PADANG: Pasukan penyelamat menemui sembilan mayat selepas kejadian tanah runtuh melanda kawasan berhampiran sebuah lombong emas haram di Pulau Sumatera, Indonesia, lapor pihak polis pada Jumaat, 15 Mei.

Jurucakap Polis Sumatera Barat, Cik Susmelawati Rosya, berkata tebing berhampiran lombong itu runtuh pada 14 Mei di daerah Sijunjung ketika sekumpulan pelombong sedang bekerja kira-kira tiga meter dari lokasi kejadian.

“Lokasi ini sememangnya sebuah lombong emas haram. Sembilan orang meninggal dunia manakala tiga lagi berjaya menyelamatkan diri ketika tebing runtuh,” katanya.

Menurut beliau, pasukan polis bersama sukarelawan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan menggunakan jentera berat bagi mengorek timbunan tanah untuk mencari mangsa.

Kegiatan perlombongan tanpa lesen sering berlaku di seluruh Indonesia, terutama di kawasan kaya dengan sumber mineral. Banyak tapak lombong terbiar menjadi tumpuan penduduk tempatan yang mencari sisa bijih emas tanpa menggunakan peralatan keselamatan yang mencukupi.

Kemalangan di kawasan perlombongan juga kerap berlaku di Indonesia, khususnya semasa musim hujan apabila risiko tanah runtuh meningkat.

Cik Susmelawati berkata pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
“Kami akan menyiasat kejadian ini. Sudah tentu lombong ini akan ditutup dan garisan polis juga telah dipasang di kawasan tersebut,” katanya sambil menambah semua mangsa yang maut sudah ditemui.

Sementara itu, kumpulan alam sekitar WALHI berkata tragedi itu sekali lagi menunjukkan kegagalan pihak berkuasa dalam menangani aktiviti perlombongan haram yang membahayakan nyawa serta merosakkan alam sekitar.

“Kematian sembilan orang dalam kejadian tanah runtuh di lombong emas haram di Kabupaten Sijunjung sekali lagi mendedahkan kegagalan negara melindungi rakyat daripada amalan perlombongan haram yang memusnahkan alam sekitar dan meragut nyawa,” menurut kenyataan kumpulan itu.

Menurut WALHI, sekurang-kurangnya 48 kematian direkodkan di Sumatera Barat sejak 2012 akibat insiden berkaitan lombong emas haram.

Pada 2025, sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh selepas batu runtuh di sebuah kuari batu kapur di bandar Cirebon, Jawa Barat.

Pada 2024 pula, sekurang-kurangnya 23 orang maut dalam kejadian tanah runtuh berhampiran lombong emas haram di Pulau Sulawesi, Indonesia. - AFP