Topik diikuti
Pergi ke BHkuDuta Saudi jamin jemaah umrah selamat meski konflik AS-Iran memuncak
Duta Saudi jamin jemaah umrah selamat meski konflik AS-Iran memuncak
Duta Saudi jamin jemaah umrah selamat meski konflik AS-Iran memuncak
JAKARTA: Arab Saudi memberi jaminan keadaan keselamatan di negara itu kekal stabil dan selamat untuk jemaah haji serta umrah dari Indonesia meskipun ketegangan antara Amerika Syarikat dengan Iran semakin memuncak di Asia Barat.
Duta Besar Arab Saudi ke Indonesia, Encik Faisal Abdullah Al Amoudi, berkata orang ramai tidak perlu bimbang untuk meneruskan rancangan menunaikan ibadah di Tanah Suci kerana keadaan keselamatan berada pada tahap terbaik.
“Alhamdulillah, Arab Saudi stabil, sama ada pada masa lalu, sekarang mahupun pada masa akan datang.
“Negara kami 100 peratus selamat untuk rakyat Arab Saudi, penduduk yang menetap di sana serta semua pelawat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jakarta pada malam 13 Julai.
Beliau berkata demikian ketika menjawab kebimbangan masyarakat Indonesia berhubung keselamatan perjalanan ke Arab Saudi susulan peningkatan konflik antara Amerika dengan Iran sejak beberapa hari lalu.
Menurut Encik Al Amoudi, bakal jemaah umrah tidak mempunyai sebab untuk menangguhkan perjalanan mereka.
“Mereka tidak perlu bimbang. Alhamdulillah, Arab Saudi sangat selamat,” katanya.
Beliau turut menegaskan operasi penerbangan antara Indonesia dengan Arab Saudi berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Syarikat penerbangan nasional Arab Saudi, Saudia, kini mengendalikan lima penerbangan terus setiap hari dari Indonesia ke Arab Saudi, ujar beliau.
Selain itu, beberapa syarikat penerbangan lain turut menyediakan penerbangan ke Jeddah melalui transit.
“Semuanya berjalan dengan baik di Arab Saudi,” katanya.
Encik Al Amoudi berkata hubungan antara Indonesia dengan Arab Saudi kini semakin kukuh dan telah berkembang menjadi perkongsian strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pengangkutan, logistik serta kerjasama ekonomi.
“Kedua-dua negara komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala melalui pelbagai bentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Jaminan itu diberikan ketika ketegangan di Asia Barat kembali meningkat susulan siri serangan balas antara Amerika dengan Iran yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan di rantau berkenaan.
Iran mengumumkan telah melancarkan serangan ke atas beberapa pangkalan tentera Amerika di Kuwait, Bahrain, Qatar, Jordan dan Oman sebagai tindak balas terhadap serangan Washington ke atas beberapa sasaran di Iran.
Sebagai tindak balas, Markas Pusat Amerika (Centcom) memaklumkan pihaknya meneruskan operasi ketenteraan terhadap Iran dengan alasan untuk melemahkan keupayaan Teheran menyerang kapal dagang dan kapal awam yang melalui Selat Hormuz.
Walaupun konflik itu meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan di rantau Teluk, Arab Saudi setakat ini tidak melaporkan sebarang ancaman yang menjejas operasi lapangan terbang, penerbangan komersial atau perjalanan jemaah ke Makkah dan Madinah.
Arab Saudi merupakan destinasi utama umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan ibadah haji dan umrah, dengan jutaan anggota jemaah memasuki negara itu setiap tahun.
Indonesia pula merupakan negara yang menghantar jumlah jemaah haji terbesar ke Arab Saudi, selain menjadi antara penyumbang utama jemaah umrah sepanjang tahun.
Kenyataan Duta Besar Arab Saudi itu dijangka memberi kelegaan kepada ribuan bakal jemaah Indonesia yang dijadual berlepas ke Tanah Suci dalam tempoh terdekat, di tengah-tengah kebimbangan bahawa konflik serantau boleh menjejas keselamatan perjalanan ke Arab Saudi. – Agensi berita.