RIYADH: Arab Saudi dijangka berdepan tempoh cuaca paling sejuk bagi musim sejuk tahun ini bermula 12 Januari, menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM).
Dalam kenyataannya, NCM memaklumkan keadaan sejuk yang ketara dijangka berlaku pada waktu malam dan awal pagi di wilayah utara serta kawasan tanah tinggi barat daya, bermula hari 12 Januari hingga 17 Januari. Keadaan itu turut berpotensi menyebabkan pembentukan kabus dan embun beku di beberapa kawasan terlibat.
“Haba akan menurun dengan ketara, khususnya pada waktu malam, dan sesetengah kawasan berkemungkinan mengalami fros,” menurut pusat meteorologi itu.
Selain suhu rendah, hujan juga dijangka berlaku menjelang hujung minggu ini di beberapa wilayah termasuk Tabuk, Al Jouf, Northern Borders, Hail, Makkah dan Madinah. Keadaan ini dijangka disertai peningkatan litupan awan serta penurunan suhu yang lebih ketara.
NCM turut memberi amaran mengenai angin permukaan yang aktif, yang berpotensi membawa debu dan pasir pada waktu siang di wilayah-wilayah sama. Kesan angin kencang itu dijangka meluas ke Qassim, Riyadh dan Wilayah Timur, sekali gus menyebabkan jarak penglihatan mendatar berkurangan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti amaran serta kemas kini cuaca, khususnya di kawasan yang dijangka terjejas,” kata NCM sambil menggesa orang awam memantau laporan harian melalui laman web rasmi dan saluran media sosial yang disahkan.
Menurut data sejarah yang dikongsi NCM, Hail pernah mencatatkan suhu musim sejuk paling rendah di Arab Saudi, iaitu -10 darjah Celsius pada 16 Januari 2008. Statistik itu diperoleh daripada analisis suhu minimum musim sejuk dan corak fros antara 1985 hingga 2025, melibatkan bulan Disember, Januari dan Februari.
Wilayah Qurayyat di Al Jouf merekodkan suhu terendah kedua, iaitu minus 9 darjah Celsius pada Januari 2008, manakala Turaif di sempadan utara mencatat -8 darjah Celsius pada beberapa kesempatan. Bandar Al Jouf pula pernah mencatat suhu -7 darjah Celsius pada Februari 1989.
Beberapa bandar lain turut merekodkan suhu di bawah paras beku dalam tempoh kajian itu, antaranya Arar (-6.3°C), Rafha (-5.8°C), Riyadh (-5.4°C), Buraidah (-5°C), Qassim (-4.2°C), Tabuk (-4°C), Al-Ahsa (-2.3°C), Wadi Al-Dawasir (-2°C), Taif (-1.5°C) dan Bisha (-1°C).
NCM menyatakan tahun 2008 antara tahun paling sejuk dalam rekod, dengan beberapa bandar mencatat paras suhu terendah bersejarah. Dari segi bilangan hari embun beku, Turaif mendahului dengan 720 hari embun beku diikuti Qurayyat (588 hari) dan Hail (339 hari) dalam tempoh 40 tahun kajian.
Dalam perkembangan berkaitan, NCM turut meramalkan ribut petir disertai hujan batu dan angin kencang di beberapa wilayah termasuk Jazan, Aseer, Al-Baha, Makkah, Riyadh, Qassim, Wilayah Timur, Northern Borders dan Al Jouf, selain jangkaan kabus di Madinah dan Hail.
Cuaca sejuk ekstrem itu turut mencetuskan fenomena jarang berlaku apabila Gunung Jabal Al-Lawz di Tabuk, setinggi lebih 2,500 meter, diseliputi salji sejak awal Januari. Video yang tular di media sosial menunjukkan penduduk tempatan dan pelawat mula mengunjungi kawasan berkenaan.
Menurut laporan stesen televisyen Al-Ekhbariya, salji terus turun selama beberapa hari, manakala NCM mengesahkan ribut petir masih berpotensi melanda beberapa wilayah.
Walaupun cuaca ekstrem meningkatkan risiko keselamatan, pihak berkuasa menyatakan musim sejuk turut merancakkan eko-pelancongan, khususnya di wilayah sempadan utara dengan aktiviti seperti perkhemahan, pendakian dan pemerhatian alam semula jadi, sambil menekankan kepentingan keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg