Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tunjuk perasaan besar-besaran di Israel selepas tebusan ditemui dibunuh di Gaza

Hingga 500,000 berarak bagi tuntut Netanyahu lakukan lebih banyak usaha demi bebaskan tebusan Israel
Sep 2, 2024 | 11:45 AM
Israel dicengkam ketegangan kian memuncak apabila dianggarkan 500,000 penunjuk perasaan mengadakan bantahan besar-besaran pada 1 September susulan penemuan enam mayat tebusan di Gaza.
Israel dicengkam ketegangan kian memuncak apabila dianggarkan 500,000 penunjuk perasaan mengadakan bantahan besar-besaran pada 1 September susulan penemuan enam mayat tebusan di Gaza. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Israel dilanda gelombang protes besar-besaran berikutan kematian enam tebusan di Gaza yang semakin meningkatkan kemarahan rakyat terhadap kegagalan kepimpinan negara itu untuk mencapai perjanjian gencatan senjata bagi membebaskan tebusan-tebusan Israel.

Media Israel melaporkan bahawa sehingga 500,000 orang berarak di jalanan sepanjang Baitulmakdis, Tel Aviv, dan bandar-bandar lain di samping menuntut agar Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, melakukan lebih banyak usaha untuk membawa pulang baki 101 tebusan yang masih berada dalam tahanan. Israel menganggarkan bahawa kira-kira satu pertiga daripada mereka mungkin sudah pun terkorban.

Di Baitulmakdis, para penunjuk perasaan menyekat jalan-jalan utama dan mengadakan demonstrasi di hadapan kediaman perdana menteri. Rakaman udara menunjukkan lebuh raya utama Tel Aviv dipenuhi dengan penunjuk perasaan yang membawa bendera dengan gambar tebusan yang telah dibunuh.

Terdahulu, tentera Israel mengumumkan penemuan enam mayat tebusan dalam sebuah terowong di bandar Rafah, tatkala kempen vaksinasi polio bermula di Gaza dan keganasan terus meningkat di Tebing Barat yang diduduki susulan serangan berskala besar oleh pasukan tentera Israel.

Jurucakap tentera, Encik Daniel Hagari, dilaporkan berkata mayat tebusan yang dikenal pasti sebagai Carmel Gat, Hersh Goldberg-Polin, Eden Yerushalmi, Alexander Lobanov, Almog Sarusi dan Ori Danino telah dibawa pulang ke Israel.

Rakaman televisyen Israel menunjukkan pihak polis menggunakan meriam air untuk mengawal penunjuk perasaan yang menyekat jalan. Media tempatan melaporkan sebanyak 29 orang telah ditahan.

Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja turut menyeru agar diadakan mogok umum selama sehari pada 2 September sebagai tindak balas kepada ketegangan yang semakin memuncak.

Encik Netanyahu, yang semakin tertekan untuk menamatkan peperangan hampir 11 bulan itu melalui perjanjian gencatan senjata dan pembebasan baki tebusan, menyatakan bahawa Israel tidak akan berhenti sehingga mereka yang bertanggungjawab ditangkap. “Sesiapa yang membunuh tebusan... mereka tidak mahukan perjanjian,” katanya.

Pegawai kanan Hamas menyalahkan Israel di atas kematian tebusan-tebusan itu kerana keengganannya menandatangani perjanjian gencatan senjata. Sami Abu Zuhri, seorang pegawai kanan Hamas, menyatakan bahawa “Netanyahu bertanggungjawab atas kematian tahanan Israel”.

Seruan untuk tindakan lebih tegas semakin memuncak di kalangan rakyat Israel dengan kesatuan sekerja mengumumkan mogok umum dan penutupan Lapangan Terbang Ben Gurion sebagai langkah mendesak pemerintah untuk menandatangani perjanjian gencatan senjata.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, yang sering berselisih dengan Encik Netanyahu, turut menyokong perjanjian tersebut.

Dalam usaha terakhir untuk menghalang demonstrasi, Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, yang merupakan anggota kanan Kabinet Keselamatan Israel, meminta peguam negara untuk melarang mogok tersebut. Namun, keluarga tebusan yang terbunuh menggesa rakyat Israel untuk terus mendesak pemerintah sehingga kesemua tebusan dibebaskan.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, meluahkan kemarahannya terhadap kematian tebusan tersebut dan berjanji bahawa pemimpin Hamas akan dihukum atas jenayah itu.

Walaupun terdapat tekanan antarabangsa dan rundingan berterusan, usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata masih menemui jalan buntu.

Hamas menegaskan bahawa mereka tidak akan menandatangani sebarang perjanjian kecuali tentera Israel menarik diri sepenuhnya dari Gaza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg