Topik diikuti
Pergi ke BHkuRaja Charles seru perpaduan UK-AS di Kongres di tengah hubungan tegang
Raja Charles seru perpaduan UK-AS di Kongres di tengah hubungan tegang
Raja Charles seru perpaduan UK-AS di Kongres di tengah hubungan tegang
WASHINGTON: Raja Britain, King Charles III, dijangka menegaskan hubungan erat antara United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam ucapan di hadapan Kongres pada 28 April ketika ketegangan antara kedua-dua negara semakin memuncak.
Menurut Istana Buckingham, Raja Charles akan mengakui wujud perbezaan antara kedua-dua negara, namun, menegaskan hubungan tersebut sentiasa dipulihkan.
“Kedua-dua negara sentiasa mencari jalan untuk kembali bersatu,” kata beliau berdasarkan petikan awal ucapannya.
Ucapan itu menjadi tumpuan utama dalam lawatan rasmi pertama Raja Charles ke Amerika sebagai Raja Britain.
Lawatan itu berlangsung dalam suasana tegang susulan kritikan Presiden Donald Trump terhadap Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, yang enggan menyertai konflik di Iran.
Walaupun sambutan rasmi diberi kepada Raja Charles dan Permaisuri Camilla di Rumah Putih, hubungan yang kerap disebut sebagai “hubungan istimewa” itu dilihat kian renggang.
Bagaimanapun, Raja Charles dijangka menggunakan ucapan tersebut untuk menenangkan keadaan.
Menurut pihak istana, Raja Charles dijangka menyifatkan hubungan dua negara itu sebagai perjalanan selama 250 tahun yang dipenuhi “perdamaian dan pembaharuan”, serta melahirkan “salah satu pakatan terhebat dalam sejarah manusia”.
Pegawai istana berkata ucapan itu akan menekankan nilai demokrasi yang dikongsi bersama serta kerjasama dalam isu sejagat.
Raja Charles turut dijangka menyentuh kerjasama di Timur Tengah dan Ukraine, selain peranan pakatan pertahanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) serta kerjasama kapal selam bersama Australia dan Amerika.
Walaupun keluarga diraja Britain tidak terlibat dalam politik harian, pegawai Britain berharap mesej itu dapat meredakan ketegangan antara kededua Encik Trump dengan Encik Starmer.
Dalam ucapan itu, Raja Charles dijangka merujuk secara ringkas pada kejadian tembakan semasa majlis Persatuan Wartawan Rumah Putih baru-baru ini.
Beliau dijangka menyampaikan simpati kepada Encik Trump dan semua yang terlibat, sebelum memberi tumpuan kepada kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.
Sebelum ucapan itu, Raja Charles dan Permaisuri Camilla, telah bertemu dengan Encik Trump dan Wanita Pertama, Cik Melania Trump, di Rumah Putih.
Antara agenda lawatan termasuk melihat sarang lebah baharu di halaman Rumah Putih, satu simbol yang selari dengan minat Raja Charles terhadap isu alam sekitar.
Lawatan tersebut turut disertai acara rasmi lain termasuk majlis di Kedutaan Britain dan jamuan negara yang akan dihos oleh Encik Trump.
Walaupun perbezaan politik semakin ketara, mesej utama lawatan itu jelas bagi mengekalkan hubungan erat antara dua sekutu lama.
Dengan tekanan geopolitik yang kian meningkat, ucapan Raja Charles di Kongres dilihat sebagai usaha diplomatik penting untuk mengekalkan kestabilan hubungan rentas Atlantik. – Agensi berita.
