Saudi tegas tolak hubungan dengan Israel tanpa negara Palestin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi tegas tolak hubungan dengan Israel tanpa negara Palestin

Turut tolak sebarang usaha usir rakyat Palestin dari Gaza
Feb 5, 2025 | 10:54 AM

Saudi tegas tolak hubungan dengan Israel tanpa negara Palestin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang aktivis yang berpakaian seperti Patung Liberty menyertai perhimpunan menyokong rakyat Palestin dalam demonstrasi ‘Tahan Netanyahu di Rumah Putih’ berhampiran Rumah Putih di Washington, DC, pada 4 Februari
Seorang aktivis yang berpakaian seperti Patung Liberty menyertai perhimpunan menyokong rakyat Palestin dalam demonstrasi ‘Tahan Netanyahu di Rumah Putih’ berhampiran Rumah Putih di Washington, DC, pada 4 Februari - Foto AFP

RIYADH: Arab Saudi menegaskan pendiriannya bahawa hubungan diplomatik dengan Israel tidak akan terjalin selagi negara Palestin tidak diwujudkan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar Arab Saudi pada 5 Februari, selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendakwa bahawa Riyadh tidak meletakkan syarat penubuhan negara Palestin dalam rundingan pemulihan hubungan dengan Israel.

Kenyataan itu turut menekankan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, telah menyampaikan pendirian negaranya “secara jelas dan tegas tanpa sebarang ruang untuk tafsiran di bawah apa jua keadaan”.

Arab Saudi juga menolak sebarang usaha mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka, sambil menegaskan bahawa pendiriannya terhadap perjuangan Palestin “tidak boleh dirunding”.

Dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di Washington pada 4 Februari, Encik Trump mengejutkan dunia dengan mengumumkan bahawa Amerika akan mengambil alih Gaza selepas penduduknya dipindahkan ke tempat lain.

Beliau turut mencadangkan pembangunan ekonomi besar-besaran di wilayah itu.

“Saya fikir perdamaian antara Israel dengan Arab Saudi bukan sahaja boleh dicapai, malah saya yakin ia akan berlaku,” kata Encik Netanyahu ketika menjawab soalan media di Rumah Putih.

Encik Netanyahu turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan dengan Arab Saudi boleh direalisasikan walaupun Riyadh menegaskan syarat penubuhan negara Palestin sebagai asas rundingan.

“Kami akan berusaha ke arah itu dan saya percaya kami akan berjaya,” katanya.

Namun, The Jerusalem Post, melaporkan terdapat kebimbangan dalam kalangan pegawai pemerintah Israel bahawa Encik Netanyahu mungkin akan menangguhkan rancangan perluasan kawalan Tebing Barat sebagai langkah kompromi untuk memujuk Arab Saudi menerima perjanjian pemulihan tanpa syarat berkaitan Palestin.

Sumber dalam pemerintah Israel, yang enggan dikenali, menyatakan bahawa sebahagian besar pemimpin berhaluan kanan dalam pentadbiran Encik Netanyahu berharap kembalinya Encik Trump ke Rumah Putih akan membuka ruang untuk Israel melaksanakan peluasan ke atas sebahagian besar Tebing Barat.

Pada 2020, Encik Netanyahu pernah cuba mendapatkan kelulusan daripada pentadbiran Encik Trump agar mengisytiharkan kedaulatan Israel ke atas 30 peratus kawasan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada pelan damai Encik Trump ketika itu.

Namun, rancangan tersebut gagal selepas mendapat tentangan dari dalam pentadbiran Amerika dan menteri pertahanan ketika itu, Encik Benny Gantz.

Kini, dengan perang di Gaza masih berlarutan, Arab Saudi menuntut dua perkara sebagai prasyarat untuk rundingan pemulihanan dengan Israel – penamatan perang dan satu laluan jelas ke arah pembentukan negara Palestin.

Sejak konflik Gaza meletus pada Oktober 2023, Arab Saudi menghentikan sebarang usaha pemulihan dengan Israel, berikutan tekanan besar dari dunia Arab yang marah terhadap serangan Israel ke atas rakyat Palestin.

Amerika sebelum ini telah menjalankan rundingan selama beberapa bulan untuk mengusahakan perjanjian pemulihan antara Arab Saudi dengan Israel.

Namun, selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza, Riyadh menggantung perbincangan tersebut.

Sementara itu, walaupun Encik Trump dalam perbincangan tertutup dilaporkan bersetuju bahawa peluasan Tebing Barat tidak akan menjadi keutamaan buat masa ini, kelompok berhaluan kanan dalam pemerintahan Israel masih berharap Encik Netanyahu dapat meyakinkan Washington untuk meluluskan sekurang-kurangnya sebahagian daripada rancangan pengilhakan.

Bagaimanapun, sumber diplomatik menyatakan kebimbangan bahawa sebarang bentuk peluasan akan sekali lagi diketepikan daripada agenda utama.

“Arab Saudi tidak akan bertolak ansur dalam soal hak rakyat Palestin.

“Jika Israel serius mahu hubungan dengan kami, mereka perlu akur kepada tuntutan kami,” kata seorang pegawai kanan Arab Saudi yang enggan dikenali. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg