Dalam melayari kehidupan berkeluarga, akan timbul ujian dan cabaran yang sukar atau tidak dapat dielak. Pasti ada keluarga terpaksa memohon bantuan demi penerusan hidup.

AMP Singapura amat peka akan hal ini. Oleh itu, Skim Keluarga Angkat dan Belia (AFYS) AMP diadakan bagi menolong keluarga yang menghadapi kemelut ini mengatasinya.

Salah seorang penerima bantuan di bawah skim ini ialah Cik Saidah Said Mohamad, 42 tahun. Beliau ada enam anak, dan salah seorang daripada mereka mempunyai masalah disleksia. Cik Saidah juga pernah bergelut dengan kepayahan dalam menampung kos pendidikan anak-anaknya.

Beliau dan keluarganya tinggal di sebuah flat sewa dua bilik. Cik Saidah seorang suri rumah, dan selama ini hanya menumpukan perhatian kepada rumah tangga dan penjagaan anak-anaknya, terutama anak yang mengalami disleksia.

Dalam pada itu, kesihatan Cik Saidah tidak begitu baik. Beliau menghidapi tekanan darah tinggi, kerap mengalami migrain, dan pernah beberapa kali pengsan. Ini meletakkan beliau terdedah pada risiko strok.

Lebih mencabar lagi, beliau juga didiagnos mempunyai barah peringkat awal baru-baru ini. Ia menambah lagi tekanan emosi pada diri Cik Saidah. Semua ini mengehadkan keupayaan beliau bekerja demi meringankan kesempitan kewangan keluarganya.

Disebabkan masalah kesihatannya, beliau berasa sukar menghadirkan dirinya untuk anak-anak, apalagi mengurus masalah ekonomi keluarga yang membelenggu kehidupan mereka.

“Saya sering berasa tertekan, putus asa, dan bergelut dengan perasaan tidak mencukupi sebagai seorang ibu. Saya rasa saya gagal memberi perhatian cukup kepada anak-anak saya. Seorang anak saya didiagnos mempunyai disleksia. Dia sekarang mengikuti program Pemulihan Disleksia Berasaskan Sekolah (SDR). Ia menambah tekanan emosi saya.

“Saya perlu lebih bertanggungjawab dan melebihkan tumpuan terhadap penjagaannya. Disebabkan masalah kesihatan saya, saya tidak dapat bekerja untuk memperoleh pendapatan tetap bagi menyokong persekolahan mereka.

“Saya juga tidak mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran selesa dan menyediakan sokongan di rumah. Anak-anak saya mula hilang semangat untuk belajar,” ujarnya.

Namun, segala cabaran dan tekanan yang menghimpit diri beliau tidak dibiarkan begitu saja. Cik Saidah bertekad untuk bangkit dan mengatasi segala kesulitan yang menimpa keluarganya. Beliau tidak akan biarkan masalah kesihatan, kesempitan kewangan dan tekanan emosi keterlaluan menghalang keluarganya meneruskan hidup.

Akhirnya, Cik Saidah memohon bantuan.

Menceritakan pengalamannya, Cik Saidah berkata: “Saya pergi ke pejabat AMP untuk mendapatkan bantuan. Di sana, saya diberitahu tentang AFYS. Kemudian, saya diperkenalkan kepada seorang pegawai kes untuk membimbing saya.”

Menerusi AFYS, Cik Saidah menerima bantuan kewangan dalam bentuk baucar barangan runcit bernilai $150 setiap suku tahun. Beliau juga dibimbing dalam kemahiran perancangan kewangan dan pengurusan bajet.

Selain menjalani kaunseling bulanan melalui lawatan ke rumah, Cik Saidah menghadiri sesi di pejabat AMP. Melalui AFYS, beliau juga dibimbing dalam kemahiran pengawalan emosi dan penjagaan diri.

Cik Saidah turut mengikuti kelas bacaan Al-Quran. Selain itu, AFYS menyokong pembelajaran lima anaknya dengan membayar yuran tuisyen mereka.

“Saya berharap anak-anak saya mencapai apa yang mereka usahakan pada masa hadapan. Saya juga mahu mereka berjaya dalam setiap perkara yang mereka lakukan.

“Saya tidak mahu mereka lupa diri. Saya akan pastikan mereka membantu dan menyumbang kembali kepada masyarakat, terutama kepada golongan memerlukan, apabila mereka dewasa nanti.

“Saya mahu anak-anak saya gembira dan berbangga akan diri mereka sendiri. Anak-anak adalah kekuatan dan kehidupan saya,” tambah beliau.

Cik Saidah, yang masih dalam bantuan AFYS, sudah pun merasakan sedikit perubahan dan peningkatan dalam mengharungi badai kehidupannya sekeluarga.

Tekanan emosi yang melanda dirinya kini dapat dikawalnya dengan lebih baik. Cik Saidah juga tetap bersemangat dan bertekad mendapatkan pekerjaan.

Beliau mahu bekerja sepenuh masa walaupun beliau masih menjalani rawatan kesihatan. Anak-anak Cik Saidah juga menunjukkan perubahan, iaitu ada peningkatan dan pencapaian baik dalam pelajaran mereka.

PROGRAM BANTUAN DAN PERKHIDMATAN AMP MERANGKUMI:

+ Sokongan pekerjaan dan pembangunan diri

+ Bantuan kewangan dan pengurusan hutang

+ Pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat

+ Sokongan kepada keluarga dan belia berkeperluan

+ Perkhidmatan sosial seperti kaunseling dan talian bantuan AMP

CARA DERMA KEPADA AMP:

+ Portal Dalam Talian: Layari ampdonate.sg untuk memilih dana khusus

+ PayNow: UEN: 199105100D.

+ Pemindahan Bank: Pindahkan dana ke Akaun UOB: 125-304-515-4 (Kod Cawangan: 025).

+ Cek: Beri cek atas nama ‘AMP’ dan hantarkan ke 1 Pasir Ris Drive 4, #05-11, Singapore 519457. Sertakan nama penuh, nombor NRIC, dan maklumat hubungan untuk tujuan potongan cukai.

+ Kunjungi pejabat AMP: Pasir Ris Drive 4, #05-11, Singapore 519457. Selasa - Khamis: 9 pagi - 4.30 petang

Imbas Kod QR untuk derma kepada AMP melalui PayNow.
Imbas Kod QR untuk derma kepada AMP melalui PayNow. - Foto AMP