Beberapa perniagaan Melayu/Islam bersikap optimistik, namun kekal berhati-hati, terhadap masa depan dunia perniagaan pada 2026.
Ini sedang mereka merancang bagi menyemak semula strategi jangka panjang agar dapat kekal berdaya saing.
Mereka juga sedang memikirkan lebih banyak cara bekerja dengan lebih bijak di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi sejagat dan tempatan yang berterusan.
Mengimbau perjalanan 2025 mereka, usahawan yang ditemu bual Berita Harian (BH), terutama yang berada dalam industri makanan dan minuman (F&B), mereka menyifatkan 2025 sebagai “tahun yang amat mencabar”.
Ini memandangkan mereka terpaksa bergelut untuk terus bertahan disebabkan peningkatan kos operasi, seperti kekurangan tenaga kerja, kenaikan kos barangan, kos sewa yang tinggi, dan peningkatan kos utiliti.
Namun demikian, syarikat dalam sektor lain seperti teknologi dan tenaga melaporkan pertumbuhan yang kukuh, meskipun tetap berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi.
Pengasas cawangan restoran, The Black Hole Group, Encik Mustaffa Kamal, menyifatkan 2025 sebagai “lembap”, menyuarakan sentimen yang dirasai ramai dalam industri F&B sebelum ini.
Menurutnya, dolar Singapura yang kukuh menjadikan musim cuti lebih lengang daripada biasa, kerana ramai pelanggan berbelanja lebih banyak di luar negara.
Pada masa yang sama, pengunjung menjadi lebih berhati-hati, memasak lebih banyak di rumah, atau beralih kepada khidmat penghantaran makanan dan bukannya makan di luar.
Beliau terpaksa membuka cawangan baru di Great World City untuk mengekalkan pendapatannya selepas kehilangan cawangannya di Galeri Nasional Singapura, walaupun ia telah meraih “keuntungan yang agak baik” di sana.
Seperti syarikat F&B yang lain, beliau berkata syarikatnya juga menghadapi tekanan daripada peningkatan kos tenaga kerja, harga bahan lebih tinggi, kos utiliti dan kenaikan sewa.
Encik Mustaffa menambah, adalah tidak lagi mudah bagi restoran untuk menaikkan harga kerana pelanggan sudah sensitif terhadap kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang lebih tinggi dan caj perkhidmatan yang biasanya dikenakan oleh restoran tempatan.
“Restoran yang sibuk tidak lagi menjamin keuntungan,” katanya, sambil menambah bahawa satu bulan yang buruk boleh mengganggu aliran tunai untuk perniagaan F&B.
“Dahulu kami kerap mencipta konsep baru, tetapi kini kami kurang bereksperimen. Sekarang, kami memberi tumpuan kepada apa yang berkesan dan apa yang kami sudah biasa,” kata Encik Mustaffa.
Pengasas rangkaian restoran terkenal tempatan, The Malayan Council, Encik Mohamad Hafiz Salim Alkhatib, berkata syarikatnya mengalami pengalaman serupa.
Meskipun telah membuka cawangan baru di Clarke Quay pada Ogos 2024, syarikatnya tidak memenuhi jangkaan untuk 2025, dengan beberapa cawangan menghadapi kelembapan dalam trafik pelanggan.
Peningkatan kos tenaga kerja, kos sewa dan kos bahan mentah menambah tekanan, sementara peningkatan persaingan dalam arena makanan halal menjadikannya lebih sukar untuk terus bersaing.
Beliau berkata lokasi yang bergantung kepada pelancong, seperti Bussorah Street dan Esplanade, turut terjejas semasa bulan-bulan yang mana perniagaan kurang rancak.
“Bagi 2026, kami menjangkakan pemulihan sederhana atau sedikit peningkatan dalam jualan dengan strategi yang disasarkan.
“Kami menyasarkan untuk mengukuhkan penjenamaan, pemasaran dan kerjasama kami dengan syarikat pemasaran untuk memacu trafik.
“Kami menjangkakan potensi jualan lebih tinggi dengan pembukaan konsep baru seperti Velvet Cut yang belum dilancarkan secara rasmi.
“Kami juga sedang meneroka kepelbagaian produk, menu bermusim dan cadangan untuk menjual kek sepenuhnya,” kata Encik Hafiz.
Meskipun syarikat F&B bergelut dengan kelembapan, syarikat bukan F&B lain seperti syarikat tenaga dan data, Enercon Asia, melaporkan pertumbuhan kukuh pada 2025.
Syarikat tersebut merupakan pakar dalam penyepaduan sistem kuasa untuk pusat data, industri yang terus berkembang pesat di seluruh dunia.
Pengerusi Eksekutif, Encik Azhar Othman, berkata syarikatnya telah beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan kredit tenaga boleh diperbaharui, yang semuanya “menunjukkan permintaan yang sihat”.
Beliau berkata 2026 kelihatan “sangat menjanjikan”, disokong rancangan jangka panjang yang telah ditetapkan oleh syarikatnya lima tahun lalu.
“Kami sudah mempunyai rancangan untuk berkembang ke Timur Tengah, Afrika dan Asia Tengah.
