ISTANBUL: Turkey bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Perubahan Iklim ke-31 (COP31) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2026, menewaskan Australia menyusuli satu persaingan berlarutan antara kedua-dua negara.
Satu perjanjian telah dicapai supaya COP31 diadakan di bandar peranginan Antalya pada November 2026, kata Setiausaha Negara Jerman bagi Iklim, Encik Jochen Flasbarth.
Beliau berkata tiada tentangan terhadap perjanjian itu dalam sekumpulan negara yang perlu menyokong keputusan itu. Persetujuan rasmi masih diperlukan.
“Adalah sesuatu yang luar biasa bahawa dua negara, dari sisi planet yang sangat berbeza tetapi berada dalam satu kumpulan, mencapai persetujuan,” kata Encik Flasbarth kepada wartawan selepas mesyuarat itu.
“Saya melihat banyak sokongan dan tiada tentangan umum.”
Turkey juga akan memegang jawatan presiden sidang kemuncak itu manakala Australia akan mengetuai rundingan di bawah perjanjian yang dimeterai lewat pada 19 November, kata Encik Flasbarth.
Sidang kemuncak pemimpin dunia yang biasanya berlaku pada permulaan setiap COP juga akan berlangsung di Turkey, tambahnya.
Akan ada juga acara pra-COP di rantau Pasifik.
Mengenai tanggungjawab yang dibahagi-bahagikan di bawah perjanjian itu, Encik Flasbarth berkata “sesetengah pihak mempersoalkannya kerana ini sesuatu yang inovatif”.
Keputusan itu bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada Australia, bahkan juga kepada negara-negara kepulauan kecil yang bergantung pada COP untuk menyampaikan rancangan yang lebih agresif – beralih daripada bahan api fosil dan meningkatkan pembiayaan buat negara di barisan hadapan perubahan iklim.
Dengan Turkey menjadi tuan rumah, COP akan sebahagian besarnya berlangsung di Timur Tengah, menyusuli sesi di Mesir, Amiriah Arab Bersatu dan Azerbaijan.
COP 2025 yang diadakan baru-baru ini di pinggir hutan hujan Brazil, telah mengalu-alukan kegiatan melestari alam sekitar dan aktivisme penduduk asli.
Pengkritik bimbang kegiatan sedemikian mungkin dikurangkan di bawah kepimpinan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, yang semakin autoritarian.
Pemerintah Encik Erdogan telah menggembar-gemburkan kelayakan Turkey untuk bertindak sebagai jambatan antara ekonomi maju dengan ekonomi baru muncul.
Ini menunjukkan ketegangan antara negara kaya dengan negara membangun mengenai pembiayaan bagi tindakan iklim yang telah menguasai rundingan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Turkey yang menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2053, sedang menyediakan satu set sasaran iklim kebangsaan baru.
Australia telah berusaha menjadi tuan rumah COP seterusnya ketika perdana menterinya, Encik Anthony Albanese, cuba memperbaiki reputasinya sebagai negara yang ketinggalan dari segi iklim. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg