peranan aktif dalam bidang-bidang ini untuk menyokong pemerintah memacu pendigitalan serta mempercepat pelaksanaan AI dalam agensi-agensi mereka,” jelas beliau.
Namun, AI turut membawa cabaran unik dengan memampatkan skop kerja dalam kontrak sedia ada NCS, sekali gus berpotensi mengurangkan keperluan tenaga kerja bagi projek-projek tersebut.
“Kami harus menyusun semula tenaga kerja kepada pasukan-pasukan yang lebih kecil kerana jumlah tugasan yang sama kini boleh diselesaikan dengan lebih sedikit orang.
“Maka, kami perlu meluaskan jangkauan untuk meraih lebih banyak kontrak baharu,” tambah Encik Liew.
Bagi mengimbangi impak dinamik AI ini terhadap landskap perniagaannya, NCS telah melaksanakan penyusunan semula secara dalaman.
Daripada model tiga kumpulan perniagaan – bahagian telekomunikasi, kontrak pemerintah dan perusahaan – NCS kini beroperasi melalui 10 “tonggak utama” yang merangkumi bidang seperti perkhidmatan awam, penjagaan kesihatan, dan pemerintah pusat.
Encik Liew juga menyusun semula jurutera NCS kepada dua unit penghantaran berkongsi supaya mereka boleh bergerak merentasi pelbagai bidang.
Dengan struktur baru ini, beliau sedang mengemudi NCS ke arah fasa pertumbuhan seterusnya.
Satu bidang yang beliau bakal “bangunkan dan gandakan” ialah sektor penjagaan kesihatan Singapura.
Permintaan untuk AI dalam bidang ini didorong oleh penduduk Singapura yang semakin tua dan kekurangan karyawan penjagaan kesihatan secara umum.
Kedua-dua faktor ini memberi peluang kepada NCS untuk menggunakan teknologi bagi merapatkan jurang tersebut.
Pembahagian tugas pekerja penjagaan kesihatan, pendigitalan preskripsi dan pengumpulan pandangan perubatan melalui AI hanyalah sebahagian daripada kes penggunaan yang sedang diterokai oleh penyepadu sistem itu, tambahnya.
Meskipun penggunaan teknologi dalam sektor penjagaan kesihatan masih di peringkat awal, Encik Liew menyatakan bahawa penerimaan di lapangan adalah positif.
Memandangkan NCS memberi tumpuan kepada sektor pemerintah dan sektor penjagaan kesihatan, ia sedang berusaha untuk memastikan 15,000 anggota tenaga kerjanya sentiasa mengikuti perkembangan dalam teknologi AI.
Syarikat itu telah melatih semula lebih daripada 1,000 jurutera perisian untuk menjadi jurutera AI dan pantas bertindak. Ia juga melatih kakitangan teknikal dan bukan teknikalnya dalam kemahiran AI melalui program latihan AI.
Kebangkitan AI tidak menghalang NCS daripada menggajikan lulusan baru.
Encik Liew berkata membangunkan pekerja yang lebih muda adalah kunci untuk memastikan kumpulan itu tidak berakhir dengan kekosongan dalam pengurusan pertengahannya.
Sepanjang 12 bulan lalu, NCS telah mengambil kira-kira 800 lulusan baru dan pelatih.
Bagi Encik Liew, memastikan NCS terus berkembang maju dalam era AI bukan sahaja mengenai strategi korporat dan pengurusan kewangan, tetapi juga mengenai membangunkan bakat yang tepat.
