Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerjanjian nuklear AS-Saudi tertakluk kepada pemulihan hubungan Riyadh-Israel
Perjanjian nuklear AS-Saudi tertakluk kepada pemulihan hubungan Riyadh-Israel
Cetus persoalan kerana Arab Saudi tegas tidak akan iktiraf Israel selagi tiada laluan jelas bagi kemerdekaan Palestin
Perjanjian nuklear AS-Saudi tertakluk kepada pemulihan hubungan Riyadh-Israel
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada 23 Julai meletakkan syarat baharu bagi perjanjian kerjasama nuklear antara Amerika Syarikat dengan Arab Saudi apabila mengumumkan bahawa pelaksanaan perjanjian itu hanya akan diteruskan jika Riyadh bersetuju menjalin hubungan diplomatik dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham.
Pengumuman mengejut itu dibuat kurang 24 jam selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian kerjasama nuklear awam yang sebelum ini dipuji Rumah Putih sebagai satu kejayaan strategik dan bermanfaat bagi ekonomi, tanpa sebarang syarat rasmi berkaitan pengiktirafan terhadap Israel.
Dalam kenyataan menerusi platform media sosialnya, Encik Trump berkata keseluruhan perjanjian itu kini bergantung sepenuhnya kepada kesediaan Arab Saudi menyertai Perjanjian Abraham, iaitu inisiatif yang dimeterai pada 2020 bagi memulihkan hubungan antara Israel dengan beberapa negara Arab.
“Perjanjian ini tertakluk sepenuhnya kepada kesediaan Arab Saudi menyertai Perjanjian Abraham yang sangat dihormati dan berjaya,” katanya.
Kenyataan itu segera mencetuskan persoalan mengenai masa depan perjanjian nuklear berkenaan kerana kerajaan Arab Saudi sejak sekian lama menegaskan ia tidak akan mengiktiraf Israel selagi tiada laluan yang jelas ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Setakat ini, Riyadh masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung syarat baharu yang diumumkan Encik Trump itu.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, mengesahkan pendirian presiden itu ketika ditanya mengapa syarat tersebut tidak dinyatakan semasa pengumuman rasmi perjanjian itu dibuat sehari sebelumnya.
“Presiden sentiasa menjadi pembuat keputusan terakhir. Jika mereka tidak menyertai Perjanjian Abraham, maka perjanjian ini terbatal,” katanya.
Kenyataan Cik Leavitt itu sekali gus mengesahkan bahawa pentadbiran Encik Trump kini mengaitkan kerjasama tenaga nuklear dengan usaha diplomatik yang lebih luas untuk memperluaskan hubungan Israel dengan negara-negara Arab.
Langkah itu dilihat sebagai perubahan ketara dalam dasar Washington.
Sebelum ini, pentadbiran Encik Trump telah memisahkan rundingan nuklear daripada isu memulihkan hubungan Arab Saudi dengan Israel bagi mempercepatkan kerjasama strategik dengan Riyadh.
Bagaimanapun, kenyataan terbaharu Encik Trump itu menunjukkan beliau kembali menghubungkan kedua-dua agenda itu, sama seperti pendekatan yang pernah diusahakan pentadbiran mantan Presiden Joe Biden tetapi gagal direalisasikan selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 dan perang di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, segera menyambut baik pendirian Encik Trump itu.
“Tindakan ketenteraan bersama Amerika dan Israel terhadap rejim di Teheran serta kejayaan Israel melemahkan paksi keganasan Iran telah membuka peluang untuk memperluaskan bulatan keamanan.
“Seperti yang dinyatakan Presiden Trump, penyertaan Arab Saudi dalam Perjanjian Abraham akan menjadi satu lonjakan bersejarah bagi keamanan di Asia Barat,” katanya.
Sejak beberapa bulan lalu, Washington dan Riyadh telah berunding mengenai apa yang dikenali sebagai Perjanjian 123, iaitu rangka kerja undang-undang yang membolehkan kerjasama nuklear awam antara Amerika dengan negara lain.
Perjanjian itu dijangka membuka peluang kepada syarikat Amerika membangunkan industri tenaga nuklear Arab Saudi bernilai berbilion dolar serta mengukuhkan hubungan strategik kedua-dua negara itu.
Bagaimanapun, syarat baharu yang diumumkan Encik Trump itu dilihat mengejutkan ramai pegawai Amerika dan negara Arab.
Menurut beberapa pegawai semasa dan bekas pegawai Amerika yang mengikuti rundingan itu, isu pengiktirafan terhadap Israel tidak pernah dijadikan syarat sepanjang puluhan sesi perbincangan sejak penghujung tahun lalu (2025).
“Pemulihan hubungan tidak pernah disenaraikan sebagai syarat. Tidak pernah sekalipun,” kata seorang pegawai yang mengikuti rundingan itu.
Penganalisis turut berpendapat kenyataan Encik Trump itu boleh menjejaskan keseluruhan perjanjian kerana Arab Saudi secara konsisten menegaskan pendiriannya terhadap isu Palestin.
Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa Riyadh hanya akan mempertimbangkan hubungan diplomatik dengan Israel sekiranya wujud komitmen yang tidak boleh dipatah balik ke arah penubuhan negara Palestin.
Perang di Gaza yang masih berlarutan turut menjadikan pemulihan hubungan itu semakin sukar diterima masyarakat Arab.
Selain isu diplomatik, kandungan sebenar perjanjian nuklear itu turut menjadi perhatian.
Encik Trump mendakwa Arab Saudi tidak akan dibenarkan memperkayakan uranium sendiri.
“Tidak akan ada sebarang pengayaan bahan nuklear. Amerika hanya menyokong kemudahan nuklear awam yang tidak melibatkan bahan diperkaya,” katanya.
Beberapa pegawai yang tahu tentang kandungan rundingan itu berkata perjanjian itu sebenarnya membuka ruang kepada tempoh kajian selama dua tahun bagi menilai sama ada Arab Saudi boleh membangunkan keupayaan memperkayakan uranium bagi tujuan awam.
Isu itu menjadi kebimbangan utama pengkritik kerana pengayaan uranium boleh digunakan bagi menghasilkan bahan api loji tenaga, namun pada tahap tertentu juga berpotensi disalahgunakan untuk pembangunan senjata nuklear.
Sesetengah pakar memberi amaran, jika Arab Saudi dibenarkan memperkayakan uranium, negara lain di rantau itu seperti Turkey, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu mungkin menuntut hak yang sama, sekali gus mencetuskan perlumbaan senjata nuklear di Asia Barat.
Pakar Timur Tengah daripada Defense Priorities, Cik Rosemary Kelanic, berkata Encik Trump masih mempunyai kuasa untuk membatalkan perjanjian itu walaupun ia sudah ditandatangani.
“Apa sahaja yang ditulis Trump di media sosial tidak mengubah apa yang telah ditandatangani, tetapi beliau sentiasa mempunyai kuasa untuk menghentikan pelaksanaannya,” katanya.
Perjanjian itu dijangka dihantar ke Kongres Amerika untuk semakan.
Namun, pemerhati berpendapat Encik Trump boleh menangguhkan proses tersebut sementara beliau terus berunding dengan Arab Saudi mengenai syarat baharu yang dikemukakannya itu.
Jika Riyadh kekal dengan pendiriannya bahawa pengiktirafan terhadap Israel hanya boleh berlaku selepas wujud penyelesaian terhadap isu Palestin, syarat baharu Encik Trump itu dijangka menjadi halangan terbesar kepada pelaksanaan perjanjian nuklear yang sebelum ini dianggap sebagai satu kejayaan diplomatik penting antara kedua-dua negara. – Agensi berita.