“Insya-Allah, kami akan melakukan yang lebih baik tahun depan (2026),” kata Encik Azhar.
Risiko utama, katanya, datang daripada ketegangan geopolitik, peningkatan kos tenaga kerja dan cabaran rantaian bekalan.
Bagi mengatasi perkara ini, Encik Azhar berkata beliau perlu mencari “pelbagai sumber” untuk tenaga kerja, rantaian bekalan dan bahan, menambah inovasi pada ciptaan produk baru, dan terus merancang dengan lebih baik.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meka Innovation, Encik Shafiq Ali Mohamed Bashir, pula berkata 2025 merupakan “tahun yang baik” untuk syarikatnya.
Beliau berkongsi bagaimana syarikatnya telah berkembang dan menambah perkhidmatan baru seperti penggunaan dan penyelenggaraan untuk pelanggan utama.
Bagi 2026, beliau menjangka syarikatnya akan mengalami lebih banyak pertumbuhan dengan pengembangan kepada pengedaran komponen utama yang digunakan oleh pelanggan mereka.
Apabila ditanya tentang kebimbangan utamanya, Encik Shafiq berkata cabaran terbesar ialah merekrut bakat yang mahir sambil menguruskan kos gaji yang semakin meningkat.
“Kunci kepada perniagaan kami ialah pekerja yang sesuai dan terbaik – sama ada mereka mempunyai kemahiran, sikap dan kesediaan untuk melakukan kerja.
“Kami sedang memulakan penyusunan semula yang kecil… Kami mahu membolehkan bakat kami berkembang bersama kami dan bukan sekadar mengambil mereka masuk dan berharap mereka sesuai.
“Kami juga sedang mempertimbangkan latihan untuk membantu tenaga kerja kami meningkatkan kemahiran. Ini agar dapat diterjemahkan kepada hasil yang lebih baik untuk pelanggan kami,” kata Encik Shafiq.
Bagi Pengasas dan CEO syarikat nutrisi Shortcutx, Cik Miza Nazili Ghazali, 2025 merupakan tahun yang kukuh dan memecah rekod kerana syarikatnya menyaksikan pendapatan naik “hampir seganda” berbanding 2024.
Mereka juga melancarkan enam produk pemakanan baru, merentasi kategori penurunan berat badan, kesihatan pencernaan dan kesejahteraan umum.
Pertumbuhan kukuh itu, ujar Cik Miza, datang daripada usaha penyelidikan dan pengembangan (R&D) yang lebih kukuh, keupayaan kilang yang dinaik taraf, sesi TikTok ‘Live’ yang tekal, dan pengiklanan digital yang diperluas.
“Kami menjangkakan satu lagi tahun yang kukuh dan menyasarkan untuk menggandakan pertumbuhan kami sekali lagi pada 2026.
“Ini akan disokong oleh pelancaran produk baru, pengembangan yang lebih mendalam ke pasaran seperti Indonesia, Malaysia, Dubai dan Britain, serta strategi pemasaran prestasi yang lebih maju,” kata Cik Miza.
Pengarah Urusan Tuscani Tapware, Encik Faizal Basheer, melaporkan pertumbuhan yang stabil dari Julai 2025, didorong oleh pesanan borong, pereka dalaman dan pemasaran media sosial yang lebih kukuh.
Mendapatkan tenaga kerja yang tepat juga merupakan kebimbangan besar bagi Encik Faizal. Bagi mengatasi perkara ini, beliau berharap dapat memanfaatkan lebih banyak kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan daripada syarikat luar negara.
“Kita perlu benar-benar meneliti AI, bukan sahaja melalui pemasaran di Instagram, bahkan juga untuk menjawab pertanyaan pengguna secara automatik di WhatsApp. Ini semua adalah sesuatu yang dapat membantu kita,” kata Encik Faizal.
“
“Restoran yang sibuk tidak lagi menjamin keuntungan. Dahulu, kami kerap mencipta konsep baru, tetapi kini kami kurang bereksperimen. Sekarang, kami memberi tumpuan kepada apa yang berkesan dan apa yang kami sudah biasa."“
“(Tahun) 2026 sangat menjanjikan. Kami sudah mempunyai rancangan untuk berkembang ke Timur Tengah, Afrika dan Asia Tengah. Insya-Allah, kami akan melakukan yang lebih baik tahun depan (2026) disebabkan perancangan yang telah kami susun lima tahun yang lalu.”“
“Kami sedang memulakan penstrukturan semula (yang) kecil… Kami mahu membolehkan bakat kami berkembang bersama kami dan bukan sekadar mengambil mereka masuk dan berharap mereka sesuai. Kami juga sedang mempertimbangkan latihan untuk membantu tenaga kerja kami meningkatkan kemahiran. Ini agar dapat diterjemahkan kepada hasil yang lebih baik untuk pelanggan kami.”“
“Kami menjangkakan satu lagi tahun yang kukuh dan menyasarkan untuk menggandakan pertumbuhan kami sekali lagi pada 2026. Ini akan disokong oleh pelancaran produk baru, pengembangan yang lebih mendalam ke pasaran seperti Indonesia, Malaysia, Dubai dan United Kingdom (UK), serta strategi pemasaran prestasi yang lebih maju.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg