Topik diikuti
Pergi ke BHkuTekanan ekonomi ubah corak pembelian haiwan korban di Indonesia
Tekanan ekonomi ubah corak pembelian haiwan korban di Indonesia
Tekanan ekonomi ubah corak pembelian haiwan korban di Indonesia
JAKARTA: Indonesia mencatat lebihan bekalan haiwan korban sempena sambutan Aidiladha 2026 apabila jumlah ternakan yang tersedia mencecah 3.2 juta ekor, jauh mengatasi permintaan nasional yang dianggar sekitar 2.4 juta ekor.
Timbalan Menteri Pertanian Indonesia, Encik Sudaryono, berkata lebihan itu membabitkan kira-kira 800,000 haiwan, sekali gus menunjukkan kestabilan bekalan makanan dan kemampuan sektor penternakan domestik negara itu.
“Lebihan haiwan korban mencecah sekitar 800,000 ekor. Alhamdulillah, Indonesia ketika ini berada dalam keadaan baik,” katanya kepada media di Jakarta pada 27 Mei.
Menurut beliau, keadaan itu membuktikan Indonesia masih mampu memenuhi permintaan haiwan korban menjelang Aidiladha tanpa berdepan masalah kekurangan bekalan yang serius.
Encik Sudaryono berkata keadaan itu turut mencerminkan kestabilan ekonomi dan keselamatan makanan negara walaupun dunia sedang berdepan konflik geopolitik serta ketidaktentuan ekonomi sejagat.
“Dalam keadaan dunia yang sukar dan dipenuhi peperangan, kita masih berada dalam keadaan baik dan wajar bersyukur,” katanya.
Beliau berkata kestabilan itu turut dipengaruhi usaha pemerintah di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, untuk memastikan sektor makanan dan ekonomi terus stabil.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penternakan dan Kesihatan Haiwan, Kementerian Pertanian Indonesia, Encik Agung Suganda, berkata bekalan ternakan negara ketika ini masih mencukupi dan terkawal.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan 3.2 juta ternakan yang tersedia, sebanyak 860,000 adalah lembu, 34,000 kerbau, 1.4 juta kambing dan 935,000 biri-biri.
“Anggaran permintaan sekitar 2.4 juta ekor menunjukkan pengeluaran ternakan domestik masih mampu memenuhi keperluan masyarakat tanpa kekangan bekalan yang besar,” katanya.
Bagi memastikan haiwan korban mematuhi piawaian kesihatan dan halal, kerajaan pusat serta pemerintah wilayah melaksanakan garis panduan dan program pendidikan secara besar-besaran kepada jawatankuasa korban di seluruh negara.
Program itu meliputi aspek kesihatan haiwan, kesihatan awam veterinar, kebajikan haiwan serta prosedur penyembelihan mengikut hukum syarak dan peraturan sedia ada.
Dalam usaha memperketat pemantauan sempena Aidiladha, Kementerian Pertanian turut mengerahkan 8,633 pegawai veterinar dan paramedik ke seluruh Indonesia untuk memeriksa haiwan korban.
Encik Agung berkata pemantauan turut dijalankan terhadap kegiatan penyembelihan yang dilakukan di luar rumah sembelih berlesen bagi memastikan proses korban mematuhi standard kebersihan dan halal.
Pemerintah wilayah pula menggerakkan pasukan tambahan melibatkan persatuan veterinar, kumpulan penternak dan penyembelih halal bertauliah.
Selain itu, pelajar daripada 14 sekolah veterinar di Indonesia turut membantu menjalankan pemeriksaan serta memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai amalan penyembelihan bersih dan selamat.
Walaupun jumlah bekalan haiwan korban meningkat, beberapa kajian menunjukkan kuasa beli masyarakat Indonesia semakin tertekan akibat kenaikan kos sara hidup.
Institut Kajian Demografi dan Kemakmuran (Ideas) menganggarkan jumlah haiwan yang dibeli untuk tujuan korban turun sedikit pada 2026 dari 1.6 juta ekor pada 2025 kepada sekitar 1.59 juta ekor.
Nilai ekonomi perdagangan haiwan korban juga dilaporkan susut daripada 27.1 trilion rupiah ($1.9 bilion) kepada sekitar 26.8 trilion rupiah pada 2026.
Penyelidik Ideas, Cik Tira Mutiara, berkata berlaku perubahan ketara dalam corak pembelian masyarakat apabila semakin ramai memilih haiwan korban lebih kecil dan murah.
“Dapatan ini menunjukkan perubahan cara masyarakat melaksanakan ibadah korban ketika berdepan tekanan ekonomi domestik. Mereka masih berkorban, tetapi memilih pilihan yang lebih mampu milik,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu mencerminkan kelemahan kuasa beli akibat kenaikan harga makanan, peningkatan kos sara hidup dan kos pengeluaran ternakan yang semakin tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Bimbingan Masyarakat Islam Kementerian Agama Indonesia, Abu Rokhmad, berkata pihaknya memang menjangkakan penurunan jumlah haiwan korban pada 2026 akibat tekanan ekonomi yang semakin meningkat. Beliau berkata inflasi dan kenaikan harga makanan menyebabkan ramai keluarga, terutama golongan pertengahan, terpaksa menyusun semula keutamaan perbelanjaan mereka. – Agensi berita.
“Tahun ini (2026) Aidiladha juga berlangsung hanya beberapa minggu sebelum sesi persekolahan baharu bermula.
“Ramai keluarga memberi keutamaan kepada perbelanjaan pendidikan anak-anak,” katanya.
Namun begitu, Encik Abu berkata ramai keluarga kelas pertengahan masih meneruskan ibadah korban walaupun memilih haiwan yang lebih kecil dan murah.
Keadaan itu ujar beliau, mencerminkan kesedaran sosial masyarakat untuk memastikan golongan rentan terus mendapat akses kepada sumber protein dan tidak terjerumus lebih jauh ke dalam ketidakamanan makanan.
“Ia menunjukkan rasa tanggungjawab sosial dalam masyarakat masih kuat walaupun keadaan ekonomi semakin mencabar,” katanya. – Agensi berita.
