SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pesawat tentera Colombia terhempas, sekurang-kurangnya 66 orang terkorban

Pesawat tentera Colombia terhempas, sekurang-kurangnya 66 orang terkorban

Mar 24, 2026 | 1:24 PM

Pesawat tentera Colombia terhempas, sekurang-kurangnya 66 orang terkorban

Para pekerja kecemasan giat menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat di kawasan sebuah pesawat tentera Colombia terhempas di Puerto Leguizamo, Putumayo, Colombia, pada 23 Mac 2026.
Para pekerja kecemasan giat menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat di kawasan sebuah pesawat tentera Colombia terhempas di Puerto Leguizamo, Putumayo, Colombia, pada 23 Mac 2026. - Foto: REUTERS

BOGOTA: Sebuah pesawat Tentera Udara Colombia terhempas sejurus selepas berlepas di selatan negara itu, menyebabkan sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh dan berpuluh-puluh orang cedera, kata pegawai.

Komander tentera udara, Encik Carlos Fernando Silva Rueda, berkata bahawa pesawat yang malang itu membawa 114 anggota tentera dan 11 anak kapal.

Pesawat itu, sebuah pesawat C-130 Hercules buatan Amerika Syarikat yang digunakan untuk mengangkut tentera, terhempas berhampiran bandar Puerto Leguízamo, di wilayah Putumayo.

Pekerja kecemasan yang dikejarkan ke kawasan itu dilihat mencari mangsa yang terselamat melalui bangkai pesawat.

Punca nahas sedang disiasat.

Menteri Pertahanan Colombia, Encik Pedro Sánchez ,berkata pesawat pengangkut Hercules C-130 buatan Lockheed Martin itu telah mengalami “kemalangan tragis semasa ia berlepas dari Puerto Leguízamo, mengangkut tentera pasukan keselamatan kami”.

Beliau menyifatkan kejadian berhampiran sempadan dengan Peru itu sebagai “sangat menyedihkan bagi negara”.

Peluru yang dibawa di atas pesawat meletup akibat kebakaran pada pesawat, kata Encik Sanchez kemudiannya.

Sumber tentera memberitahu AFP bahawa 58 askar telah terkorban, bersama enam anggota tentera udara dan dua pegawai polis.

Dua sumber tentera juga memberitahu Reuters bahawa 66 orang telah terkorban.

Tragedi itu merupakan salah satu kemalangan paling dahsyat dalam sejarah Tentera Udara Colombia.

Imej yang dikongsi oleh media tempatan menunjukkan kepulan asap dilihat di ruang udara tempat kejadian berlaku dan trak yang membawa askar menuju ke kawasan tersebut.

Rakaman di laman berita tempatan juga menunjukkan penduduk tempatan mengangkut apa yang kelihatan sebagai askar yang cedera daripada tempat kejadian ke hospital dengan menaiki motosikal.

Presiden Gustavo Petro menulis di X bahawa “kemalangan dahsyat ini ... sepatutnya tidak berlaku”.

Dalam catatan panjang itu, beliau juga menyalahkan “masalah birokrasi” kerana menangguhkan rancangannya untuk memodenkan peralatan angkatan tentera dan pesawat mereka.

“Saya tidak akan membenarkan kelewatan selanjutnya, nyawa anak muda kita dipertaruhkan. Jika pegawai pentadbiran awam atau tentera tidak mampu menghadapi cabaran itu, mereka mesti dipecat,” tulis Petro di X, walaupun beliau tidak menyalahkan keadaan mekanikal pesawat sebagai punca nahas itu.

Hercules C-130 merupakan pesawat kegunaan utama kebanyakan angkatan tentera global kerana reputasinya beroperasi daripada “lapangan terbang sementara”.

Pada Februari, sebuah pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Bolivia yang mengangkut wang kertas terhempas di barat negara itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg