Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuspek rempuhan di Berlin ditembak mati polis disyaki bermotif pengganasan
Suspek rempuhan di Berlin ditembak mati polis disyaki bermotif pengganasan
Suspek rempuhan di Berlin ditembak mati polis disyaki bermotif pengganasan
BERLIN: Polis Jerman menembak mati suspek utama yang dipercayai melancarkan serangan merempuh orang ramai pada perarakan Pride di Berlin selepas lelaki itu menyerang anggota polis dengan senjata tajam, sekali gus menamatkan operasi memburunya yang berlangsung hampir 24 jam.
Suspek, Abdul Ballout, 21 tahun, warga Jerman berketurunan Lebanon, ditembak di daerah Spandau, barat Berlin, pada petang 26 Julai selepas enggan menyerah diri dan bertindak meluru ke arah anggota polis sambil membawa pisau.
Polis berkata, Ballout meninggal dunia di lokasi kejadian walaupun pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya.
“Suspek yang dikehendaki berhubung serangan di Tiergarten berjaya dikesan sekitar jam 6 petang.
“Mengikut siasatan awal, dia meluru ke arah anggota polis sambil bersenjatakan pisau sebelum polis melepaskan tembakan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” menurut kenyataan Polis Berlin.
Kematian suspek menamatkan pemburuan besar-besaran yang dilancarkan selepas sebuah van putih dipandu merempuh orang ramai yang menghadiri sambutan Christopher Street Day atau Pride di Taman Tiergarten, berhampiran Gerbang Brandenburg, pada malam 25 Julai.
Serangan itu mengorbankan seorang wanita dan mencederakan sekurang-kurangnya 29 orang.
Beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah, namun media tempatan kemudian melaporkan semua mangsa yang dirawat tidak lagi berada dalam keadaan kritikal.
Menteri Dalam Negeri Jerman, Encik Alexander Dobrindt, berkata semua bukti yang dikumpulkan setakat ini menunjukkan serangan itu mempunyai unsur keganasan.
“Semua petunjuk menunjukkan bahawa ini adalah serangan pengganas bermotifkan ideologi Islamis.
“Kita berdepan seorang suspek yang sebelum ini telah menarik perhatian pihak berkuasa kerana mempunyai rekod jenayah yang banyak, selain melalui proses radikalisasi dan mempunyai kaitan dengan kumpulan Islamis,” katanya.
Menurut pihak pendakwa raya Berlin, Ballout pernah cuba menyertai kumpulan Daesh di Syria pada 2025.
Beliau dilaporkan berlepas ke Lebanon melalui Turkey pada Mei 2025 bagi bertemu individu yang dipercayainya anggota Daesh.
Bagaimanapun, beliau ditahan pihak berkuasa Lebanon pada Julai 2025 sebelum dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana menghasut kebencian agama dan perkauman.
Selepas kembali ke Jerman pada November tahun sama, Ballout ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Berlin Brandenburg.
Pada Mei lalu, beliau dijatuhi hukuman penjara satu tahun 10 bulan kerana merancang tindakan pengganasan yang mengancam keselamatan negara.
Namun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan selama enam bulan dan beliau dibebaskan di bawah pemantauan pegawai parol.
Selain itu, Ballout turut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes samun pada 2020 dan kes serangan serta rompakan pada 2022.
Pendedahan mengenai latar belakang suspek mencetuskan persoalan bagaimana individu yang sudah dikenali pihak berkuasa masih mampu melancarkan serangan maut.
Datuk Bandar Berlin, Kai Wegner, bagaimanapun memuji tindakan pantas polis menjejaki suspek dalam tempoh kurang 24 jam.
“Kejayaan Polis Berlin menahan suspek dalam tempoh sehari merupakan pencapaian besar.
“Saya amat berterima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terbabit,” katanya.
Beliau turut menyifatkan serangan itu sebagai cubaan menyerang nilai kebebasan dan keterbukaan masyarakat Jerman.
“Selepas perarakan Pride yang berlangsung secara aman dan meriah, sambutan terhadap Berlin yang toleran diserang dengan cara paling kejam.
“Ini adalah serangan terhadap masyarakat kita yang bebas dan terbuka,” katanya.
Canselor Jerman, Friedrich Merz, yang melawat lokasi kejadian pada 26 Julai turut berikrar membawa semua pihak yang terbabit ke muka pengadilan.
“Kita akan memastikan serangan mengerikan ini disiasat sepenuhnya dan pelakunya menerima hukuman setimpal.
“Jangan biarkan serangan ini memecahbelahkan masyarakat atau menakutkan mereka yang menjadi sasaran,” katanya.
Beliau menegaskan Jerman tidak akan membenarkan “racun keganasan” merosakkan kehidupan masyarakatnya.
Serangan itu turut mencetuskan reaksi politik apabila beberapa pemimpin parti sayap kanan Alternative for Germany (AfD) menggunakan insiden berkenaan untuk menggesa dasar imigresen diperketatkan.
Ahli Parlimen AfD, Encik Martin Hess, mendakwa kejadian itu membuktikan kegagalan dasar keselamatan pemerintah.
Bagaimanapun, pemimpin komuniti LGBTQ (lesbian, gay, dwiseksual, transjantina dan kuira) menolak cubaan mengaitkan serangan itu dengan isu imigresen semata-mata.
Sebaliknya, mereka menggesa semua pihak menolak ekstremisme dalam apa juga bentuk serta meningkatkan perlindungan terhadap golongan minoriti.
Sambutan Christopher Street Day di Berlin yang lazimnya menarik ratusan ribu peserta dari seluruh Eropah bertukar menjadi tragedi apabila serangan berlaku hanya beberapa jam sebelum acara dijadualkan berakhir.
Berikutan insiden itu, beberapa program awam termasuk aktiviti pembersihan Taman Tiergarten dan pasar sarapan pagi dibatalkan atas faktor keselamatan.
Pada sebelah petang 26 Julai, ratusan anggota komuniti LGBTQ kembali berkumpul berhampiran Gerbang Brandenburg untuk mengadakan upacara memperingati mangsa.
Dalam majlis itu, mereka mengecam keganasan dan ekstremisme, selain mengkritik pengurangan peruntukan kerajaan kepada organisasi yang memperjuangkan hak golongan LGBTQ. - Agensi berita