Qatar perantara senyap di sebalik gencatan senjata Iran-Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Qatar perantara senyap di sebalik gencatan senjata Iran-Israel

Jun 30, 2025 | 5:36 PM

Qatar perantara senyap di sebalik gencatan senjata Iran-Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Rakaman dari AFPTV ini menunjukkan serpihan peluru berpandu Iran yang berjaya dipintas dan jatuh berhampiran pagar di tepi jalan di Qatar pada 23 Jun 2025. Walaupun Qatar diserang, Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, yang berjaya memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dengan Amerika Syarikat, telah meredakan ketegangan kian memuncak di Asia Barat. Langkah diplomatik itu dianggap sebagai pencapaian penting yang berjaya mengelakkan rantau tersebut daripada terjerumus ke dalam konflik berskala lebih besar dan pertembungan yang boleh menggugat kestabilan serantau.
Rakaman dari AFPTV ini menunjukkan serpihan peluru berpandu Iran yang berjaya dipintas dan jatuh berhampiran pagar di tepi jalan di Qatar pada 23 Jun 2025. Walaupun Qatar diserang, Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, yang berjaya memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dengan Amerika Syarikat, telah meredakan ketegangan kian memuncak di Asia Barat. Langkah diplomatik itu dianggap sebagai pencapaian penting yang berjaya mengelakkan rantau tersebut daripada terjerumus ke dalam konflik berskala lebih besar dan pertembungan yang boleh menggugat kestabilan serantau. - Foto AFP

DOHA: Dalam ruang diplomatik yang penuh tegang, Qatar sekali lagi membuktikan peranannya sebagai pengantara serantau yang berkesan.

Walaupun diserang secara langsung oleh Iran menerusi peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al-Udeid milik Amerika Syarikat, negara kecil tetapi kaya itu tampil tenang dan mengambil peranan utama meredakan konflik antara Israel dengan Iran.

Secara terbuka, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, menegaskan bahawa negaranya mempunyai hak untuk bertindak balas.

“Kami mengecam serangan tersebut dan mempunyai hak penuh untuk mempertahankan kedaulatan kami,” katanya.

Namun dalam masa yang sama, beliau turut menyeru agar ketegangan dikurangkan dan rundingan gencatan senjata dipercepat.

Namun tindakan yang tidak diketahui umum pada ketika itu, Qatar sebenarnya sudah mula memainkan peranan sebagai pengantara, berhubung secara senyap dengan sekutu Amerika dan pihak berkuasa Iran bagi memeterai perjanjian gencatan senjata.

“Peristiwa ini menunjukkan bahawa Qatar mampu menerima tamparan tetapi tetap berfikiran pragmatik,” kata Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara di Chatham House, Dr Sanam Vakil.

Konflik semakin memuncak apabila Amerika menyokong Israel dan melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear Iran.

Sebagai tindak balas, Iran menyerang Pangkalan Udara Al-Udeid berhampiran Doha.

Menurut Mejar Jeneral Shayeq Misfer al-Hajri, Timbalan Ketua Staf Operasi bersama Qatar, kebanyakan peluru berpandu Iran berjaya dipintas, dan tidak mengakibatkan sebarang korban.

Walaupun diserang, Qatar tidak mengambil langkah hukuman terhadap Iran, sebaliknya memanggil Duta Iran untuk memberi penjelasan.

Mantan Duta Besar Britain ke Qatar, Encik Nicholas Hopton, menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk “koreografi diplomatik” yang disengajakan.

Ketika ketegangan semakin memuncak, negara Teluk termasuk Qatar mula bimbang konflik tersebut akan merebak dan menjejas prasarana tenaga yang menjadi tunjang utama ekonomi mereka.

Qatar, berbanding jiran Teluk lain, mempunyai hubungan lebih akrab dengan Iran dan telah memainkan peranan utama dalam rundingan antara Israel dengan Hamas sejak perang Gaza meletus pada Oktober 2023.

Menurut tiga diplomat yang enggan dikenali, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah meminta bantuan Qatar untuk memujuk Iran menerima cadangan gencatan senjata yang telah disetujui Israel.

Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, segera menghubungi pemimpin Iran.

Hasilnya, Iran bersetuju mematuhi gencatan senjata menjelang malam 23 Jun.

“Trump mahukan pengurangan ketegangan, dan Qatar berjaya membantunya,” kata Encik Hopton.

Nilai Qatar dalam strategi luar negaranya sentiasa berpusat kepada hubungan erat dengan Washington.

Walaupun negara itu mempunyai tentera yang kecil, pelaburan besar Qatar dalam membangunkan pangkalan udara Amerika – dianggarkan mencecah AS$8 bilion ($10.24 bilion) telah memperkukuh kepercayaan Washington terhadapnya.

Ia termasuk dalam era pemerintahan Encik Trump yang kerap mengutamakan pendekatan sehala “America First”.

Qatar turut memainkan peranan besar dalam meredakan ketegangan di rantau lain seperti Sudan, Chad, dan Venezuela.

Doha menjadi tuan rumah rundingan rahsia antara Amerika dengan Venezuela pada 2023, yang membawa kepada penggantungan sementara sekatan ekonomi.

Serangan Iran terhadap Al-Udeid dilihat sebagai simbolik – seolah-olah disengajakan agar tidak membawa kemusnahan besar, sekali gus membuka ruang diplomasi.

Encik Trump sendiri mengucapkan terima kasih kepada Iran kerana memberi amaran awal, membolehkan pangkalan itu dikosongkan lebih awal.

Menteri Luar Qatar, Sultan bin Saad al-Muraikhi, mengecam keras serangan tersebut, manakala jurucakap Kementerian Luar, Encik Majed al-Ansari, menegaskan bahawa Qatar sejak awal telah memberi amaran jelas tentang bahaya tindakan agresif Israel yang boleh mencetus ketegangan serius dengan Iran.

Kenyataan rasmi Iran pula mencerminkan keengganan mereka untuk memutuskan hubungan dengan Qatar.

“Kami tetap komited untuk mengekalkan hubungan mesra dan bersejarah bersama Qatar,” kata Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei.

Malah, Majlis Keselamatan Nasional Tertinggi Iran menyifatkan Qatar sebagai “negara sahabat”.

Qatar kini dilihat sebagai satu-satunya negara Teluk yang mampu berunding dengan semua pihak – termasuk musuh utama Amerka seperti Taleban, Hamas dan Iran.

Hubungan diplomatik Qatar dengan Iran juga diperkuat selepas negara itu menyokong Qatar sewaktu ia dipulaukan oleh Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan sekutunya beberapa tahun lalu.

Dalam temu bual bersama Encik Tucker Carlson, utusan khas Presiden Trump, Encik Steve Witkoff, memuji peranan Qatar:

“Mereka mahu damai kerana mereka tahu sebagai negara kecil, keamanan adalah jaminan kewujudan mereka.”

Beliau menegaskan bahawa Qatar membiayai sepenuhnya operasi pangkalan udara Amerika tanpa memerlukan pembiayaan daripada Washington.

“Itu sangat luar biasa,” katanya.

Dalam konflik yang rumit dan tidak menentu antara Iran, Israel, dengan Amerika, Qatar sekali lagi muncul sebagai pemain utama yang tenang, berstrategi dan cekap.

Daripada menjadi mangsa serangan peluru berpandu kepada menjadi perunding damai, negara kecil itu menunjukkan dalam dunia diplomasi moden, kekuatan bukan hanya terletak pada saiz tentera – tetapi pada kebijaksanaan dan kepercayaan yang diperoleh.

Menurut Kementerian Luar Qatar, pihaknya menyatakan harapan agar perjanjian itu menjadi langkah bermakna ke arah penyelesaian konflik di rantau berkenaan dan sejagat melalui dialog dan diplomasi.

Beliau turut menekankan kepentingan menggunakan kaedah damai bagi mencapai kestabilan berkekalan serta keamanan menyeluruh dan mampan.

Pada masa yang sama, kementerian itu turut menegaskan bahawa pelanggaran kedaulatan dan ruang udara Qatar oleh Iran merupakan sebahagian daripada peningkatan ketegangan berbahaya di rantau itu.

Ia memerlukan usaha ikhlas dan bersama bagi menghalang semua tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Qatar tahu bila perlu bertindak, dan bilaperlu berbicara. Mereka bukan hanya pengantara, mereka adalah penjaga kestabilan,” ujar Encik Hopton. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg