WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 6 Januari mendakwa Venezuela akan mula menyerahkan antara 30 dengan 50 juta tong minyak kepada Amerika Syarikat, satu jumlah yang bersamaan kira-kira dua bulan pengeluaran harian negara Amerika Selatan itu.
Jika disahkan, langkah tersebut akan menjadi konsesi besar pertama oleh kepimpinan baru Venezuela sejak pasukan tentera khas Amerika menangkap Presidennya, Encik Nicolas Maduro – kini digulingkan, dan membawanya ke New York untuk menghadapi pertuduhan dadah dan senjata.
Encik Trump menyifatkan penyerahan minyak itu sebagai permulaan kepada pelan Washington untuk memanfaatkan rizab minyak Venezuela yang besar, termasuk di bawah ancaman sekatan maritim.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Venezuela dan syarikat minyak negara, PDVSA, bagi mengesahkan dakwaan tersebut.
Berdasarkan harga pasaran semasa, jumlah minyak yang disebut Encik Trump bernilai antara AS$1.8 bilion ($2.3 bilion) dengan AS$3 bilion.
Namun, masih tidak jelas sama ada Venezuela akan menerima sebarang pampasan atau konsesi politik sebagai pertukaran.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Encik Trump berkata:
“Pihak berkuasa sementara di Venezuela akan menyerahkan antara 30 dengan 50 juta tong minyak bermutu tinggi dan tertakluk sekatan kepada Amerika Syarikat.
“Minyak ini akan dijual pada harga pasaran, dan hasilnya akan dikawal oleh saya sebagai Presiden Amerika Syarikat bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat Venezuela dan Amerika.”
Caracas dan Washington telah mencapai satu perjanjian untuk mengeksport minyak mentah Venezuela, sekali gus rundingan utama itu akan mengalihkan bekalan dari China, di samping membantu Venezuela mengelakkan pemotongan pengeluaran minyak yang lebih mendalam.
Perjanjian berkenaan merupakan isyarat kukuh pemerintah Venezuela menerima tuntutan Encik Trump supaya mereka membuka industri minyak kepada syarikat Amerika atau berdepan risiko campur tangan ketenteraan yang lebih lanjut.
Encik Trump berkata beliau mahu Presiden sementara Venezuela, Cik Delcy Rodriguez, memberi Amerika dan syarikat swasta “akses sepenuhnya” kepada industri minyak negara itu.
Sekatan sebelum ini adalah sebahagian daripada peningkatan tekanan Amerika terhadap pemerintah Encik Maduro yang memuncak dengan penangkapan beliau oleh tentera Amerika pada 3 Januari.
Pegawai kanan Venezuela menyifatkan penangkapan Encik Maduro sebagai satu penculikan dan menuduh Amerika cuba mencuri rizab minyak besar negara itu.
Cik Rodriguez – yang mengangkat sumpah sebagai presiden sementara pada 5 Januari – sendiri berada di bawah sekatan Amerika sejak 2018 atas dakwaan melemahkan demokrasi.
Encik Trump turut memberitahu NBC News bahawa “mempunyai Venezuela sebagai pengeluar minyak adalah baik untuk Amerika kerana ia membantu mengekalkan harga minyak rendah”.
Kenyataan itu segera memberi kesan kepada pasaran apabila penanda aras minyak Amerika, West Texas Intermediate (WTI), jatuh sehingga 2.4 peratus sejurus selepas komen Encik Trump dilaporkan.
Di Caracas, tanda-tanda pengetatan kawalan oleh pemerintah semakin jelas.
Kumpulan militia bersenjata propemerintah yang dikenali sebagai, colectivos, dilihat berkawal secara meluas di jalan-jalan ibu negara.
Penduduk mendakwa mereka disoal siasat dan telefon bimbit diperiksa bagi mengesan sokongan terhadap serangan Amerika.
Sekurang-kurangnya 14 wartawan dilaporkan ditahan, manakala dua individu ditangkap kerana didakwa meraikan penahanan Encik Maduro.
Apabila ditanya sama ada isu pembebasan tahanan politik atau kepulangan tokoh pembangkang telah dibincangkan dengan Caracas, Encik Trump memberi isyarat jelas mengenai keutamaan Washington ketika ini.
“Kami belum sampai ke tahap itu,” katanya pada 4 Januari.
“Keutamaan kami sekarang ialah mengurus dan membaik pulih urusan minyak.”
Namun, pemimpin sementara Venezuela, Cik Rodríguez, menolak dakwaan Encik Trump Amerika kini menguasai negara itu.
“Pemerintah Venezuela mentadbir negara kami. Tiada siapa yang lain. Tiada ejen luar yang memerintah Venezuela,” katanya.
Pada 6 Januari, ribuan penyokong Maduro berarak di Caracas menuntut pembebasan beliau daripada tahanan Amerika.
Beberapa pegawai kanan kerajaan turut hadir dalam perhimpunan itu yang disiarkan di televisyen negara.
Menteri Dalam Negeri Venezuela, Encik Diosdado Cabello, menyampaikan ucapan berapi.
“Suara rakyat Venezuela sedang bangkit menuntut Nicolas dan Cilia dikembalikan kepada kami,” katanya, merujuk kepada Encik Maduro dan isterinya, Cik Cilia Flores.
“Bersama kamu, kami bersedia untuk berjuang.”
Wakil syarikat minyak utama Amerika dilapor merancang pertemuan dengan pentadbiran Encik Trump beberapa hari lagi.
Namun penganalisis yang dipetik BBC menyatakan keraguan sama ada rancangan Encik Trump mampu memberi kesan besar kepada bekalan minyak sejagat atau harga pasaran.
Penganalisis menegaskan pelabur memerlukan jaminan kestabilan politik sebelum melabur, dan walaupun pelaburan dibuat, hasilnya hanya akan dirasai selepas beberapa tahun.
Venezuela kini menyumbang kurang daripada 1 peratus bekalan minyak sejagat, jauh merosot akibat dekad pengabaian dan penghijrahan syarikat asing.
“Walaupun pada paras tertinggi, 30 hingga 50 juta tong kedengaran besar dari sudut politik, tetapi kecil dari sudut ekonomi,” kata Encik Haris Khurshid, Ketua Pegawai Pelaburan Karobaar Capital.
“Ia aliran sekali sahaja, bukan perubahan struktur bekalan.”
Venezuela dilaporkan mempunyai bekalan minyak yang belum dihantar yang semakin bertimbun sejak sekatan bermula pada Disember.
Firma perisikan maritim Kpler memberi amaran tangki simpanan mungkin penuh dalam beberapa minggu.
Encik Trump berkata minyak yang dikenakan sekatan itu akan “diambil oleh kapal simpanan dan dihantar terus ke pelabuhan pemunggahan di Amerika”, sambil memaklumkan Setiausaha Tenaga, Encik Chris Wright, telah diarah melaksanakan rancangan itu “dengan segera”.
Masih tidak jelas syarikat manakah yang akan mengendalikan penghantaran minyak tersebut.
Chevron Corporation, satu-satunya syarikat Amerika yang masih beroperasi di Venezuela di bawah pengecualian sekatan, enggan mengulas lanjut.
Jurucakapnya berkata Chevron kekal memberi tumpuan kepada keselamatan pekerja dan pematuhan undang-undang.
Encik Trump dan Naib Presiden JD Vance turut mendakwa Venezuela telah “merampas” minyak milik Amerika Syarikat.
Namun, penganalisis menegaskan gambaran itu terlalu ringkas dan mengelirukan.
Hakikatnya, Venezuela telah mengambil alih pengurusan industri minyak sebagai milik negara sejak 1976, sebelum memperketat kawalan terhadap aset milik syarikat asing pada 2007 di bawah pentadbiran Presiden Hugo Chávez, satu langkah dasar negara yang lama mendahului krisis politik semasa.
Pada 2019, tribunal Bank Dunia mengarahkan Venezuela membayar AS$8.7 bilion kepada syarikat petroleum, ConocoPhillips sebagai pampasan, namun bayaran itu belum dilunaskan.
Walaupun demikian, pakar menegaskan minyak itu sendiri tidak pernah dimiliki syarikat asing, sebaliknya kekal milik negara Venezuela. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg