WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata perjanjian yang dicapai antara Amerika Syarikat dengan Iran akan memastikan Selat Hormuz menjadi laluan perdagangan “bebas tol selama-lamanya”.

Beliau turut mendakwa langkahnya telah menyelamatkan Israel daripada ancaman kemusnahan nuklear.

Dalam wawancara telefon selama hampir 30 minit dari Rumah Putih sempena ulang tahunnya yang ke-80, Encik Trump berkata keputusan beliau melancarkan serangan terhadap Iran Februari lalu dan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran selepas Teheran menutup Selat Hormuz telah mengubah landskap Asia Barat memihak kepada Amerika.

“Israel sepatutnya berterima kasih kepada kami.

“Jika Iran memiliki senjata nuklear, Israel tidak akan bertahan walaupun dua jam,” katanya, merujuk kepada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Encik Trump turut menyifatkan Encik Netanyahu sebagai “pemimpin yang sukar”, selepas beberapa tindakan Israel hampir menggagalkan rundingan damai tersebut.

Perjanjian awal antara Washington dengan Teheran dijangka dimeterai secara rasmi pada 19 Jun di Switzerland, selepas rundingan teknikal selesai.

Menurut Encik Trump, laluan perkapalan di Selat Hormuz akan dibuka semula tanpa sebarang bayaran tol dikenakan ke atas kapal perdagangan antarabangsa.

Beliau juga mengesahkan Amerika akan menamatkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.

Selat Hormuz merupakan laluan utama eksport minyak dan gas dunia dan penutupannya sejak beberapa bulan lalu menjejaskan perdagangan dunia, serta meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga antarabangsa.

Encik Trump bagaimanapun memberi amaran bahawa Amerika bersedia melancarkan semula serangan ke atas Iran, sekiranya rundingan nuklear gagal mencapai persetujuan muktamad.

“Jika mereka gagal mencapai perjanjian akhir, kami akan kembali menyerang,” katanya.

Beliau turut berkata Amerika mungkin menjadi “penjaga Asia Barat” sebagai balasan kepada 20 peratus hasil rantau tersebut, walaupun tidak menghuraikan lanjut maksud kenyataan itu.

Dalam wawancara tersebut, Encik Trump turut memuji Presiden China, Encik Xi Jinping, dan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, kerana membantu menjayakan usaha damai berkenaan.

Walaupun teks penuh perjanjian belum diterbitkan secara rasmi, beberapa laporan media Iran mendakwa satu memorandum persefahaman 14 perkara telah dipersetujui antara kedua-dua negara.

Agensi berita separa rasmi Iran, Mehr, melaporkan memorandum itu mengandungi pelbagai syarat termasuk gencatan senjata kekal di semua medan konflik, termasuk Lebanon.

Ia juga didakwa merangkumi komitmen Amerika untuk tidak campur tangan dalam urusan dalaman Iran, penamatan sekatan laut dalam tempoh 30 hari dan pembukaan semula Selat Hormuz di bawah pengaturan Iran.

Bagaimanapun, butiran tersebut masih belum disahkan secara rasmi oleh Washington atau Teheran.

Menurut laporan Mehr, Amerika turut bersetuju melepaskan AS$24 bilion (S$30.7 bilion) aset Iran yang dibekukan sepanjang tempoh rundingan 60 hari, dengan separuh daripada jumlah itu disediakan sebelum rundingan penuh bermula.

Memorandum tersebut juga didakwa mengandungi pelan pembinaan semula Iran yang bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion, selain penamatan sekatan terhadap eksport minyak dan tenaga Iran.

Encik Trump bagaimanapun lebih banyak menumpukan kepada isu program nuklear Iran dalam wawancaranya.

Beliau berkata rundingan lanjut akan menentukan sama ada Iran bersetuju menggantung kegiatan pengayaan uranium selama 20 tahun, walaupun beliau memberi bayangan mungkin menerima tempoh 15 tahun.

“Iran hanya akan dibenarkan memperkaya uranium pada tahap rendah yang tidak boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan,” katanya.

Encik Trump berulang kali membandingkan perjanjian baharu itu dengan perjanjian nuklear era bekas Presiden Amerika, Encik Barack Obama, pada 2015.

Menurut beliau, perjanjian baharu ini lebih kukuh dan mampu memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear.

Namun pemerhati mengingatkan bahawa Iran sebelum ini turut memberi komitmen sama di bawah Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear (NPT) sejak 1970.

Iran juga pernah bersetuju menghadkan pengayaan uranium dalam perjanjian 2015 sebelum Trump menarik keluar Amerika daripada perjanjian itu pada 2018.

Selepas itu, Teheran meningkatkan pengayaan uranium sehingga hampir mencapai tahap bahan senjata.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, mengesahkan penghentian pertempuran di semua medan konflik termasuk Lebanon telah dipersetujui.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Qatar, Arab Saudi dan Turkey atas peranan mereka membantu menjadi pengantara kepada perjanjian tersebut.

Walaupun banyak butiran masih belum disahkan, pasaran dunia kini melihat perkembangan tersebut sebagai langkah besar ke arah meredakan ketegangan Asia Barat serta memulihkan keyakinan ekonomi dunia.

Dengan Selat Hormuz dijangka dibuka semula dalam masa terdekat, banyak negara berharap aliran perdagangan minyak dan gas kembali stabil selepas berbulan-bulan terganggu akibat konflik serantau. – Agensi berita.