SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

PM baru Nepal guna lagu rap sampaikan amanat perpaduan pertama

PM baru Nepal guna lagu rap sampaikan amanat perpaduan pertama

Mar 27, 2026 | 3:04 PM

PM baru Nepal guna lagu rap sampaikan amanat perpaduan pertama

Balendra Shah, 35 tahun, memberikan reaksi setibanya untuk majlis angkat sumpah ahli Parlimen Nepal yang baharu di Parlimen Persekutuan di Kathmandu, Nepal, 26 Mac 2026. Bekas Datuk Bandar Kathmandu dan pemimpin kanan Rastriya Swatantra Party (RSP), yang lebih dikenali sebagai Balen Shah, dijadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 27 Mac 2026 selepas partinya meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen tergempar pada 5 Mac 2026.
Balendra Shah, 35 tahun, memberikan reaksi setibanya untuk majlis angkat sumpah ahli Parlimen Nepal yang baharu di Parlimen Persekutuan di Kathmandu, Nepal, 26 Mac 2026. Bekas Datuk Bandar Kathmandu dan pemimpin kanan Rastriya Swatantra Party (RSP), yang lebih dikenali sebagai Balen Shah, dijadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 27 Mac 2026 selepas partinya meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen tergempar pada 5 Mac 2026. - Foto EPA

KATHMANDU: Ahli politik baharu Nepal, Balendra Shah, yang bakal mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, menyampaikan mesej pertamanya selepas kemenangan pilihan raya melalui sebuah lagu rap yang menyeru perpaduan nasional.

Encik Shah, yang lebih dikenali sebagai Balen, memuat naik lagu berjudul Jay Mahakaali pada 26 Ma, hanya sehari sebelum beliau dijadualkan mengangkat sumpah sebagai ketua pemerintah. Lagu tersebut dengan pantas menarik perhatian ramai, meraih puluhan ribu tontonan dalam tempoh singkat selepas dilancarkan di media sosial.

Dalam lagu itu, beliau menekankan kepentingan perpaduan sebagai asas kekuatan negara. “Kekuatan perpaduan adalah kekuatan negara saya,” nyanyinya dalam bahasa Nepali.
Beliau turut menyampaikan mesej bahawa Nepal sedang memasuki fasa baharu dalam sejarah politiknya.
“Rakyat Nepal yang bersatu, kali ini sejarah sedang dicipta,” katanya.

Encik Shah, 35 tahun, tampil sebagai simbol kebangkitan politik generasi muda selepas berjaya mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya pada 5 Mac lalu.

Partinya, Rastriya Swatantra Party (RSP), meraih majoriti besar dengan memenangi 182 daripada 275 kerusi Parlimen, sekali gus membuka laluan jelas untuk membentuk pemerintah.

Kemenangan itu berlaku dalam pilihan raya pertama sejak tercetusnya kebangkitan rakyat yang dipimpin golongan muda pada September 2025.

Protes tersebut, yang bermula susulan larangan sementara media sosial, berkembang menjadi gerakan besar menentang rasuah dan kesukaran ekonomi yang lama membelenggu negara itu.
Sekurang-kurangnya 77 orang dilaporkan terbunuh dalam demonstrasi tersebut.

Perjalanan Encik Shah ke tampuk kuasa dianggap luar biasa. Sebelum ini, beliau dikenali sebagai artis rap popular sebelum menceburi politik dan memenangi jawatan Datuk Bandar Kathmandu.
Langkah beliau meletak jawatan sebagai datuk bandar untuk mencabar tokoh veteran, Encik KP Sharma Oli, dalam pilihan raya Parlimen dilihat sebagai pertaruhan berani.

Namun, keputusan itu membuahkan hasil apabila Encik Shah bukan sahaja menewaskan Encik Oli di kawasan beliau, malah membawa RSP meraih kemenangan besar di seluruh negara.

Dalam lagu yang dimuat naik, Encik Shah turut menyampaikan mesej semangat dan harapan kepada rakyat Nepal. “Hati saya penuh keberanian, darah saya mendidih; saudara-saudara saya bersama saya, kali ini kita akan bangkit,” katanya dalam lirik lagu tersebut.

Beliau juga menggambarkan keyakinannya untuk membawa perubahan besar kepada negara.
“Kali ini, kegembiraan akan dirasai di setiap rumah. Saya akan memecahkan apa sahaja halangan yang datang,” katanya.

Walaupun kemenangan Encik Shah mencetuskan harapan baharu, cabaran yang bakal dihadapi tidak kecil.

Nepal masih bergelut dengan isu rasuah, ketidaksamaan ekonomi dan ketidakstabilan politik yang berpanjangan.

Namun, pendekatan unik Encik Shah yang menggabungkan elemen budaya popular dengan mesej politik dilihat sebagai usaha untuk mendekati generasi muda dan membina semangat perpaduan.

Penganalisis berpendapat kejayaan beliau mencerminkan perubahan sentimen rakyat yang mahukan kepimpinan baharu dan pendekatan berbeza dalam politik.

Encik Shah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 27 Mac, menandakan permulaan era baharu dalam landskap politik Nepal.

Dengan sokongan besar di Parlimen dan mandat kuat daripada rakyat, tumpuan kini beralih kepada sejauh mana beliau mampu menunaikan janji perubahan yang dibawa. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg