Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Riyadh dipilih hos pameran dunia Ekspo 2030

Nov 29, 2023 | 4:11 PM
EKSPO DUNIA 2030: Riyadh dipilih menjadi tuan rumah pameran dunia lima tahun sekali, Ekspo 2030, setelah mengalahkan Korea Selatan dan Italy.
EKSPO DUNIA 2030: Riyadh dipilih menjadi tuan rumah pameran dunia lima tahun sekali, Ekspo 2030, setelah mengalahkan Korea Selatan dan Italy. - Foto REUTERS

PARIS: Ibu kota Arab Saudi, Riyadh, dipilih menjadi tuan rumah pameran dunia Ekspo 2030 dalam satu undian pada Selasa.

Ini satu lagi kemenangan diplomatik buat sebuah lagi negara Teluk, selepas Piala Dunia bola sepak 2022 diadakan di Qatar.

Bandar pelabuhan Busan di Korea Selatan dan Rome di Italy turut bertanding untuk menganjurkan acara lima tahun sekali itu, yang menarik jutaan pelawat dan pelaburan bernilai berbilion dolar.

Riyadh memenangi 119 undi, Busan 29 dan Rome 17, menurut keputusan daripada pengundian dalam kalangan 182 anggota Biro International des Expositions yang berpangkalan di Paris.

Arab Saudi memerlukan dua pertiga undi untuk menang daripada pusingan pertama. Italy berasa kecewa kerana tidak terpilih.

“Kemenangan besar untuk Arab Saudi ini tidak dijangka,” kata Encik Giampiero Massolo, ketua bidaan Ekspo Italy, kepada pemberita.

“Semalam kejohanan bola sepak, esok pula Olimpik,” tambahnya.

Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, mengucapkan tahniah kepada Arab Saudi kerana memenangi bidaan itu.

Beliau menyifatkan negara Teluk itu sebagai “rakan kongsi utama”, dan menambah bahawa negaranya akan berkongsi sumber dan pengalaman yang diperoleh untuk membantu Riyadh menjayakan acara itu.

Riyadh meminta bintang bola sepak Cristiano Ronaldo, yang bermain untuk kelab Al-Nassr Saudi meyakinkan ahli dalam video yang ditayangkan sebelum pengundian.

Riyadh menyasarkan menganjurkan acara itu antara Oktober 2030 dengan Mac 2031.

Kemenangan itu adalah kejayaan bagi program Wawasan 2030 pemerintah de facto Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang bertujuan melepaskan negara itu daripada pergantungan minyaknya.

“Kami mempunyai pasukan menteri hebat yang pergi ke seluruh dunia, melibatkan rakan sejawatan kami dengan cara sangat aktif untuk memahami apa yang mereka harapkan, apa yang mereka cari dan apa yang perlu kami sampaikan untuk mendapatkan kepercayaan mereka,” kata Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud.

Arab Saudi memenangi sokongan Perancis, dan ini mengecewakan Rome. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg