SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

BlueSG tawar khidmat perkongsian kereta baru Flexar mulai 15 Apr

BlueSG tawar khidmat perkongsian kereta baru Flexar mulai 15 Apr

Tawar pilihan kereta elektrik, mansuh bayaran keahlian dan deposit
Apr 14, 2026 | 3:15 PM

BlueSG tawar khidmat perkongsian kereta baru Flexar mulai 15 Apr

bluesg, Flexar Singapore, perkongsian kereta Singapura, BlueSG pengganti, sewa kereta elektrik, Flexar rates, car-sharing Singapore, sewa kereta tanpa deposit
Berbeza dengan BlueSG, Flexar menawarkan pilihan kereta elektrik dan kereta enjin pembakaran dalaman, tanpa sebarang bayaran keahlian. - Foto FLEXAR

Syarikat perkongsian kereta BlueSG, yang telah menghentikan operasinya pada Ogos 2025, kembali beraksi dengan Flexar, sebuah perkhidmatan baru yang boleh diakses oleh orang ramai mulai 15 April.

Flexar menggantikan BlueSG, mengekalkan konsep ambil-dan-pulang di lokasi yang berbeza.

Namun, Flexar membawa pembaharuan. Ia menawarkan pilihan kereta elektrik dan enjin pembakaran dalaman, serta memansuhkan bayaran keahlian dan deposit.

Pengguna boleh memilih perlindungan tambahan, dikenali sebagai collision damage waiver, untuk mengehadkan tanggungan kos kerosakan kenderaan semasa sewaan.

Jurucakap Flexar menjelaskan, harga sewaan terdiri daripada bayaran platform tetap bagi setiap perjalanan dan caj seminit yang semakin berkurangan untuk tempoh sewaan yang lebih panjang.

Sebagai fasa pelancaran, lima minit pertama sewaan adalah percuma.

Selepas itu, sewaan dikenakan 52 sen seminit sehingga minit ke-20. Kadar seminit akan terus menurun seiring dengan tempoh sewaan. Selepas sejam, kadarnya adalah 44 sen seminit.

Harga ini termasuk kos minyak atau elektrik, tetapi tidak merangkumi caj tol ERP atau bayaran letak kereta semasa sewaan aktif.

Pengguna tidak perlu risau tentang pengisian minyak atau pengecasan pada akhir sesi; ini akan diuruskan sepenuhnya oleh Flexar.

Buat masa ini, perkhidmatan ini meliputi kawasan pengambilan dan pemulangan di wilayah tengah, utara, timur laut dan timur Singapura, termasuk Punggol, Sengkang, Hougang, Tampines, Ang Mo Kio dan Toa Payoh.

Syarikat akan mempertimbangkan untuk meluaskan liputan apabila perkhidmatan dipertingkatkan menjelang pelancaran penuh, kata jurucakapnya.

Pelancaran penuh dijangka berlangsung pada akhir 2026. Flexar telah mula merekrut pengguna untuk menguji perkhidmatan yang dinaik taraf ini sejak Mac.

Pengguna Flexar boleh membuat pembayaran menggunakan kad kredit dan debit, serta dompet mudah alih seperti Google Pay dan Apple Pay.

Syarikat itu enggan mendedahkan komposisi sebenar kereta yang disediakan atau lokasi penempatan tepatnya.

Namun, tidak seperti BlueSG, kereta Flexar tidak akan ditempatkan di ruang pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Ruang BlueSG kini telah dipindah milik kepada pengendali pengecasan EV lain dan tidak lagi dikhususkan untuk perkongsian kereta.

Perkhidmatan perkongsian kereta lain di Singapura, seperti GetGo dan Tribecar, mewajibkan kenderaan dipulangkan ke tempat ia disewa. Kenderaan ini lazimnya diletakkan di ruang tempat letak kereta yang ditetapkan di tempat letak kereta estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Warga Singapura berumur 18 tahun ke atas dengan lesen memandu yang sah boleh mendaftar untuk perkhidmatan ini menggunakan identiti digital Singpass.

Aplikasi Flexar boleh dimuat turun bermula 15 April.

Sebelum pelancaran penuh, tumpuan adalah untuk menguji platform dalam keadaan sebenar, bagi memahami di mana kereta diperlukan, lokasi yang sesuai, dan sama ada aplikasinya mesra pengguna, jelas jurucakap Flexar.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg