Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Russia akan guna bom berangkai jika Ukraine gunakannya: Putin

Jul 17, 2023 | 1:05 PM
BOM BERANGKAI: Seorang anggota tentera Ukraine menunjukkan sebutir bom berangkai yang telah dimatikan, yang dikatakan digunakan oleh Russia tetapi tidak meletup di wilayah Kharkiv, Ukraine, pada Oktober 2022.
BOM BERANGKAI: Seorang anggota tentera Ukraine menunjukkan sebutir bom berangkai yang telah dimatikan, yang dikatakan digunakan oleh Russia tetapi tidak meletup di wilayah Kharkiv, Ukraine, pada Oktober 2022. - Foto REUTERS

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin berkata Russia mempunyai “simpanan yang mencukupi” bom berangkai dan berhak menggunakannya jika peluru sedemikian, yang penggunaannya beliau sifatkan sebagai satu jenayah, digunakan terhadap tentera Russia di Ukraine.

Ukraine berkata pada Khamis ia telah menerima bekalan bom berangkai dari Amerika Syarikat, pembekal peralatan ketenteraan terbesarnya, sambil mengatakan peluru itu diperlukan bagi mengatasi kekurangan yang dihadapi oleh tentera Kyiv sedang ia melancarkan serangan balas.

Peluru berangkai diharamkan di lebih 100 negara kerana ia meledakkan banyak bom kecil yang boleh membunuh sembarangan di satu kawasan yang luas. Ada daripadanya yang tidak meledak dan menimbulkan bahaya selama berpuluh tahun, terutama kepada kanak-kanak.

Kyiv berkata ia akan menggunakan bom berangkai bagi mengusir kumpulan tentera musuh apabila ia cuba menawan semula wilayahnya, tetapi tidak akan menggunakannya di wilayah Russia.

Encik Putin memberitahu stesen televisyen nasional bahawa Moscow akan bertindak balas serupa jika perlu.

“Saya ingin mengatakan bahawa di Russia, terdapat simpanan yang mencukupi pelbagai jenis bom berangkai. Kami belum lagi menggunakannya. Tetapi, tentunya, jika mereka menggunakannya ke atas kami, kami berhak untuk bertindak balas,” kata beliau.

Encik Putin berkata beliau menganggap penggunaan bom berangkai sebagai satu perbuatan jenayah, dan Russia sejauh ini tidak perlu menggunakannya walaupun mengalami kekurangan bekalan peluru sebelum ini.

Kumpulan pemantau hak asasi manusia berkata kedua-dua pihak, Moscow dan Kyiv, telah menggunakan peluru tersebut. Russia, Ukraine dan Amerika tidak menandatangani persetujuan Konvensyen mengenai Peluru Berangkai, yang mengharamkan pengeluaran, penyimpanan, penggunaan dan pengiriman senjata itu.

Encik Putin turut memberitahu stesen televisyen itu beliau tidak melihat sembarang kesalahan bagi pakar Russia memeriksa peralatan ketenteraan dan peluru berpandu yang ditawannya, seperti peluru berpandu Storm Shadow buatan Britain yang dibekalkan kepada Ukraine, bagi mengetahui apakah ada yang berguna untuk digunakan bagi peralatan ketenteraan Russia sendiri. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg