Topik diikuti
Pergi ke BHkuWHO isytihar wabak Ebola di Congo, Uganda sebagai keprihatinan sejagat
WHO isytihar wabak Ebola di Congo, Uganda sebagai keprihatinan sejagat
WHO isytihar wabak Ebola di Congo, Uganda sebagai keprihatinan sejagat
WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo sebagai keadaan darurat kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa.
Agensi itu berkata wabak di wilayah Ituri timur Congo, yang menyaksikan sekitar 246 kes yang disyaki dan 80 kematian dilaporkan, tidak memenuhi kriteria darurat pandemik.
Tetapi ia memberi amaran terdapat potensi keadaan itu menjadi “wabak yang jauh lebih besar” daripada apa yang sedang dikesan dan dilaporkan, dengan risiko penyebaran tempatan dan serantau yang ketara.
Jenis Ebola semasa adalah disebabkan oleh virus Bundibugyo, kata agensi kesihatan sedunia itu sambil menyatakan tiada ubat atau vaksin yang telah diluluskan untuk mencegahnya.
Gejala awal termasuk demam, sakit otot, keletihan, sakit kepala dan sakit tekak, dan diikuti dengan muntah, cirit-birit, ruam dan pendarahan – luaran serta dalaman.
WHO berkata kini terdapat lapan kes virus yang disahkan oleh makmal, dengan kes dan kematian lain yang disyaki merentasi tiga zon kesihatan termasuk Bunia, ibu kota wilayah Ituri, dan bandar perlombongan emas, Mongwalu dan Rwampara.
Satu kes virus itu disahkan di ibu negara Kinshasa, dipercayai dalam kalangan pesakit yang pulang dari Ituri.
WHO menyatakan virus itu merebak ke luar Congo, dengan dua kes disahkan di negara jiran Uganda.
Pegawai Uganda menyatakan seorang lelaki berusia 59 tahun yang meninggal dunia pada 14 Mei telah diuji positif.
Dalam satu kenyataan, pemerintah Uganda menyatakan pesakit yang meninggal dunia itu adalah seorang warga negara Congo yang mayatnya telah dihantar pulang ke negara asalnya.
Sebuah makmal turut mengesahkan kes Ebola di bandar timur Goma, yang kini dikawal oleh pemberontak M23.
Sekurang-kurangnya enam rakyat Amerika Syarikat terdedah kepada Ebola di Congo, dengan seorang menunjukkan gejala tetapi tiada seorang pun yang disahkan dijangkiti, lapor agensi berita, CBS, memetik sumber.
Pemerintah Amerika dilaporkan cuba mengangkut mereka keluar dari negara itu, mungkin ke pangkalan tentera di Jerman, lapor STAT News.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika berkata ia merancang untuk menghantar lebih ramai kakitangan ke Congo dan Uganda.
WHO berkata keadaan keselamatan yang berterusan dan krisis kemanusiaan di Congo, digabungkan dengan pergerakan penduduk, lokasi kawasan panas di bandar dan bilangan kemudahan penjagaan kesihatan tidak formal yang banyak di rantau itu meningkatkan risiko penyebaran. – Agensi berita.
