DAMSYIK: Selepas lebih sedekad dilanda peperangan berterusan, Asia Barat kini berada di satu persimpangan genting.
Dari Syria ke Lebanon, dari Israel ke Gaza, ratusan ribu nyawa telah terkorban, jutaan cedera, dan generasi baru membesar dalam bayang-bayang keganasan.
Namun, di sebalik runtuhan bangunan, penderitaan dan trauma bersama yang berlarutan, semakin menonjol satu perubahan sentimen di Asia Barat iaitu keletihan mendalam terhadap konflik bersenjata dan keinginan yang kian jelas untuk mempertahankan kehidupan, kestabilan dan masa depan generasi seterusnya.
Dengan lebih setengah juta terkorban dalam perang saudara Syria selama 13 tahun dan kira-kira 70,000 rakyat Palestin terbunuh dalam dua tahun perang di Gaza, selain hampir 2,000 korban di pihak Israel, keletihan itu bukan sekadar emosi, malah realiti politik dan sosial yang semakin sukar diabaikan.
Ramai di rantau ini tidak lagi berbicara tentang kemenangan atau pembalasan, tetapi tentang kelangsungan hidup dan masa depan anak-anak.
“Tiada jalan lain selain mencari penyelesaian,” kata Encik Hassan Smadi, 48 tahun, seorang petugas hospital di Busra, selatan Syria kepada The New York Times.
Beliau kehilangan adik lelakinya akibat pengeboman rejim Bashar al-Assad sebelum rejim itu tumbang pada 2024.
“Kami sudah terlalu letih dengan perang. Kami hanya mahu hidup dengan aman,” katanya.
Kenyataan Encik Smadi mencerminkan suara yang semakin kuat di Syria, sebuah negara yang hampir hancur sepenuhnya.
Di luar sebuah amfiteater Rome yang masih teguh berdiri di Busra terpampang sepanduk memetik puisi Mahmoud Darwish – seorang penyair kebangsaan Palestin dan antara tokoh sastera Arab paling berpengaruh pada abad ke-20, yang puisinya menjadi suara kolektif pengalaman rakyat Palestin.
Ia berbunyi: “Di atas bumi ini, ada sesuatu yang layak untuk hidup.”
Ia menjadi simbol keinginan rakyat untuk keluar daripada kitaran keganasan yang tiada kesudahan.
Keletihan perang bukan jaminan keamanan, tetapi ia membuka ruang perbincangan yang sebelum ini mustahil.
Di Israel sendiri, kepenatan itu semakin jelas.
“Perang Gaza melanggar prinsip asas Israel untuk bertempur dalam tempoh singkat.
“Tentera keletihan, masyarakat keletihan, dan tempoh tugas tentera simpanan yang berpanjangan membebankan anggota serta sistem secara keseluruhan menekan semua pihak.
“Faktor-faktor ini menentang idea untuk kembali berperang,” kata penulis dan sejarawan Israel, Encik Gershom Gorenberg.
Namun, keletihan itu wujud dalam konteks rantau yang masih mudah terbakar.
Amerika Syarikat baru-baru ini melancarkan serangan udara ke atas saki-baki ISIS di Syria sebagai tindak balas kepada pembunuhan dua anggota tenteranya.
Tindakan itu disifatkan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, sebagai “satu tindakan balas dendam”, sekali gus menunjukkan keganasan masih menjadi sebahagian daripada bahasa kuasa di rantau tersebut.
Optimisme Washington yang menggambarkan Asia Barat sebagai wilayah “perkongsian, persahabatan dan pelaburan” tampak tidak seiring dengan realiti konflik yang masih rapuh dan belum diselesaikan.
Gencatan senjata Gaza yang dimeterai di Sharm el-Sheikh pada Oktober memang menamatkan pertempuran besar, tetapi fasa seterusnya penuh dengan pertikaian.
Isu pelucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel, peranan Penguasa Palestin, dan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa masih belum menemui titik temu.
Perubahan penting dalam landskap kuasa turut memberi kesan.
Iran terjejas teruk selepas perang 12 hari dengan Israel pada Jun lalu, melemahkan “paksi penentangan” yang dibinanya sejak dua dekad lalu.
Hezbollah di Lebanon kini bukan lagi kekuatan yang pernah digeruni, manakala Hamas berada dalam keadaan defensif selepas kepimpinan utamanya disingkirkan.
Keadaan itu memberi ruang, walaupun kecil, untuk pilihan baru.
Majoriti Sunni yang kini menerajui pemerintah Syria, dengan sokongan Arab Saudi dan Turkey, dilihat lebih berminat kepada pembinaan semula dan peluang ekonomi berbanding konflik ideologi.
“Semua ini, untuk apa?” kata Encik Jihad Wahab, 24 tahun, di Nabatieh, Lebanon, sambil menunjuk ke arah bangunan majlis perbandaran yang musnah akibat serangan Israel.
“Kenapa saya perlu meninggalkan negara sendiri untuk membina masa depan?”
Syria kini berada pada apa yang disifatkan sebagai ‘zero hour’ – titik sifar selepas kehancuran total.
Lebih 100,000 orang dilaporkan ‘hilang’ sepanjang perang, dan berjuta-juta menjadi pelarian.
Namun, di tengah kekacauan itu, muncul kepimpinan baru di bawah Presiden Ahmed al-Sharaa, tokoh yang latar belakangnya mencetuskan kecurigaan tetapi kini mendapat sokongan antarabangsa.
Beliau berjaya mendapatkan pengiktirafan diplomatik, mengangkat sekatan ekonomi, dan mengekalkan kestabilan relatif meskipun berdepan provokasi tentera Israel.
“Kami tidak mewarisi Switzerland. Tetapi keterangkuman adalah satu-satunya jalan. Jika kami silap, kami perbetulkan,” kata Menteri Hal Ehwal Sosial Syria, Encik Hind Kabawat.
Kenyataan itu menggambarkan kesedaran bahawa legitimasi pascaperang tidak boleh dibina melalui kekerasan semata-mata, tetapi melalui penyertaan semua masyarakat.
Namun, persoalan terbesar Asia Barat kekal sama iaitu Palestin. Tanpa penyelesaian isu Palestin, sukar membayangkan kestabilan jangka panjang.
“Tiada keselamatan atau kestabilan di Asia Barat tanpa sebuah negara Palestin,” kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.
Pentadbiran Amerika kini menyebut secara berhati-hati tentang “laluan yang boleh dipercayai ke arah penentuan nasib Palestin sendiri”, bahasa yang menunjukkan kesedaran ‘realpolitik’, walau Israel di bawah pimpinan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, terus menolak penubuhan negara Palestin.
Cik Anne-Claire Legendre, penasihat Asia Barat kepada Presiden Perancis, melihat paradoks dalam pendirian Israel.
“Perjanjian damai dengan Mesir kekal. Perjanjian dengan Jordan kekal. Perjanjian Abraham kekal. Jadi mengapa Israel tidak mempertimbangkan perjanjian lain dengan keyakinan yang lebih besar?”
Realitinya, damai di Asia Barat bukan sesuatu yang boleh muncul secara mendadak.
Ketegangan sektarian masih wujud, seperti yang ditunjukkan oleh kejadian pembunuhan di Anaz, Syria, yang mengingatkan bahawa dendam lama belum lenyap sepenuhnya.
Namun, terdapat satu tema berulang dari Aleppo ke Lebanon, dari Gaza ke Damsyik iaitu keinginan untuk menghentikan pembalasan.
“Kami letih dengan perang. “Kami hanya mahu hidup seperti orang lain,” kata seorang pemimpin masyarakat Kurdi di Aleppo.
Sejarah rantau Timur Tengah hanya mengajar bahawa perkara yang kelihatan mustahil kadangkala berlaku.
Lawatan mantan Presiden Mesir, Encik Anwar Sadat, ke Baitulmakdis pada 1977 pernah dianggap khayalan.
Namun ia berlaku, dan mengubah trajektori hubungan Mesir-Israel.
Hari ini, Asia Barat mungkin belum bersedia untuk satu lonjakan bersejarah yang serupa.
Tetapi di tengah-tengah runtuhan, muncul satu kehendak bersama untuk hidup.
Seperti kata penyair Tunisia, Abu al-Qasim al-Shabbi: “Jika rakyat memiliki kehendak untuk hidup, maka takdir harus akur.”
Dalam keletihan inilah, mungkin, terletak benih perubahan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg