Topik diikuti
Pergi ke BHkuSampah menimbun di Bali selepas tapak pelupusan hadkan sisa organik
Sampah menimbun di Bali selepas tapak pelupusan hadkan sisa organik
Sampah menimbun di Bali selepas tapak pelupusan hadkan sisa organik
BALI: Gerai bunga kecil milik, Cik Yuvita Anggi Prinanda, di tepi jalan di Bali masih dipenuhi jambangan segar berwarna-warni, namun harum bunga itu tidak lagi mampu menutup bau busuk sampah yang semakin menimbun di beberapa kawasan pulau peranginan itu.
Masalah sampah di Bali semakin ketara selepas tapak pelupusan sampah terbesar di pulau tersebut tidak lagi menerima sisa organik sejak awal April.
Langkah itu dibuat ketika pemerintah Indonesia cuba menguatkuasakan larangan lama terhadap tapak pelupusan terbuka.
Namun, tanpa pilihan segera yang mencukupi, sampah mula terkumpul di jalan-jalan, menarik tikus dan dalam sesetengah kes dibakar oleh penduduk yang kecewa.
Pembakaran itu pula menghasilkan asap tebal dan berbau tajam, sekali gus menimbulkan kebimbangan kesihatan.
“Sebagai pemilik perniagaan, ini benar-benar mengganggu,” kata Cik Yuvita kepada agensi berita, AFP.
Beliau terpaksa menggunakan sebahagian kecil keuntungannya untuk membayar syarikat swasta bagi mengangkut sampah berhampiran gerainya.
“Sebahagian pelanggan mungkin terganggu dengan bau itu, lalu akhirnya tidak membeli apa-apa,” kata wanita berusia 34 tahun itu.
Gerai Cik Yuvita sahaja menghasilkan kira-kira empat beg plastik hitam besar berisi sisa setiap hari, kebanyakannya daun dan potongan bunga.
Jumlah itu menambah beban pada Bali, yang dianggar menghasilkan kira-kira 3,400 tan sampah setiap hari.
Secara rasmi, Indonesia sudah mengharamkan tapak pelupusan terbuka sejak 2013.
Namun, larangan itu hanya kini cuba dilaksanakan dengan lebih tegas.
Di Pantai Kuta, destinasi pelancongan popular yang sering dipenuhi sampah plastik yang dihanyutkan ombak, beg sampah dilihat menimbun setinggi paras pinggang di sebuah kawasan tempat meletak kenderaan.
Seorang pelancong dari Australia, Encik Justin Butcher, berkata keadaan itu mencacatkan imej Bali sebagai pulau pelancongan.
“Pada waktu malam ada banyak tikus di sini. Baunya juga tidak menyenangkan. Ia bukan pemandangan yang baik,” katanya.
Kira-kira tujuh juta pelancong melawat Bali pada 2025, jauh melebihi jumlah penduduk asal pulau itu yang sekitar 4.4 juta orang.
Kehadiran pelancong dalam jumlah besar turut menyumbang kepada peningkatan sisa harian di Bali.
Pihak berkuasa memberi amaran mereka yang didapati membuang atau membakar sampah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda 50 juta rupiah ($3,698).
Menurut ketua agensi ketenteraman awam Bali, Encik Dewa Nyoman Rai Dharmadi, tindakan itu boleh dikenakan terhadap pesalah.
Namun, ramai penduduk dan pekerja pembersihan berkata mereka tidak mempunyai banyak pilihan kerana tempat pelupusan yang tersedia sangat terhad.
Pada 16 April, ratusan pekerja pembersihan memandu lori yang sarat dengan sampah ke pejabat gabenor sebagai tanda bantahan.
“Jika kami tidak mengambil sampah pelanggan, kami dianggap salah. Jika kami mengambilnya, di mana kami harus membuangnya?” kata seorang penunjuk perasaan, Encik Wayan Tedi Brahmana.
Sebagai tindak balas, pemerintah tempatan membenarkan pelupusan sampah secara terhad di tapak Suwung sebagai langkah sementara sehingga akhir Julai.
Namun, mulai Ogos, pemerintah berikrar menamatkan semua tapak pelupusan terbuka di seluruh negara.
Setakat ini, belum jelas apakah alternatif yang akan disediakan sepenuhnya sebelum tarikh itu.
Pakar pengurusan sisa dari Universiti Gadjah Mada, Cik Nur Azizah, berkata tapak pelupusan Suwung menerima kira-kira 1,000 tan sampah sehari dan sudah melebihi kapasiti selama bertahun-tahun.
Menurut beliau, sehingga 70 peratus daripada sampah itu ialah sisa organik, yang boleh menjadi berbahaya jika terus dibiarkan.
“Sisa organik berbahaya kerana lama-kelamaan ia menghasilkan metana, yang boleh meletup dan menyebabkan tanah runtuh,” katanya.
Risiko itu bukan sekadar teori.
Pada Mac lalu, runtuhan berlaku di tapak pelupusan terbesar Indonesia di luar Jakarta, menimbus lori dan gerai makanan serta mengorbankan tujuh orang.
Menurut Cik Nur, penyelesaian jangka panjang bukan sekadar menutup tapak pelupusan, malah, mendidik masyarakat mengurus sisa organik dari rumah dan tempat kerja, terutama melalui kaedah kompos.
Cik Yuvita bersetuju bahawa penduduk memerlukan panduan lebih jelas sebelum peraturan baharu dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Orang ramai perlukan bimbingan. Ia seperti seseorang yang tidak tahu berenang, tetapi tidak sepatutnya terus disuruh terjun ke dalam air,” katanya.
Ketua Agensi Alam Sekitar dan Perhutanan Denpasar, Cik Ida Bagus Wirabawa, berkata pemerintah sudah menjalankan kempen kesedaran sejak 2025 dan mengagihkan bekas kompos kepada penduduk.
Namun, skala masalah sampah di Indonesia sangat besar.
Menurut Kementerian Alam Sekitar, penduduk Indonesia yang berjumlah 284 juta orang menghasilkan lebih 40 juta tan sampah setahun.
Hampir 40 peratus daripadanya ialah sisa makanan, manakala hampir satu perlima ialah plastik.
Cik Nur berkata hanya kira-kira satu pertiga daripada jumlah itu “diuruskan”, sama ada dikitar semula atau diproses. Selebihnya berakhir di alam sekitar.
Sejak larangan tapak pelupusan terbuka diperkenalkan secara rasmi kira-kira 13 tahun lalu, kurang satu pertiga daripada 485 tapak pelupusan di seluruh Indonesia sudah ditutup.
“Kita belum menguruskan sampah dengan betul, menyebabkan keadaan darurat di semua bandar dan daerah,” kata mantan Menteri Alam Sekitar, Encik Hanif Faisol Nurofiq, baru-baru ini.
Pemerintah merancang memulakan beberapa projek penukaran sampah kepada tenaga pada Jun, termasuk satu projek di Bali yang dijangka mampu memproses kira-kira 1,200 tan sampah sehari.
Namun, projek seperti itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum benar-benar beroperasi.
Buat masa ini, penduduk dan peniaga kecil seperti Cik Yuvita terpaksa menanggung kesan langsung daripada dasar yang dilaksanakan tanpa persediaan mencukupi.
Di sebuah pulau yang terkenal dengan pantai, budaya dan keindahan semula jadi, timbunan sampah kini menjadi peringatan bahawa Bali bukan sahaja berdepan cabaran pelancongan berlebihan, malah krisis pengurusan sisa yang kian mendesak. – Agensi berita.
