Angka korban tunjuk perasaan Iran lebihi 3,000, kata kumpulan hak asasi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angka korban tunjuk perasaan Iran lebihi 3,000, kata kumpulan hak asasi

Jan 17, 2026 | 5:02 PM

Angka korban tunjuk perasaan Iran lebihi 3,000, kata kumpulan hak asasi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
bantahan, Iran, HRANA
Anggota polis Iran mengawal perhimpunan tunjuk perasaan di depan kedutaan Britain susulan protes antipemerintah di Teheran, Iran, pada 14 Januari. - Foto REUTERS

DUBAI: Angka korban dalam tunjuk perasaan serata negara di Iran telah melebihi 3,000 orang, menurut kumpulan hak asasi pada 17 Januari.

Sementara itu, aktiviti Internet dilaporkan “meningkat sedikit” di dalam negara itu selepas sekatan selama lapan hari.

Kumpulan HRANA yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata mereka telah mengesahkan sebanyak 3,090 kematian, termasuk 2,885 penunjuk perasaan.

Ini menyusuli laporan daripada penduduk bahawa tindakan keras pemerintah telah berjaya mengurangkan tunjuk perasaan buat masa ini, dengan media pemerintah melaporkan lebih penangkapan dilakukan.

Ibu kota Teheran juga dilaporkan agak tenang selama empat hari ini, kata beberapa penduduk kepada agensi berita Reuters.

Beberapa dron dilaporkan berlegar di udara bandar ibu negara itu, namun tiada tanda-tanda tunjuk perasaan besar kelihatan pada 15 atau 16 Januari, kata penduduk yang meminta nama mereka dirahsiakan demi keselamatan.

Seorang penduduk di sebuah bandar utara di Laut Kaspia pula berkata jalan raya di sana juga kelihatan tenang.

Tunjuk perasaan itu tercetus pada 28 Disember menyusuli kesempitan ekonomi, dan berkembang menjadi demonstrasi besar-besaran yang menuntut pengakhiran pemerintahan ulama di Republik Islam itu.

Ia terus meruncing menjadi keganasan besar-besaran pada hujung minggu lalu.

Menurut kumpulan pembangkang dan seorang pegawai Iran, lebih 2,000 orang terbunuh dalam pergolakan dalam negara paling buruk itu yang direkodkan sejak Revolusi Islam Iran pada 1979.

“Kajian metrik menunjukkan peningkatan sangat sedikit dalam sambungan Internet di #Iran pagi ini” selepas 200 jam penutupan, menurut kumpulan pemantau Internet NetBlocks yang memuat naik kenyataan itu di X. 

Tahap sambungan Internet masih sekitar 2 peratus berbanding tahap biasa, kata NetBlocks.

Segelintir rakyat Iran di luar negara turut melaporkan di media sosial bahawa mereka berjaya menghantar mesej kepada pengguna yang berada di dalam Iran pada awal 17 Januari.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang pernah mengugut akan mengambil “tindakan sangat tegas” sekiranya Iran menggantung penunjuk perasaan, berkata pemimpin Teheran telah membatalkan hukuman gantung beramai-ramai.

“Saya amat menghargai bahawa semua hukuman gantung yang dijadualkan, yang sepatutnya dijalankan semalam (lebih 800 orang), telah dibatalkan oleh pimpinan Iran. Terima kasih!” tulis Encik Trump di media sosial.

Namun, Iran belum mengumumkan sebarang rancangan untuk pelaksanaan hukuman tersebut, atau menyatakan ia telah dibatalkan.

Pelajar dan jemaah India yang pulang dari Iran berkata pergerakan mereka terbatas dalam penginapan masing-masing semasa berada di negara itu, dan tidak dapat berhubung dengan keluarga di India.

“Kami hanya mendengar cerita tentang tunjuk perasaan ganas, dan seorang lelaki melompat di depan kereta kami sambil memegang baton yang dinyalakan, menjerit sesuatu dalam bahasa tempatan, dengan kemarahan jelas terpancar pada raut wajahnya,” kata seorang pelajar perubatan tahun ketiga di sebuah universiti di Teheran, Cik Z Syeda.

Pada 16 Januari, Kementerian Ehwal Luar India berkata penerbangan komersial tersedia dan New Delhi akan mengambil langkah bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyatnya yang berada di Iran. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg