Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump umum penubuhan lembaga keamanan bagi Gaza

Jan 16, 2026 | 11:08 AM
bandar gaza, palestin,
Seorang lelaki Palestin yang kehilangan tempat tinggal duduk di sebuah kem khemah di Bandar Gaza pada 15 Januari, selepas Amerika Syarikat pada 14 Januari mengumumkan pelancaran fasa kedua pelannya untuk menamatkan perang di Gaza. - Foto REUTERS

WASHINGTON/GAZA: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 15 Januari mengumumkan penubuhan lembaga keamanan Gaza, satu langkah utama dalam fasa kedua pelan damai yang disokong Washington bagi menamatkan perang di wilayah Palestin itu.

Dalam satu catatan di platform Truth Social, Encik Trump menyifatkan pembentukan lembaga tersebut sebagai satu pencapaian penting.

“Adalah satu penghormatan besar untuk saya mengumumkan bahawa LEMBAGA KEAMANAN telah ditubuhkan,” tulisnya, sambil menambah bahawa senarai anggota lembaga itu akan diumumkan “dalam masa terdekat”.

Encik Trump turut memuji badan tersebut sebagai luar biasa dari segi pengaruh dan reputasinya.

“Saya boleh katakan dengan penuh keyakinan bahawa ini adalah lembaga yang paling hebat dan berprestij pernah dibentuk, pada bila-bila masa dan di mana-mana,” katanya.

Menurut sumber pentadbiran Amerika, Encik Trump sendiri dijangka mempengerusikan lembaga berkenaan.

Penubuhan lembaga keamanan Gaza diumumkan tidak lama selepas pembentukan sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin seramai 15 orang yang ditugaskan mengurus pentadbiran harian Gaza selepas perang.

Jawatankuasa itu akan beroperasi di bawah penyeliaan lembaga berkenaan, selari dengan pelan yang dirangka oleh pentadbiran Encik Trump bersama rakan Arabnya.

Pelan tersebut turut memperuntuk penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa bagi membantu menjamin keselamatan di Gaza serta melatih pasukan polis Palestin yang telah melalui proses saringan.

Washington melihat langkah tersebut sebagai asas kepada pemulihan keselamatan dan peralihan tadbir urus di wilayah yang musnah akibat perang itu.

Reaksi daripada Hamas pula mencerminkan sikap berhati-hati.

Seorang pemimpin kanan Hamas, Encik Bassem Naim, berkata tanggungjawab kini terletak pada pihak pengantara dan masyarakat antarabangsa.

Pelan damai Gaza yang disokong Amerika mula berkuat kuasa pada 10 Oktober, sekali gus membuka jalan kepada pembebasan semua tebusan yang ditahan Hamas dan penghentian pertempuran secara rasmi.

Namun, fasa kedua pelan tersebut bermula dalam suasana yang masih dibayangi ketidakpastian dan isu yang belum diselesaikan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas, seramai 451 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata diumumkan, dengan Israel mendakwa serangan itu sebagai tindak balas terhadap pelanggaran oleh Hamas dan kumpulan bersenjata lain.

Dakwaan ini terus menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk Gaza dan menghakis keyakinan terhadap proses damai.

Bagi rakyat Palestin, isu teras kekal sama iaitu pengunduran penuh tentera Israel dari Jaluran Gaza.

Walaupun langkah itu terkandung dalam rangka pelan damai, setakat ini tiada garis masa terperinci diumumkan.

Israel juga masih menguasai kira-kira 53 peratus wilayah Gaza, menyebabkan majoriti penduduk Palestin terperangkap dalam kawasan kecil yang terasing.

Pada masa yang sama, Hamas enggan membuat komitmen terbuka untuk melucutkan senjata sepenuhnya, satu tuntutan yang disifatkan Israel sebagai tidak boleh dirunding.

Dalam catatan Truth Social pada 14 Januari, utusan khas Trump, Encik Steve Witkoff, menegaskan Washington menjangkakan Hamas “mematuhi sepenuhnya kewajipan mereka”.

Di sebalik tekanan antarabangsa, Hamas dilaporkan sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya dalaman bagi membina semula kepimpinannya yang terjejas teruk akibat pembunuhan sasaran oleh Israel sepanjang perang.

Seorang pemimpin Hamas memberitahu agensi berita, AFP, bahawa proses itu dijangka berlangsung “dalam bulan-bulan pertama 2026”.

Sementara itu, jawatankuasa teknokrat Palestin yang baru dibentuk telah mengadakan mesyuarat pertamanya di Kahirah pada 15 Januari, dilihat sebagai langkah penting untuk menghidupkan semula proses damai yang semakin rapuh.

Jawatankuasa itu diketuai oleh Encik Ali Shaath, seorang penjawat awam veteran dari Gaza yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri perancangan dan kerjasama antarabangsa dalam Penguasa Palestin.

Penubuhan jawatankuasa ini dipersetujui oleh pelbagai puak Palestin termasuk Hamas dan Fatah selepas beberapa pusingan perbincangan dengan Mesir sebagai pengantara.

Menurut sumber diplomatik Amerika, ahli jawatankuasa tersebut telah melalui proses saringan oleh Amerika dan Israel, dengan kebanyakan mereka dianggap tidak berpolitik dan mempunyai latar belakang profesional dalam sektor kemanusiaan dan ekonomi.

Dalam satu kenyataan bersama, Hamas dan Jihad Islamik berikrar menyokong usaha pengantara bagi membolehkan jawatankuasa itu menjalankan tugasnya dalam suasana yang sesuai.

Jawatankuasa 15 anggota itu merupakan sebahagian daripada pelan 20 perkara yang dirangka oleh pentadbiran Encik Trump dan rakan Arabnya, serta disokong melalui ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, realiti di lapangan masih mencabar.

Bantuan kemanusiaan terus disekat di sempadan Mesir, manakala pembukaan penuh pintu masuk Rafah belum dilaksanakan.

Selagi pengunduran tentera Israel dan aliran bantuan tidak dipercepat, ramai penganalisis berpendapat penubuhan lembaga keamanan Gaza dan jawatankuasa teknokrat hanya akan diuji oleh realiti pahit konflik yang belum benar-benar berakhir. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg