Topic followed successfully
Go to BHkuPertikaian status Lebanon gugat gencatan senjata AS-Iran
Pertikaian status Lebanon gugat gencatan senjata AS-Iran
Israel bunuh 254 orang di Lebanon selepas AS-Iran setuju berunding di Islamabad
Pertikaian status Lebanon gugat gencatan senjata AS-Iran
BEIRUT: Kurang 24 jam selepas Iran dan Amerika Syarikat mencapai persetujuan gencatan senjata, ketegangan baru tercetus apabila kedua-dua pihak berbeza pandangan sama ada perjanjian itu turut merangkumi Lebanon, ketika Israel terus melancarkan serangan besar-besaran ke atas kumpulan Hezbollah.
Iran menegaskan bahawa Lebanon termasuk dalam skop gencatan senjata tersebut, namun Washington menafikan perkara itu.
Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump menegaskan Lebanon tidak termasuk dalam gencatan senjata antara Amerika dan Iran, bercanggah dengan kenyataan Pakistan yang menjadi pengantara perjanjian itu.
Naib Presiden Encik JD Vance berkata perjanjian itu hanya tertumpu kepada konflik dengan Iran dan tidak melibatkan Lebanon. “Gencatan senjata ini khusus kepada Iran. Lebanon tidak termasuk, dan Iran telah salah faham,” katanya.
“Jika Iran mahu membiarkan rundingan ini gagal disebabkan isu Lebanon, yang tiada kaitan dengan mereka, dan yang tidak pernah sekali pun dinyatakan oleh Amerika sebagai sebahagian daripada gencatan senjata, itu akhirnya pilihan mereka,” katanya ketika berlepas dari Hungary, yang dilawatinya bagi menyokong peluang pemilihan semula Perdana Menteri, Viktor Orban.
Menurut Rumah Putih, Encik Vance dijadual mengetuai pasukan rundingan yang turut disertai wakil khas Encik Steve Witkoff serta menantu Trump, Encik Jared Kushner, ke Islamabad bagi rundingan secara bersemuka dengan Iran pada 10 April.
Amerika dan Iran pada 7 April mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu yang bertujuan membuka jalan kepada perjanjian muktamad bagi menamatkan perang yang dilancarkan Washington dan Tel Aviv terhadap Teheran pada 28 Feb, mengorbankan serta mencederakan ribuan orang.
Di lapangan, Israel melancarkan lebih 100 serangan udara ke atas sasaran di Lebanon pada 8 April, termasuk bangunan di ibu negara Beirut, dalam antara serangan paling maut sejak konflik bermula. Pegawai Lebanon memaklumkan sekurang-kurangnya 250 orang terbunuh manakala 900 lagi cedera.
Serangan tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa gencatan senjata yang baru dicapai antara Teheran dan Washington berisiko runtuh sebelum sempat distabilkan.
Ketegangan semakin memuncak apabila Iran memberi isyarat keras terhadap tindakan Israel. Ketua jawatankuasa keselamatan Parlimen Iran, Encik Ebrahim Azizi, mengkritik Israel secara terbuka.
“Sekali lagi kamu menunjukkan bahawa kamu tidak memahami konsep gencatan senjata. Hanya kekuatan akan menyedarkan kamu. Jadi bersedialah untuk akibatnya,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Walaupun belum jelas sama ada Iran akan bertindak balas secara ketenteraan terhadap Israel, kenyataan tersebut dilihat sebagai tekanan politik dan isyarat bahawa Teheran tidak akan berdiam diri jika sekutunya terus diserang.
Iran menegaskan bahawa Lebanon termasuk dalam perjanjian itu dan bahawa perlindungan terhadap Hezbollah merupakan keutamaan strategik dan moral – menandakan satu perbezaan utama mengenai gencatan senjata yang rapuh untuk menamatkan konflik.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi berkata perang Israel ke atas Hezbollah di Lebanon mesti dihentikan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
“Dunia melihat pembunuhan beramai-ramai di Lebanon,” katanya dalam satu hantaran di X. “Bola kini berada di gelanggang Amerika dan dunia sedang memerhatikan sama ada ia akan menunaikan komitmennya,” tegasnya.
Penganalisis politik di Tehran, Encik Mehdi Rahmati, berkata Iran tidak boleh dilihat meninggalkan sekutu rapatnya itu. “Jika kita menunjukkan kelemahan dan meninggalkan Hezbollah, ia akan menghantar mesej yang salah kepada semua sekutu kita bahawa kita tidak menyokong mereka walaupun kita mengharapkan sokongan mereka,” katanya.
Menurut beliau, penglibatan Hezbollah dalam konflik sejak awal Mac, termasuk serangan roket ke atas Israel, telah memberi tekanan tambahan kepada sistem pertahanan udara Israel serta membuka ruang kepada serangan Iran yang lebih tepat. Ia juga memberi tekanan psikologi kepada Israel dalam medan tempur.
Namun, harga yang dibayar Hezbollah dan komuniti Syiah di Lebanon adalah tinggi. Serangan udara Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah memusnahkan kawasan kubu kuat mereka di selatan Lebanon dan selatan Beirut. Lebih sejuta penduduk dilaporkan kehilangan tempat tinggal, menjadikan situasi kemanusiaan semakin kritikal.
Dua pegawai Iran, termasuk seorang anggota Pengawal Revolusi yang pernah bekerjasama dengan Hezbollah, turut menegaskan bahawa Teheran mempunyai tanggungjawab memastikan kumpulan itu dilindungi di bawah gencatan senjata. Mereka menyatakan bahawa Iran mahu menunjukkan kepada sekutu lain bahawa ia tidak akan meninggalkan mereka jika mereka campur tangan menyokong Iran dalam konflik.
Iran diketahui menyokong rangkaian kumpulan bersenjata yang dikenali sebagai “paksi penentangan”, termasuk Hezbollah di Lebanon, kumpulan Syiah di Iraq, Houthi di Yemen, serta Hamas dan Jihad Islam Palestin di Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Houthi di Yaman dilaporkan hanya menyertai konflik secara terhad sejak 28 Mac, namun Iran dipercayai merancang untuk memanfaatkan keupayaan mereka menutup Selat Bab al-Mandab jika konflik meningkat, khususnya sekiranya berlaku pencerobohan darat oleh Amerika Syarikat.
Encik Araghchi, menegaskan bahawa Washington perlu membuat pilihan jelas antara keamanan atau perang.
“Amerika Syarikat perlu memilih antara gencatan senjata atau perang melalui Israel. Mereka tidak boleh memiliki kedua-duanya,” katanya.
Pada masa sama, terdapat laporan pelanggaran gencatan senjata di Iran sendiri, termasuk serangan ke atas Pulau Lavan di Teluk Parsi dan kehadiran dron di beberapa lokasi termasuk Teheran dan Bushehr. Di bandar Shushtar, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dilaporkan maut dan enam lagi cedera apabila sistem pertahanan udara Iran menembak jatuh sebuah dron.
Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, yang menjadi perantara dalam rundingan gencatan senjata, mengakui bahawa pelanggaran berlaku di beberapa lokasi dan menggesa semua pihak memberi ruang kepada rundingan damai.
“Semua pihak perlu menahan diri dan membenarkan usaha rundingan diteruskan,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 8 April berkata, Israel kekal bersedia untuk berdepan Iran sekiranya perlu, meskipun satu gencatan senjata sementara telah dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Biar saya jelaskan: Kami masih mempunyai objektif yang perlu diselesaikan, dan kami akan mencapainya – sama ada melalui perjanjian atau melalui pertempuran yang diperbaharui,” kata Encik Netanyahu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen. – Agensi berita.

