Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump guna Air Force One lama atas langkah keselamatan ketika tinggalkan Turkey
Trump guna Air Force One lama atas langkah keselamatan ketika tinggalkan Turkey
Trump guna Air Force One lama atas langkah keselamatan ketika tinggalkan Turkey
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menggunakan semula pesawat Air Force One lama ketika meninggalkan Turkey selepas Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), menyusuli kebimbangan keselamatan yang timbul apabila konflik antara Amerika dengan Iran kembali memuncak.
Keputusan itu dibuat walaupun Encik Trump sebelum ini berkeras mahu menggunakan pesawat Boeing 747-8 baharu yang dihadiahkan oleh Qatar sebagai pesawat rasmi presiden secepat mungkin.
Menurut beberapa pegawai yang mengetahui perkara itu, pertukaran pesawat itu dibuat atas nasihat Perkhidmatan Rahsia Amerika sebagai langkah berjaga-jaga selepas Washington melancarkan siri serangan baharu ke atas Iran.
Mereka bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan itu bukan disebabkan ancaman khusus terhadap Encik Trump, sebaliknya sebagai langkah keselamatan tambahan memandangkan ketegangan di Asia Barat semakin memuncak.
Langkah itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pesawat baharu berkenaan telah dilengkapi sepenuhnya dengan sistem pertahanan canggih yang biasanya terdapat pada Air Force One.
Beberapa ahli Kongres dan pegawai pertahanan sebelum ini membangkitkan kebimbangan bahawa proses pengubahsuaian pesawat itu dilakukan terlalu pantas sehingga berkemungkinan tidak sempat memasang sistem pertahanan peluru berpandu dan pelbagai ciri keselamatan lain.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Encik Steven Cheung, menolak dakwaan tersebut.
“Air Force One baharu ialah pesawat berteknologi tinggi yang dilengkapi protokol keselamatan pada tahap tertinggi bagi memastikan keselamatan presiden dan kakitangannya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Rumah Putih sentiasa menggunakan pelbagai strategi keselamatan, termasuk taktik mengelirukan pihak lawan, bagi melindungi presiden itu.
“Seperti yang sering dinyatakan Presiden, terdapat ramai musuh Amerika yang mensasarkan beliau. Kami menggunakan setiap kaedah yang ada, termasuk elemen gangguan dan helah, bagi menangani ancaman tersebut,” katanya.
Namun, beberapa pegawai yang telah dimaklumkan mengenai keupayaan pesawat baru itu berkata Boeing 747-8 baharu itu masih belum mempunyai semua sistem pertahanan seperti yang terdapat pada Air Force One lama.
Mereka berkata pertukaran pesawat di Ankara itu dilakukan semata-mata atas nasihat Perkhidmatan Rahsia sebagai langkah berjaga-jaga.
Encik Trump sebelum itu menaiki pesawat baharu itu ke Turkey pada malam 6 Julai bagi menghadiri Sidang Kemuncak Nato.
Namun ketika beliau berada di Ankara, konflik dengan Iran kembali memuncak apabila tentera Amerika melancarkan beberapa serangan terhadap sasaran di Iran.
Walaupun begitu, Encik Trump menafikan pertukaran pesawat dibuat atas faktor keselamatan.
Menurut Encik Trump, beliau memilih menggunakan Air Force One lama supaya pesawat baharu itu dapat diterbangkan lebih awal ke Pangkalan Tentera Udara Mildenhall di England bagi membolehkan anggota tentera Amerika di situ melihatnya dengan lebih dekat.
“Pesawat itu sangat hebat. Saya mahu anggota tentera berpeluang melihat dan melawatnya,” kata Encik Trump.
Dalam hantaran di media sosial sebelum berlepas dari Ankara, beliau turut berkata beliau akan menaiki Air Force One lama “demi mengimbau kenangan lama”.
Namun ketika bercakap kepada wartawan, Encik Trump berulang kali mengakui beliau merupakan sasaran utama Iran.
Beliau turut mendedahkan bahawa beliau telah melihat atau diberi taklimat mengenai senarai sasaran yang dipercayai disediakan Teheran.
Keadaan luar biasa turut berlaku ketika Encik Trump meninggalkan Ankara.
Beliau menaiki pesawat lebih awal daripada kebiasaan sehingga wartawan yang mengikuti rombongan tidak sempat merakam gambar beliau menaiki tangga pesawat tersebut.
Semua penumpang turut diarahkan menutup langsir tingkap sebelum pesawat itu berlepas.
Selepas tiba di Pangkalan Tentera Udara Mildenhall pada lewat malam 8 Julai, Encik Trump kemudian bertukar semula ke pesawat Boeing 747-8 baharu untuk meneruskan penerbangan pulang ke Washington.
Ketika ditanya mengenai arahan menutup langsir pesawat itu, Encik Trump memberi bayangan bahawa langkah itu berkaitan ancaman keselamatan.
“Mungkin mereka mengarahkan anda menutup langsir kerana kita berada dalam pesawat yang berdepan ancaman daripada Iran,” katanya.
Air Force One lama diketahui dilengkapi pelbagai sistem pertahanan rahsia termasuk teknologi yang mampu mengelirukan peluru berpandu antipesawat melalui pancaran khas serta pelepasan bahan pengalih sasaran.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada semua sistem itu telah dipasang pada pesawat baharu yang diterima daripada Qatar itu.
Pegawai industri penerbangan dan Pentagon sebelum ini menganggarkan bahawa kerja menaik taraf pesawat itu boleh menelan belanja sehingga AS$1 bilion ($1.29 bilion) dan mengambil masa sehingga dua tahun.
Namun Setiausaha Tentera Udara Amerika, Encik Troy Meink, memberitahu Kongres bahawa kos pengubahsuaian itu dijangka kurang daripada AS$400 juta.
Bekas Penolong Setiausaha Tentera Udara yang mengendalikan program Air Force One semasa pentadbiran Joe Biden, Encik Andrew Hunter, berkata proses menukar sebuah pesawat Boeing 747 biasa menjadi pesawat Air Force One memerlukan pengubahsuaian struktur yang kompleks dan tidak mungkin dapat disiapkan dalam tempoh singkat.
Menurutnya, sistem komunikasi mungkin dapat dipasang dengan cepat, namun pemasangan sistem pertahanan peluru berpandu, perlindungan daripada denyutan elektromagnet akibat letupan nuklear dan pelbagai ciri keselamatan lain memerlukan masa yang jauh lebih panjang.
Sehingga kini, Tentera Udara Amerika masih enggan mengesahkan sama ada pesawat Boeing 747-8 yang dihadiahkan Qatar itu telah dilengkapi sepenuhnya dengan semua sistem keselamatan yang digunakan pada Air Force One asal. – Agensi berita.