Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis Indonesia tahan 14 individu selepas rusuhan bola sepak di Papua
Polis Indonesia tahan 14 individu selepas rusuhan bola sepak di Papua
Polis Indonesia tahan 14 individu selepas rusuhan bola sepak di Papua
JAYAPURA (Indonesia): Polis di wilayah Papua, Indonesia menahan 14 individu selepas tercetus rusuhan di Stadium Lukas Enembe di Kabupaten Jayapura susulan kekalahan kelab Persipura Jayapura dalam perlawanan penentuan kenaikan Liga 2 Indonesia.
Insiden itu berlaku pada malam 8 Mei selepas Persipura tewas 0-1 kepada Adhyaksa FC Banten, sekali gus gagal meraih promosi ke Liga 1, liga bola sepak tertinggi Indonesia.
Rusuhan tersebut mencetuskan kebimbangan baharu terhadap keselamatan bola sepak Indonesia ketika Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) masih berada di bawah pemantauan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) susulan tragedi rempuhan Stadium Kanjuruhan pada 2022 yang mengorbankan 135 penonton.
Ketua Bidang Perhubungan Awam Polis Papua, Pesuruhjaya Besar Cahyo Sukarnito, berkata kesemua suspek kini disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Jayapura di Doyo.
“Setakat ini, 14 individu telah ditahan dan sedang disiasat bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam rusuhan tersebut,” katanya pada 9 Mei.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya 67 motosikal dan empat kereta dilaporkan rosak, hilang atau dibakar dalam kejadian itu.
Media tempatan pula melaporkan kira-kira 25 kenderaan dibakar dan dirosakkan manakala 27 motosikal dilaporkan hilang.
Encik Cahyo berkata seramai 10 anggota polis dan seorang orang awam turut cedera dalam kejadian itu.
“Seorang anggota polis dari Jayapura, Inspektor Dua Arjuna, kini dirawat di Hospital Polis Bhayangkara di Jayapura akibat kecederaan dialaminya,” katanya.
Beliau berkata jumlah sebenar kerugian masih belum dapat dipastikan kerana pihak berkuasa masih mengumpul data dan membuat penilaian kerosakan di sekitar stadium.
Rusuhan bermula sekitar pukul 7 malam waktu tempatan sejurus tamat perlawanan di Stadium Lukas Enembe, yang digunakan sebagai stadium alternatif Persipura Jayapura.
Menurut laporan Kompas, penyokong tuan rumah mula menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan pengadil dari Uzbekistan, Asker Nadjfalief, sepanjang perlawanan berlangsung.
Penyokong dilaporkan membaling botol air mineral ke padang sehingga perlawanan terpaksa dihentikan beberapa minit.
Keadaan menjadi semakin tegang selepas pengadil meniup wisel penamat. Sebahagian penyokong mula membaling objek lain ke padang selain menyalakan suar dan mercun.
Pasukan keselamatan terpaksa menggunakan perisai bagi melindungi pemain Adhyaksa FC dan pegawai perlawanan ketika mereka meninggalkan padang menuju ke bilik persalinan.
Beberapa penyokong turut menceroboh padang dan merosakkan pelbagai kemudahan stadium termasuk bangku pemain serta memecahkan kaca di terowong pemain.
Selepas kira-kira sejam, polis berjaya mengawal keadaan di dalam stadium, namun rusuhan di luar stadium berterusan.
Kumpulan perusuh dilaporkan membakar beberapa kenderaan yang diletakkan berhampiran stadium termasuk milik Polis Jayapura dan Unit Briged Mobil Polis Papua.
Keadaan itu menyebabkan sidang media selepas perlawanan dibatalkan manakala pemain kededua pasukan serta pegawai perlawanan terpaksa berlindung di dalam stadium sehingga lewat malam.
Mereka hanya dilihat meninggalkan stadium sekitar pukul 11 malam waktu tempatan.
Penyokong juga dikatakan tidak berpuas hati kerana pengadil tidak memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.
Susulan kekecohan itu, Polis Papua menghantar ratusan anggota Briged Mobil (Brimob) ke stadium bagi mengawal keadaan.
Sementara itu, PSSI menyifatkan rusuhan di Jayapura sebagai tamparan besar kepada usaha reformasi bola sepak Indonesia yang masih dipantau Fifa selepas tragedi Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, pada Oktober 2022.
Tragedi itu berlaku selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penonton susulan pencerobohan padang ketika perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya.
Ratusan penonton yang panik cuba melarikan diri melalui pintu keluar kecil stadium sehingga menyebabkan rempuhan maut.
Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia mendapati tindakan polis melepaskan 45 das gas pemedih mata menjadi punca utama tragedi tersebut.
“Rusuhan di Jayapura mencemarkan perjalanan bola sepak kita yang masih dipantau dan diawasi FIFA,” kata Setiausaha Agung PSSI, Encik Yunus Nusi.
Selepas tragedi Kanjuruhan, FIFA memaksa Indonesia melaksanakan beberapa reformasi termasuk perubahan kepimpinan PSSI yang menyaksikan Encik Erick Thohir dilantik sebagai presiden baharu badan itu pada 2023. – Agensi berita.
