MANILA: Selepas minggu yang penuh gejolak bermula dengan rampasan kuasa Senat dan berakhir dengan kejadian tembakan, saga pemecatan Naib Presiden Filipina Sara Duterte beralih ke fasa perbicaraan pada 18 Mei.

Senat dijangka mendengar kes pemecatan Cik Duterte, dengan 24 anggotanya akan menentukan sama ada beliau bersalah atas tuduhan termasuk penyalahgunaan dana dan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Ini selepas Dewan Perwakilan, yang dikuasai oleh sekutu pesaingnya, Presiden Ferdinand Marcos Jr, mengundi untuk memecatnya.

Beliau menafikan sebarang salah laku.

Meskipun beliau dijangka dibebaskan oleh dewan tertinggi berdasarkan halangan dua pertiga yang diperlukan untuk sabitan, drama politik itu menggegarkan negara yang lemah ekonominya dan mungkin mengehadkan keupayaan Encik Marcos untuk membendung pergolakan tersebut.

Kebimbangan stagflasi semakin meningkat di negara Asia Tenggara itu, yang telah dilanda krisis tenaga susulan perang Timur Tengah.

Tambahan pula, skandal rasuah yang berterusan dan berleluasa telah menyebabkan pentadbiran Encik Marcos kehilangan keyakinan pelabur dan modal politik untuk pembaharuan, termasuk langkah-langkah untuk menggalakkan ketelusan bajet dan mengurangkan kuasa dinasti politik.

“Saga pemecatan itu belum lagi menampakkan kesan tetapi menimbulkan persoalan keyakinan dan ketidakstabilan,” kata Encik Ruben Carlo Asuncion, ketua ekonomi di Union Bank of the Philippines.

“Risiko lebih besar terletak pada tadbir urus dan prosiding yang berpanjangan boleh mengganggu penggubalan dasar dan memperlahankan kemajuan pembaharuan, sekali gus menjejaskan sentimen,” tambahnya.

Pasaran sebahagian besarnya telah mengetepikan krisis yang berlaku tetapi mata wang peso dan penanda aras saham Filipina adalah antara yang berprestasi terburuk di Asia sejak bermulanya perang Iran pada akhir Februari.

Sementara itu, kumpulan perniagaan dan masyarakat sivil menggesa penggubal undang-undang supaya membetulkan keadaan. Persatuan Pengurusan Filipina, dengan ratusan pemimpin sektor swasta sebagai anggota, dan 10 organisasi lain telah menyeru agar perbicaraan pemecatan Cik Duterte di Senat bebas daripada campur tangan politik.

“Bagi komuniti perniagaan, implikasinya adalah ketara. Apabila kedaulatan undang-undang kelihatan tunduk kepada kepentingan politik, keyakinan pelabur dan kredibiliti institusi terjejas,” kata kumpulan-kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama.

Naib presiden itu merupakan calon utama untuk menggantikan Encik Marcos apabila penggal enam tahunnya tamat pada 2028.

Cik Duterte merupakan satu-satunya ahli politik Filipina yang didakwa dua kali. Pemecatan awalnya pada tahun 2025 akhirnya dibatalkan selepas mahkamah tertinggi membatalkan kes itu atas alasan prosedur. - Agensi berita