Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Strategi keselamatan nasional AS tanda perubahan dasar ke atas Asia Barat

Jan 5, 2026 | 5:30 AM
Orang ramai menyaksikan pertunjukan bunga api di Abu Dhabi pada 2 Disember 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-54 Amiriah Arab Bersatu (UAE)
Orang ramai menyaksikan pertunjukan bunga api di Abu Dhabi pada 2 Disember 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-54 Amiriah Arab Bersatu (UAE) - Foto AFP

DUBAI/WASHINGTON: Pelancaran Strategi Keselamatan Nasional Amerika Syarikat (NSS) 2025 oleh Presiden Donald Trump menandakan satu perubahan penting dalam pendekatan Washington terhadap Asia Barat.

Dokumen itu memperlihatkan peralihan jelas daripada dasar berteras ideologi dan nilai kepada geopolitik yang lebih bersifat transaksional, dengan penekanan terhadap kepentingan ekonomi, pelaburan dan kestabilan jangka pendek.

Walaupun Israel kekal sebagai sekutu utama Amerika, NSS terbaru yang dilancarkan pada 4 Disember lalu menunjukkan penilaian semula keutamaan Washington, dengan negara Teluk seperti Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) semakin menonjol sebagai rakan strategik teras.

Pendekatan itu mencerminkan keletihan perang yang mendalam dalam kalangan penggubal dasar Amerika, serta keinginan untuk mengurangkan komitmen ketenteraan yang berpanjangan di rantau yang sekian lama dilihat sebagai “medan krisis berterusan”.

Asia Barat kini disifatkan bukan lagi sebagai pusat konflik sejagat, malah sebagai zon kerjasama ekonomi, keselamatan tenaga dan peluang pelaburan.

Namun, perubahan itu turut mengundang persoalan besar.

Diplomasi yang terlalu bersifat transaksional berisiko menyingkirkan konflik asas yang masih belum diselesaikan, khususnya isu Palestin, yang sukar ditangani melalui rundingan berasas kepentingan ekonomi semata-mata.

Pendekatan Kepentingan Nasional Lebih Terbatas

Berbeza dengan pentadbiran sebelum ini yang memberi penekanan kepada persaingan kuasa besar, NSS 2025 menggariskan takrif kepentingan nasional yang lebih sempit.

Ia memberi tumpuan pada ancaman langsung terhadap keselamatan dan kemakmuran Amerika, sambil meminggirkan komitmen berasas nilai seperti menggalak demokrasi, hak asasi manusia, kerjasama iklim dan usaha dalam pengawalan senjata.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), firma perunding risiko geopolitik yang berpangkalan di Washington, Gulf State Analytics, Encik Giorgio Cafiero, berpandangan strategi itu bukanlah pelan hala tuju baru.

Sebaliknya ia satu pengesahan terhadap naluri lama Encik Trump.

“Dokumen ini lebih berfungsi sebagai pengukuhan pendekatan Trump yang sedia ada – berhati-hati terhadap bantuan luar; memberi tekanan kepada sekutu supaya memikul tanggungjawab dalam aspek pertahanan diri; dan menilai hubungan antarabangsa melalui lensa keuntungan secara langsung,” katanya.

Dalam konteks Asia Barat, penganalisis turut memberi perhatian kepada fakta bahawa Israel hanya disebut enam kali dalam keseluruhan dokumen tersebut.

Bagi sesetengah pemerhati, ia menandakan usaha Amerika untuk mengurangkan keterikatannya terhadap konflik berpanjangan di rantau itu dan meletakkan Asia Barat di pinggir keutamaan dasar luar harian Washington.

Walaupun NSS menekankan keperluan mengelakkan kuasa bermusuhan daripada menguasai Asia Barat, pada masa yang sama, ia mengisyaratkan pengunduran ketenteraan dan penumpuan kepada perdagangan serta pelaburan.

Percanggahan itu menimbulkan persoalan tentang kebolehlaksanaan strategi tersebut.

Mantan Duta Italy ke Iraq, Encik Marco Carnelos, menyifatkan pendekatan itu sebagai bercanggah secara dalaman.

“Terdapat percanggahan asas apabila Amerika mendakwa mahu menghalang dominasi kuasa bermusuhan di Asia Barat, tetapi pada masa yang sama mengumumkan kurangnya penglibatan ketenteraan dan memberi tumpuan kepada urusan perniagaan,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi oleh Dr Trita Parsi, dari Institut Quincy, yang memberi amaran bahawa bahasa yang digunakan dalam NSS berpotensi mengekalkan, atau bahkan meningkatkan keterlibatan Amerika secara tidak langsung.

“Dengan terus melabel konflik sebagai masalah utama rantau ini dan Iran sebagai kuasa paling menggugat kestabilan, strategi ini sebenarnya mewajarkan penempatan tentera dan kesediaan menggunakan kekerasan bertentangan dengan matlamat pengunduran,” katanya.

Iran: Ancaman yang Dipermudah

NSS 2025 menyatakan Iran telah “dilemahkan dengan ketara” hasil tindakan ketenteraan Israel dan operasi Amerika pada Jun 2025.

Namun, beberapa penganalisis menyifatkan gambaran itu sebagai terlalu optimistik dan berbahaya.

Dr Neil Quilliam dari Chatham House berpendapat penilaian tersebut sebagai “tidak realistik dan menilai secara dangkal.

“Ia mencerminkan salah faham mendalam terhadap Iran. Iran mungkin terjejas, tetapi keupayaannya untuk menyesuaikan diri dan bertindak balas tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Mantan Duta Amerika ke Tunisia, Encik Gordon Gray, pula mengingatkan bahawa naratif “rantau semakin tenang” mengulangi kesilapan penilaian lalu.

Retorik itu mengingatkan kita kepada dakwaan sebelum serangan Hamas pada Oktober 2023.

Beliau mengingatkan bahawa sebarang kejayaan awal tidak seharusnya ditafsir sebagai muktamad, kerana sejarah menunjukkan kesombongan sering mendahului kegagalan.

Negara Teluk sebagai Teras Strategi

Salah satu unsur paling tekal dalam NSS ialah penekanan terhadap kepentingan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Dokumen itu memuji peranan mereka dalam memerangi ekstremisme, menyokong inisiatif teknologi Amerika termasuk kecerdasan buatan (AI), serta menjadi rakan pelaburan utama.

Strategi itu secara terbuka menolak pendekatan lama Amerika yang memberi tekanan kepada negara Teluk supaya mengubah sistem politik mereka.

Sebaliknya, Washington kini menerima kepimpinan dan struktur politik rantau itu “seadanya”, selagi kepentingan bersama dapat dicapai.

“Washington menghantar mesej jelas bahawa hubungan yang benar-benar penting kini adalah dengan monarki Teluk – perniagaan, pelaburan dan peluang pembinaan semula. Ini bukan lagi soal nilai, tetapi kepentingan ekonomi,” kata Encik Carnelos.

Mantan Duta Amerika Syarikat ke Qatar, Encik Patrick Theros, pula menyifatkan NSS sebagai dokumen yang “merakam dan memantapkan hubungan transaksional” yang telah lama diamalkan.

“Negara Teluk menghargai penekanan terhadap keselamatan dan kestabilan berbanding wacana nilai bersama,” katanya.

Secara keseluruhan, NSS 2025 meletakkan Asia Barat sebagai keutamaan sekunder dalam dasar luar Amerika, dengan penekanan kepada kestabilan minimum, perlindungan laluan tenaga, dan pencegahan ancaman keganasan.

Israel kekal sebagai rakan penting, namun pengurangan kehadiran Amerika bermakna lebih banyak tanggungjawab keselamatan akan dipikul oleh negara rantau itu sendiri.

Walaupun pendekatan itu dikritik sebagai berisiko dan tidak tekal, sebahagian penganalisis menyifatkannya sebagai peluang.

“Ia satu salah faham untuk menganggap pengunduran Amerika akan membawa kekacauan.

“Sejak 2017, kita melihat bagaimana pengurangan payung keselamatan Amerika sebenarnya mendorong diplomasi serantau, bukan sebaliknya,” ujar Dr Parsi.

Dalam konteks ini, NSS Trump mencerminkan usaha untuk mengurus Asia Barat dengan kos politik dan ketenteraan yang lebih rendah.

Sama ada pendekatan itu mampu membawa kestabilan sebenar atau sekadar menangguhkan krisis seterusnya, masih menjadi persoalan terbuka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg