SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Warga S’pura ditemui disimen, dibuang di sungai selepas hilang di Jakarta

Warga S’pura ditemui disimen, dibuang di sungai selepas hilang di Jakarta

Apr 1, 2026 | 11:24 AM

Warga S’pura ditemui disimen, dibuang di sungai selepas hilang di Jakarta

kes bunuh. warga singapura, indonesia
Ketua Polis Cilacap, Encik Budi Adhy Buono (duduk, kiri), bersama pegawai penyiasat ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Cilacap berhubung kes pembunuhan seorang warga Singapura yang mayatnya ditemui disimen di Sungai Citanduy, di daerah Wanareja, Kabupaten Cilacap. - Foto POLRI

JAKARTA: Penemuan mayat seorang warga Singapura berusia 80 tahun di Sungai Citanduy disahkan sebagai kes bunuh terancang, menurut pihak polis Indonesia.

Mangsa, dikenali dengan inisial SS, sebelum ini dilaporkan hilang di Jakarta sebelum mayatnya ditemui terapung pada 20 Februari di daerah Wanareja, Kabupaten Cilacap.

Keadaan mayat yang ditemui mengejutkan penduduk setempat apabila ia dibungkus dengan kain cadar dan plastik, sebelum disimen bagi mengelakkan ia timbul ke permukaan.

Ketua Polis Cilacap, Encik Budi Adhy Buono, berkata identiti mangsa disahkan melalui ujian DNA serta laporan orang hilang di Jakarta.

“Berdasarkan koordinasi, kami menemui padanan antara mangsa dengan laporan orang hilang di Jakarta,” katanya pada 28 Mac.

Mangsa dilaporkan menetap di Singapura, namun sering tinggal bersama keluarga di kawasan Tanah Abang, Jakarta Pusat, setiap kali melawat Indonesia.

Siasatan awal mendapati pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada cemburu berkaitan hubungan peribadi mangsa dengan seorang wanita.

Menurut polis, mangsa mempunyai hubungan rapat dengan wanita tersebut, yang turut mempunyai hubungan dengan lelaki lain, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan suspek utama.

Polis mengenal pasti tiga suspek dalam kes ini.

Dua daripadanya, dikenali sebagai H dan K, telah ditahan pada 25 Mac di kawasan Patimuan, Cilacap.

Seorang lagi suspek, dikenali sebagai A atau E, masih diburu dan dipercayai dalang utama di sebalik pembunuhan tersebut.

“Kami telah menahan dua suspek, manakala seorang lagi yang dipercayai dalang utama masih dalam buruan,” kata Encik Budi.

Ketiga-tiga suspek dipercayai bekerja sebagai buruh kasar, termasuk dalam sektor pembinaan dan pertanian.

Polis memaklumkan pembunuhan itu telah dirancang lebih awal dan berlaku pada 16 Februari sekitar 7.30 malam di sebuah rumah sewa di kawasan perumahan Bumi Mutiara Indah, Sukabumi.

Mangsa dipercayai diperdaya ke lokasi tersebut dengan alasan untuk bertemu wanita yang diminatinya.

Menurut polis, rumah tersebut disewa lebih awal khusus untuk dijadikan lokasi jenayah.

Siasatan mendapati suspek H bertindak sebagai pelaku utama dengan memukul mangsa dua kali di bahagian leher menggunakan buluh.

Suspek K pula membantu dengan menutup mulut mangsa bagi menghalangnya daripada menjerit.

“Suspek H memukul mangsa dua kali di leher menggunakan buluh sebelum mengikat mayat dengan pita,” kata Encik Budi.

“Suspek K menutup mulut mangsa supaya tidak bersuara, kemudian mereka bersama-sama membungkus mayat dengan kain cadar dan plastik,” tambahnya.

Mayat mangsa kemudian disimen sebagai usaha menghapuskan bukti dan memastikan ia tidak timbul.

Selepas pembunuhan, suspek membawa mayat tersebut menggunakan kereta dan memandu selama kira-kira 30 minit sebelum memilih lokasi pembuangan.

Mayat akhirnya dibuang di Bendungan Menganti, sebahagian daripada sistem Sungai Citanduy.

“Mayat dibuang ke sungai supaya tidak timbul kerana telah dibebankan dengan simen,” jelas Encik Budi.

Penemuan mayat itu meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga mangsa.

Sumber memaklumkan mangsa menetap di Singapura dan tidak memiliki kediaman tetap di Tanah Abang, walaupun sering tinggal di kawasan tersebut ketika berada di Jakarta.

“Mangsa tinggal di Singapura. Setiap kali ke Jakarta, beliau menetap di Tanah Abang,” kata sumber tersebut.

Kes ini kini diklasifikasikan di bawah Artikel 459 Kanun Keseksaan Indonesia, yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara, penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Polis turut mengesahkan siasatan lanjut akan diserahkan kepada pihak berkuasa di Sukabumi kerana lokasi utama jenayah berlaku di kawasan tersebut.

“Oleh kerana pembunuhan berlaku di Sukabumi, siasatan lanjut akan dikendalikan oleh Polis Jawa Barat, khususnya Polis Sukabumi,” kata Encik Budi. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg