Topic followed successfully
Go to BHkuTrump ikrar serang Iran ‘selama mana perlu’
Trump ikrar serang Iran ‘selama mana perlu’
Trump ikrar serang Iran ‘selama mana perlu’
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 2 Mac menegaskan Washington akan terus menyerang Iran “selama mana yang diperlukan”, sehingga negara itu tidak lagi mampu menimbulkan ancaman.
Kenyataan tersebut sekali gus memberi isyarat konflik di Asia Barat berpotensi berlarutan selama berminggu-minggu atau lebih lama.
Berucap pada acara awam pertamanya sejak serangan udara bersama Amerika dan Israel bermula pada 28 Februari, Encik Trump berkata tempoh operasi ketenteraan itu tidak menjadi halangan.
“Berapa lama pun masanya, tidak mengapa, apa sahaja yang diperlukan,” katanya.
“Sejak awal lagi kami menjangkakan empat hingga lima minggu, tetapi kami mempunyai kemampuan untuk melanjutkannya jauh lebih lama daripada itu.”
Di Capitol Hill, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, turut memberi bayangan kempen ketenteraan akan dipergiat.
“Serangan paling dahsyat daripada tentera Amerika masih belum berlaku,” katanya kepada pemberita.
Kenyataan kedua-dua pemimpin itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar operasi, apabila pentadbiran Washington dilihat menyampaikan mesej kurang tekal mengenai matlamat serangan ke atas Iran.
Ketika bercakap menjelang taklimat sulit kepada pemimpin Kongres, Encik Rubio berhujah bahawa serangan Amerika dan Israel bertujuan menangani “ancaman segera”.
Namun dalam masa yang sama, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai langkah awal, memandangkan Israel dijangka tetap melancarkan serangan walaupun tanpa sokongan Amerika, dan Iran pula mungkin menyasarkan kepentingan Amerika sebagai tindak balas.
Menurutnya, Amerika akan terus menyerang sehingga matlamatnya tercapai, termasuk memusnahkan keupayaan peluru berpandu balistik Iran.
Di Rumah Putih, Encik Trump memperincikan sasaran operasi tersebut.
“Kami memusnahkan keupayaan peluru berpandu Iran, dan kami melakukannya setiap jam,” katanya.
Beliau turut mendakwa serangan itu “menghancurkan angkatan laut mereka” dan memastikan rejim di Teheran “tidak akan memperoleh senjata nuklear atau terus menaja kumpulan militan di serata Asia Barat”.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Encik Trump menegaskan perang yang dilancarkan bersama Israel bukan bertujuan melihat perubahan rejim.
Misi operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh Encik Trump dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mungkin paling tepat diringkaskan dengan nama yang diberikan oleh Pentagon – ‘Epic Fury’.
Encik Trump telah mengancam perang selama empat minggu atau lebih terhadap negara dengan penduduk 90 juta orang itu, di mana ratusan dilaporkan maut, sambil memberi amaran kemungkinan serangan lebih dahsyat lagi.
Menjawab kritikan berhubung kekurangan kejelasan, Encik Trump dan penasihat terkemukanya pada Isnin menyenaraikan empat matlamat perang yang kesemuanya bersifat ketenteraan iaitu memusnahkan kapasiti tentera laut dan ketenteraan Iran; mengakhiri sokongan negara agamawan terhadap militan serantau; mencegah pembangunan senjata nuklear oleh Iran; dan memastikan kelemahan Iran dari segi ketenteraan dan geopolitik.
Dalam wawancara dengan akhbar, New York Post, Encik Trump dilapor berkata beliau tidak menolak kemungkinan penggunaan tentera darat.
“Saya tidak mengatakan tidak akan ada tentera di darat seperti yang selalu dikatakan presiden lain,” katanya.
Namun Encik Trump menegaskan, Amerika tidak bercadang menghantar tentera secara besar-besaran ke darat setakat ini.
Matlamat Amerika tambahnya, telah tercapai “jauh lebih awal daripada unjuran masa” selepas kematian kepimpinan tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan pertama pada 28 Februari. – Agensi berita.

