GAZA: Selepas dua tahun peperangan dan kemusnahan meluas, pelajar Universiti Islam Gaza kembali menghadiri kuliah bersemuka, satu langkah yang menandakan tekad rakyat Gaza untuk meneruskan pendidikan walaupun kampus mereka rosak teruk akibat serangan Israel.
Bangunan universiti yang retak, sebahagiannya musnah dan sebahagian lain menempatkan keluarga pelarian, kembali dipenuhi ratusan pelajar pada 29 November lalu – satu pemandangan yang mencerminkan usaha Gaza menghidupkan semula kehidupan akademik di tengah-tengah kesan tragik perang.
Universiti Islam Gaza memulakan semula kuliah bersemuka secara berperingkat selepas dua tahun bergantung kepada pembelajaran dalam talian yang terbatas.
Sepanjang tempoh perang, usaha pengajaran terganggu akibat perpindahan paksa, kekurangan elektrik dan kemusnahan infrastruktur pendidikan.
Menurut Pejabat Media Gaza, serangan Israel sejak Oktober 2023 telah memusnahkan 165 sekolah, universiti dan institusi pendidikan, manakala 392 lagi mengalami kerosakan sebahagian.
Angka ini menggambarkan betapa lumpuhnya sektor pendidikan di Gaza.
Bangunan universiti bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengajian, malah menjadi tempat perlindungan kepada ratusan keluarga yang kehilangan rumah akibat serangan udara.
Situasi itu mendorong pihak universiti merayu campur tangan segera pihak berkuasa untuk menyediakan penempatan alternatif.
Anggaran pihak berkuasa menunjukkan Gaza memerlukan sekitar 300,000 khemah dan unit rumah sementara bagi menampung keperluan tempat tinggal penduduk selepas kemusnahan besar-besaran yang berlaku.
Presiden Universiti Islam Gaza, Encik Asaad Yousef Asaad, menyifatkan pembukaan semula kampus sebagai satu detik penting dalam usaha membina semula harapan rakyat Gaza.
“Hari ini adalah hari bersejarah. Kami kembali kepada pendidikan walaupun tragedi dan kekejaman genosid ini meninggalkan luka mendalam,” katanya kepada agensi berita Anadolu (AA).
Beliau berkata jumlah pelajar dari fakulti perubatan dan sains kesihatan adalah antara yang paling ramai hadir pada hari pertama pembukaan semula kampus.
“Rakyat Palestin, seperti yang semua tahu, cintakan kehidupan dan pendidikan,” tambahnya.
Encik Asaad menjelaskan bahawa beberapa bangunan utama universiti telah musnah sepenuhnya, memaksa institusi itu bergantung pada pembelajaran jarak jauh sepanjang peperangan.
Namun universiti masih berjaya menamatkan pengajian 4,000 pelajar melalui kaedah pembelajaran tersebut.
Kini, universiti mula menerima pelajar baru secara bersemuka untuk kali pertama sejak Oktober 2023.
Di fakulti perubatan, pelajar menunjukkan kegembiraan bercampur kelegaan apabila dapat kembali ke ruang kuliah.
Cik Malak al-Moqayad, pelajar perubatan, berkata: “Saya mendaftar di Fakulti Perubatan, dan hari ini kami kembali ke kelas bersemuka buat pertama kali sejak perang. Universiti mengalami kerosakan besar, tetapi mereka berjaya memulihkan bangunan ini walaupun sesak.”
Beliau menegaskan bahawa pendidikan perubatan memerlukan latihan praktikal, justeru pembelajaran bersemuka adalah keperluan.
“Kami bangga dapat terus belajar. Semangat untuk menuntut ilmu sangat kuat,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Encik Sama Radi, turut meluahkan meluahkan semangat yang tidak luntur.
“Walaupun kemusnahan dan pengeboman berlaku, kami duduk di dalam kelas hari ini. Saya bangga dengan negara dan universiti saya yang mampu bangkit semula daripada genosid Israel dan kembali lebih kuat,” katanya.
Perang yang bermula pada Oktober 2023 mengorbankan hampir 70,000 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Lebih 170,900 cedera, manakala sebahagian besar kawasan di Gaza masih tinggal runtuhan.
Walaupun situasi kekal kritikal, pembukaan semula Universiti Islam Gaza memberikan sedikit sinar harapan satu usaha untuk mengekalkan kesinambungan pendidikan, memulihkan kehidupan dan membina semula masa depan di tengah-tengah kehancuran yang masih berterusan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg