TEHERAN: Di lintasan sempadan Kapikoy di timur Turkey, wajah sebenar krisis Iran kelihatan bukan sahaja pada barisan orang yang keluar masuk negara itu, malah pada barang yang mereka bawa pulang.

Ada yang membawa beg pakaian, ada yang membawa barangan keperluan, dan semakin ramai pula membawa botol minyak masak bersaiz besar untuk dijual semula atau digunakan sendiri.

Di sini, perbezaan pandangan politik masih jelas.

Ada rakyat Iran yang menyokong pemerintah dan melihat perang sebagai ujian daya ketahanan negara.

Ada pula yang berharap rundingan dengan Amerika Syarikat gagal kerana mereka percaya tekanan perang mungkin akhirnya menjatuhkan pemerintah.

Namun, di sebalik perbezaan itu, satu perkara menyatukan mereka: Kesakitan ekonomi yang semakin sukar ditanggung.

Encik Moji, 38 tahun, baru pulang ke Iran selepas beberapa bulan berada di Eropah.

Beliau berkata sepanjang berada di luar negara, fikirannya tidak pernah tenang kerana bimbang tentang keluarganya di Urmia, sebuah bandar Iran yang terletak berhampiran sempadan Turkey.

Seperti ramai rakyat Iran lain yang ditemui di lintasan sempadan itu, Encik Moji enggan memberikan nama penuh kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pemerintah Iran.

Beberapa yang lain langsung enggan dikenali.

Menurut Encik Moji, serangan udara pernah berlaku berhampiran rumah ibu bapanya ketika beliau berada di luar negara.

Tetapi kebimbangannya bukan hanya soal keselamatan fizikal.

Beliau berkata rakan-rakannya di Urmia kini semakin sukar membeli makanan kerana kerja semakin susah diperoleh dan banyak kilang terpaksa ditutup akibat serangan.

“Semua orang mahu sesuatu yang lebih baik berlaku. Tetapi malangnya, jalan yang terbuka untuk rakyat kami bukan jalan yang betul.

“Akhirnya, apa yang sepatutnya berlaku tidak berlaku. Rakyat hanya semakin tertekan dari segi mental dan terpaksa mengurangkan perbelanjaan,” katanya.

Kata-kata Encik Moji menggambarkan dilema ramai rakyat Iran.

Gencatan senjata yang dilanjutkan memberi sedikit kelegaan, tetapi ia belum menyelesaikan persoalan lebih besar.

Bagaimanakah rakyat biasa mahu bertahan apabila harga makanan meningkat, pekerjaan hilang dan masa depan ekonomi semakin kabur?

Di lintasan Kapikoy, krisis itu kelihatan dalam bentuk paling asas iaitu perdagangan minyak masak.

Di sebuah kawasan perniagaan berhampiran sempadan, kotak-kotak minyak zaitun, minyak bunga matahari dan minyak jagung disusun untuk dijual kepada rakyat Iran yang datang membeli.

Seorang pekedai membaca berita terkini daripada telefonnya kepada rakan-rakan.

Rundingan damai antara Amerika dengan Iran ditangguhkan.

Bagi peniaga di sempadan, perkembangan perang dan ekonomi Iran membawa peluang perniagaan yang tidak dijangka.

Ketika harga barang asas melonjak di Iran, mereka menjual minyak masak kepada rakyat Iran dengan keuntungan sederhana.

Pelanggan pula akan membawa minyak itu pulang untuk kegunaan keluarga atau dijual semula di Iran.

Puluhan orang dilihat membawa beberapa botol minyak bersaiz empat hingga lima liter ketika berjalan dari Turkey ke Iran.

Beberapa pekedai berkata permintaan terhadap minyak masak meningkat mendadak dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Seorang wanita Iran yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Maryam berkata beliau dan suaminya baru sahaja mula membeli minyak masak untuk dijual semula di Iran.

“Kami baru mula melakukan ini baru-baru ini,” katanya.

Menurut Cik Maryam, minyak masak kini lebih menguntungkan berbanding rokok yang biasanya dibeli dan dijual semula oleh pasangan itu.

“Minyak masak lebih baik,” katanya, kerana ia memberi keuntungan lebih tinggi.

Beliau berkata sebotol minyak lima liter boleh dibeli di Turkey pada harga lebih AS$10 ($12.70).

Apabila dijual semula di Iran, harganya masih lebih murah daripada harga kedai tempatan, tetapi pasangan itu boleh memperoleh keuntungan kecil sekitar AS$2 bagi setiap botol.

Jumlah itu mungkin kelihatan kecil, tetapi bagi ramai rakyat Iran, keuntungan kecil seperti itulah yang membantu mereka bertahan.

Ia juga menunjukkan betapa barang asas seperti minyak masak telah menjadi sebahagian daripada strategi hidup rakyat biasa.

Namun, perdagangan rentas sempadan itu berlaku dalam suasana penuh berhati-hati.

Cik Maryam enggan memberikan nama penuh kerana takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Iran.

Peniaga minyak di Turkey juga tidak mahu dikenali kerana bimbang pihak berkuasa Turkey menghentikan kegiatan itu jika ia menjadi terlalu menonjol.

Lintasan Kapikoy kini menjadi salah satu hubungan penting antara Iran dengan dunia luar ketika perang.

Ruang udara Iran banyak kali ditutup sejak dua bulan lalu, walaupun dibuka semula dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Pada masa sama, rakyat Iran berdepan gangguan maklumat akibat sekatan Internet yang berterusan oleh pemerintah.

Namun, masalah ekonomi Iran sebenarnya bermula sebelum perang.

Sepasang suami isteri yang bekerja sebagai pembuat pakaian berkata mereka sudah tidak mendapat kerja sekurang-kurangnya separuh tahun, walaupun sebelum konflik terbaru tercetus.

Seorang wanita lain berkata pemberhentian pekerja semakin meningkat.

Harapannya bukan lagi soal perubahan besar seperti demokrasi, tetapi sekadar pemimpin yang mampu mencipta pekerjaan dan membawa keselamatan.

Tekanan harga pula semakin berat.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar inflasi Iran bagi 2026 hampir 70 peratus, paras tertinggi bagi negara itu sejak sekurang-kurangnya 1980.

Di negara yang gaji minimumnya sekitar AS$108 sebulan, kenaikan harga makanan memberi kesan langsung kepada kehidupan harian.

Cik Bibijan, 71 tahun, seorang penduduk Teheran, berkata beliau baru-baru ini membeli tiga ayam kecil pada harga sekitar 22 juta rial, atau kira-kira AS$14.

Sebelum ini, katanya, lima juta rial sudah cukup untuk membeli lima atau enam ayam.

Krisis minyak masak pula menjadi lebih parah selepas pemerintah menarik balik subsidi import bagi beberapa barangan penting pada Januari.

Dasar itu bertujuan mengurangkan perbelanjaan negara ketika sekatan terhadap jualan minyak Iran terus memberti tekanan pada pendapatan pemerintah.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, berkata program subsidi sebelum ini dieksploitasi sesetengah pihak tanpa berjaya menurunkan harga kepada rakyat.

Pemerintah kemudian memberikan bantuan tunai bulanan sebanyak 10 juta rial, atau kira-kira AS$7, namun, jumlah itu dilihat tidak cukup untuk mengurangkan tekanan.

Encik Milad, 37 tahun, dari Khoy, melihat isu itu dari sudut berbeza.

Beliau menyokong pemerintah Iran dan berbangga dengan prestasi ketenteraan negaranya dalam perang.

“Untuk kami bertahan di hadapan pembuli seperti ini, ia benar-benar sesuatu yang besar,” katanya, merujuk kepada Amerika.

Encik Milad berkata pasport Iran dahulu sering menyebabkan beliau dilayan dengan kurang hormat di sempadan.

“Tidak lagi,” katanya. “Sekarang mereka tahu siapa kami.”

Namun, walaupun menyokong pemerintah, Encik Milad tetap membeli minyak masak di Turkey untuk dibawa pulang.

Beliau mengakui pembaharuan subsidi menyebabkan harga meningkat, tetapi percaya ia membantu mengehadkan kegiatan “mafia” yang mengambil kesempatan daripada sistem lama.

“Sejak harga naik, kami membeli minyak ini untuk dibawa pulang,” katanya.

Dalam keadaan rundingan dengan Amerika masih tidak menentu, kehidupan rakyat Iran terus bergerak dalam ruang sempit antara keperluan harian dengan tekanan politik.

Bagi mereka di sempadan Kapikoy, isu besar seperti perang, sekatan dan diplomasi akhirnya diterjemahkan kepada satu soalan mudah: Berapa harga minyak masak hari ini, dan adakah keluarga mereka masih mampu membelinya esok? – Agensi berita.