ANKARA: Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian mangsa-mangsa yang maut dalam kejadian kedua tembakan pelajar sekolah di Kahramanmaras, selatan Turkey.

Pengebumian berlangsung pada 16 April untuk lapan pelajar dan guru Matematik Cik Ayla Kara, 55 tahun, yang terbunuh dalam kejadian tembakan sehari sebelumnya.

Mangsa ke-10 meninggal dunia semasa dirawat di hospital pada 16 April, kata pihak berkuasa.

Enam daripada mereka yang cedera dalam serangan itu masih berada dalam keadaan tenat, kata pegawai.

Penyerang kejadian itu, Isa Aras Mersinli, murid berusia 14 tahun, melepaskan tembakan rambang ke arah dua bilik darjah yang dipenuhi pelajar di Sekolah Ayser Calik di bandar Kahramanmaras, pada 15 April.

Dia kemudian ditemui mati.

Media Turkey sebelum ini melaporkan penyerang itu memasuki dua bilik darjah dengan membawa lima pucuk pistol dan tujuh kelopak peluru.

Dia kemudian dilaporkan melepaskan tembakan rambang.

Menteri Dalam Negeri Turkey, Encik Mustafa Ciftci, berkata penyerang dipercayai telah menggunakan senjata milik bapanya, seorang bekas pegawai polis.

Motif serangan pada 15 April itu masih belum diketahui dan siasatan sedang giat dijalankan.

“Ini merupakan serangan peribadi yang dilakukan oleh salah seorang pelajar kami, ia bukan kejadian pengganasan,” kata Ciftci.

Di upacara pengebumian empat mangsa yang diadakan berhampiran masjid utama bandar Kahramanmaras itu, seorang bapa dilihat duduk kaku dan tersedu-sedan di sebelah keranda anak perempuannya, Zeynep yang berusia 10 tahun.

“Kesedihan kami tidak berkesudahan. Kanak-kanak ini seperti anak kami sendiri. Mereka semua tidak bersalah,” kata Encik Vezir Yucel, bapa seorang pelajar bernama Yusuf, yang kehilangan rakan karibnya, Bayram, 10 tahun, dalam kejadian mengerikan itu.

Cik Nilgun Ruci, suri rumah berusia 55 tahun, menyatakan beliau bergegas ke Sekolah Ayser Calik selepas mendengar bunyi tembakan.

Sejurus sahaja tiba di sekolah tersebut, beliau melihat anak perempuan seorang jirannya terbaring dalam keadaan cedera parah.

“Dia telah ditembak di kaki dan bahu. Pada mulanya, saya sangka dia pengsan tetapi kemudian saya diberitahu dia telah meninggal dunia,” tambahnya.

Kejadian tembakan di sekolah itu merupakan yang kedua berlaku selang dua hari selepas serangan pada 14 April di sebuah sekolah menengah di wilayah Sanliurfa di tenggara Turkey.

Serangan yang mencederakan 16 orang itu dilakukan oleh seorang bekas pelajar.

Sehingga 16 April, seramai 20 orang ditahan berhubung kejadian tembakan di Sanliurfa.

Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan telah mengadakan mesyuarat mengenai keselamatan di sekolah di ibu negara, Ankara, pada 16 April.

Mesyuarat itu dihadiri oleh kedua-dua menteri dan kesemua 81 gabenor wilayah Turkey, serta ketua polis dan pengarah pendidikan wilayah.

Sehingga minggu ini, kejadian tembakan di sekolah jarang berlaku di Turkey.

Tetapi berpuluh-puluh pelajar telah ditangkap pada 16 April atas dakwaan catatan media sosial yang membayangkan mereka mungkin melakukan serangan serupa.

Menteri Kehakiman Encik Akin Gurlek mengumumkan bahawa 67 pengguna media sosial telah ditahan atas catatan yang menyasarkan 54 sekolah yang berbeza. – Agensi berita.