Topik diikuti
Pergi ke BHkuStarmer diasak letak jawatan selepas prestasi buruk Parti Buruh
Starmer diasak letak jawatan selepas prestasi buruk Parti Buruh
Starmer diasak letak jawatan selepas prestasi buruk Parti Buruh
LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, berdepan tekanan politik besar selepas keputusan buruk pilihan raya tempatan mencetuskan krisis dalam Parti Buruh, dengan beberapa ahli Parlimen dan menteri partinya sendiri dilaporkan mula mendesak beliau meletakkan jawatan.
Keputusan pilihan raya itu menyaksikan Parti Buruh mengalami kehilangan besar di England, Scotland dan Wales, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap masa depan kepimpinan Starmer.
Kira-kira satu pertiga majlis tempatan di England mengadakan pilihan raya pada 7 Mei lalu, manakala pengundi di Wales dan Scotland pula memilih wakil ke parlimen wilayah masing-masing.
Daripada 2,566 kerusi majlis tempatan di England yang dipertandingkan, Parti Buruh kehilangan sebanyak 1,498 kerusi. Di Scotland pula, parti itu kehilangan tiga kerusi parlimen.
Namun tamparan paling besar diterima di Wales apabila Parti Buruh kehilangan kawalan terhadap parlimen wilayah Senedd buat kali pertama dalam tempoh 100 tahun.
Parti itu jatuh ke tempat ketiga di belakang parti nasionalis kiri, Plaid Cymru, dan parti populis anti-imigresen Reform UK.
Keputusan itu menunjukkan Parti Buruh kini kehilangan sokongan daripada kedua-dua kelompok pengundi kiri dan kanan, sekali gus menyukarkan Starmer menentukan hala tuju politiknya.
Parti Reform UK yang dipimpin Encik Nigel Farage mencatat peningkatan besar dengan memenangi 1,452 kerusi di seluruh negara.
Parti itu berjaya menarik sokongan pengundi kelas pekerja di kawasan tradisi Parti Buruh di utara dan tengah England.
Dalam masa sama, Parti Hijau dan Liberal Demokrat turut menambah tekanan terhadap Buruh di bandar-bandar besar dan kawasan lebih mewah.
Di London, Parti Buruh kehilangan kawalan terhadap 12 daripada 21 majlis tempatan yang sebelum ini dikuasainya.
Peningkatan calon bebas di kawasan seperti Newham, Tower Hamlets dan Redbridge turut menjadi faktor utama kemerosotan sokongan terhadap Buruh. Ketiga-tiga kawasan itu mempunyai populasi Muslim melebihi 30 peratus, dan ramai calon bebas menjadikan perang di Gaza sebagai isu utama kempen mereka.Mereka memanfaatkan kemarahan penduduk terhadap pendirian Parti Buruh berkaitan konflik Gaza.
Parti Hijau pula mencatat kejayaan besar di kawasan yang mempunyai penduduk berpendidikan tinggi dan lebih berada, terutama selepas parti itu lantang mengkritik tindakan Israel di Gaza.
Sementara itu, Reform UK turut mencipta kejutan di beberapa kawasan pinggir London seperti Havering apabila memenangi 39 daripada 55 kerusi.
Pemerhati politik melihat keputusan pilihan raya ini sebagai petanda sistem politik Britain semakin berpecah dan tidak lagi didominasi dua parti utama tradisional, iaitu Parti Buruh dan Parti Konservatif.
Sebelum ini, kedua-dua parti itu biasanya menguasai sekitar 90 peratus undi dalam pilihan raya umum Britain.
Namun kebangkitan parti-parti baharu dalam sedekad kebelakangan ini telah mengubah landskap politik negara itu.
Menurut anggaran BBC, gabungan sokongan Parti Buruh dan Konservatif dalam pilihan raya tempatan England kali ini dijangka hanya sekitar 34 peratus, yang terendah sejak rekod perbandingan pilihan raya tempatan mula dibuat.
Di Scotland, Reform UK turut mencatat kemajuan besar apabila memenangi 17 kerusi parlimen wilayah, menyamai jumlah kerusi Parti Buruh yang pernah memerintah kerajaan wilayah Scotland sehingga tahun 2007.
Seorang ahli Parti Buruh yang enggan dinamakan berkata keputusan itu menunjukkan pengundi semakin hilang keyakinan terhadap kepimpinan Starmer.
“Ini bukan lagi amaran kecil. Parti sedang kehilangan sokongan di pelbagai kawasan penting,” katanya. - Agensi berita
