SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Selat Hormuz kembali tegang, Iran anggap sekatan laut AS ‘haram’

Selat Hormuz kembali tegang, Iran anggap sekatan laut AS ‘haram’

Sekitar 2 juta tong minyak Iran dijangka berisiko tidak dapat masuk pasaran dunia sehari
Apr 13, 2026 | 5:20 PM

Selat Hormuz kembali tegang, Iran anggap sekatan laut AS ‘haram’

us-iran, war
Sebuah pesawat ‘MV-22 Osprey’ bersiap untuk berlepas di dek penerbangan kapal serangan amfibia kelas Amerika Syarikat, USS Tripoli (LHA 7), semasa Operasi ‘Epic Fury’ pada 2 April. Tentera Amerika memaklumkan ia akan memulakan sekatan terhadap semua pelabuhan Iran pada 13 April selepas rundingan antara pihak bertelagah di Pakistan gagal. - Foto AFP

TEHERAN: Tentera Iran berkata sekatan laut Amerika Syarikat yang dijadual bermula 14 April, 10 pagi waktu Singapura, adalah tindakan tidak sah dan bersamaan dengan perbuatan lanun, sambil memberi amaran tiada pelabuhan di Teluk akan selamat jika pelabuhan Iran sendiri diancam.

Kenyataan tegas itu muncul ketika Washington mengesahkan pelaksanaan sekatan terhadap semua pelabuhan Iran susulan kegagalan rundingan damai di Islamabad, sekali gus meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat yang sudah pun rapuh.

Langkah tersebut dilihat sebagai perubahan besar dalam pendekatan Amerika, yang sebelum ini masih membenarkan aliran minyak Iran bagi mengekalkan kestabilan bekalan global.

“Sekatan dikenakan oleh Amerika yang bersifat jenayah terhadap pelayaran dan transit maritim di perairan antarabangsa adalah tidak sah dan merupakan satu contoh perlanunan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pusat perintah utama tentera Iran, Khatam Al-Anbiya, yang dibacakan di televisyen negara.

“Kami juga memberi amaran bahawa jika keselamatan pelabuhan Republik Islam Iran di perairan Teluk Parsi dan Laut Arab terancam, maka tiada pelabuhan di Teluk Parsi dan Laut Arab akan selamat,” tambah kenyataan itu.

Komando Pusat Amerika memaklumkan sekatan akan bermula pada 13 April (waktu Amerika), melibatkan semua kapal yang memasuki atau keluar dari pelabuhan Iran di Teluk Arab dan Teluk Oman.

Namun, pihak tentera Amerika menegaskan kapal yang melalui Selat Hormuz ke pelabuhan bukan Iran masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Sekatan ini akan dilaksanakan tanpa pengecualian terhadap kapal dari semua negara yang berurusan dengan pelabuhan Iran,” menurut kenyataan rasmi tersebut.

Langkah itu dijangka memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global apabila sekitar dua juta tong minyak Iran sehari berisiko tidak dapat memasuki pasaran dunia.

Situasi itu terus mendorong kenaikan harga minyak mentah, dengan pasaran menunjukkan reaksi segera terhadap ketidaktentuan bekalan.

Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, kini kembali menjadi titik panas utama.

Sejak konflik tercetus pada akhir Februari, Iran telah mengetatkan kawalan terhadap laluan tersebut, hanya membenarkan kapal tertentu untuk melalui perairan berkenaan.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mempertahankan tindakan sekatan itu sebagai langkah perlu untuk menekan Iran kembali ke meja rundingan.

“Iran tidak boleh terus mendapat manfaat daripada laluan strategik ini,” katanya, sambil menegaskan sekatan adalah sebahagian daripada strategi lebih luas untuk memaksa perubahan dalam dasar nuklear Teheran.

Speaker Parlimen, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, memberi amaran bahawa kesan sekatan itu akan turut dirasai oleh rakyat Amerika sendiri.

“Nikmatilah harga bahan api sekarang. Tidak lama lagi anda akan merindui harga AS$4 ($5) hingga AS$5 segelen,” katanya, merujuk kepada kemungkinan kenaikan harga petrol di Amerika.

Selain itu, Pengawal Revolusi Iran turut memberi amaran bahawa mana-mana kehadiran tentera asing di Selat Hormuz boleh dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata.

“Semua pergerakan di laluan ini berada di bawah kawalan kami. Sebarang kesilapan akan membawa akibat serius,” menurut kenyataan mereka.

Langkah sekatan itu juga menimbulkan persoalan besar terhadap masa depan gencatan senjata dua minggu yang diumumkan sebelum ini.

Walaupun Encik Trump menyatakan perjanjian itu “masih bertahan”, beliau memberi isyarat bahawa rundingan mungkin tidak akan diteruskan.

“Saya tidak kisah sama ada mereka kembali berunding atau tidak,” katanya.

Penganalisis keselamatan melihat sekatan ini sebagai lebih daripada sekadar tekanan ekonomi. Bekas pegawai tentera laut Amerika, Encik Gary Roughead, memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan daripada Iran.

“Iran mempunyai keupayaan untuk menyerang kapal atau prasarana tenaga di negara Teluk yang menjadi pangkalan tentera Amerika,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg