Topic followed successfully
Go to BHkuPerang ubah wajah Beirut, pesisir jadi tempat perlindungan terakhir
Perang ubah wajah Beirut, pesisir jadi tempat perlindungan terakhir
Perang ubah wajah Beirut, pesisir jadi tempat perlindungan terakhir
BEIRUT: Di sepanjang pesisir Beirut, Lebanon yang menghadap Laut Mediterranean, satu gambaran luar biasa sedang terbentuk iaitu penderitaan akibat perang bertembung dengan kehidupan harian dan kemewahan yang masih berterusan.
Ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel kini berlindung di sepanjang pesisir bandar.
Mereka berkongsi ruang dengan individu yang berlari-lari anak, berbasikal serta golongan berada yang meneruskan kehidupan seperti biasa.
Di satu sudut, khemah didirikan di tepi laut. Di sudut lain, restoran mewah dan pangsapuri elit terus dipenuhi pelanggan.
Perbezaan ketara itu mencerminkan realiti kompleks Lebanon hari ini. Perang bukan sahaja memusnahkan fizikal negara, bahkan turut menonjolkan jurang sosial yang kian melebar.
Encik Hussein Hame, 37 tahun, antara ribuan yang terpaksa meninggalkan rumahnya di Dahiya, kawasan selatan Beirut yang menjadi kubu Hezbollah.
Bersama isteri dan dua anaknya, beliau kini tinggal di khemah di pesisir laut.
“Kami memilih kawasan tepi laut kerana ia tenang. Tetapi perang ini mengejar anda ke mana-mana sahaja,” katanya.
Ketenangan yang dimaksudkan itu sering kali hanya sementara.
Dalam satu kejadian, suasana petang yang damai tiba-tiba bertukar tegang apabila satu serangan udara Israel menggegarkan kawasan berhampiran, memecahkan ilusi keselamatan yang cuba dibina oleh penduduk.
Sejak Mac, Israel melancarkan siri serangan ke atas Lebanon selepas Hezbollah menembak roket ke utara Israel susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Konflik itu telah memaksa lebih sejuta penduduk meninggalkan kediaman mereka, dengan lebih 1,000 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera.
Di pesisir Beirut, kesan kemanusiaan jelas kelihatan.
Khemah memenuhi laluan pejalan kaki, kereta dijadikan tempat berteduh, dan pakaian berselerak di kaki lima.
Kanak-kanak kecil menangis kerana lapar, manakala remaja berkeliaran tanpa arah selepas sekolah ditutup.
“Kami tidak ada tempat untuk mandi, tidak cukup makanan dengan keadaan malam sangat sejuk,” kata seorang wanita yang enggan dikenali.
Keadaan itu menjadi lebih sukar ketika Ramadan, apabila ramai penduduk berpuasa dalam keadaan serba kekurangan.
Namun, di sebalik penderitaan itu, kehidupan di pesisir itu tidak sepenuhnya terhenti.
Orang ramai masih bersenam seperti biasa, keluarga keluar bersiar-siar, dan pengunjung restoran menikmati makan malam dengan pemandangan laut.
Calon Doktor Falsafah (Phd) dari Universiti Edinburgh, Cik Vera Noon, melihat keadaan itu sebagai gambaran realiti manusia yang kompleks.
“Mereka tidak memilih perang ini.
“Setiap orang cuba bertahan dengan cara masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, laut menjadi tempat perlindungan terakhir bagi ramai penduduk.
“Laut memberi ketenangan. Ia satu-satunya ruang yang membolehkan mereka bernafas walaupun dalam keadaan tertekan,” jelasnya.
Fenomena itu bukan sesuatu yang baharu bagi Beirut.
Sejak beberapa dekad lalu, pesisir bandar itu kerap menjadi saksi kepada konflik.
Daripada serangan Israel pada 1970-an hingga perang saudara yang berakhir pada 1990, kawasan itu telah melalui pelbagai fasa kemusnahan dan pembangunan semula.
Namun, pembangunan pesat selepas perang, termasuk projek oleh syarikat Solidere, turut membawa kesan sampingan.
Kawasan pesisir yang sebelum ini terbuka kepada umum kini sebahagiannya dimonopoli oleh pembangunan swasta, menjadikan akses kepada laut semakin terhad bagi golongan biasa.
Walaupun begitu, rakyat Lebanon terus mempertahankan ruang tersebut melalui bantahan dan kempen bagi memastikan ia kekal sebagai kawasan awam.
Krisis demi krisis juga terus melanda negara itu.
Keruntuhan ekonomi pada 2019 mencetuskan bantahan besar-besaran, diikuti letupan pelabuhan Beirut pada 2020 yang memusnahkan sebahagian bandar.
Kini, perang sekali lagi memaksa penduduk kembali ke pesisir sebagai tempat perlindungan.
Namun, kali ini, keletihan jelas dirasai.
“Kami semua berada dalam keadaan ‘bala mokh’,” kata pemilik bar, Cik Gizelle Hassoun, 52 tahun, merujuk kepada istilah Arab yang menggambarkan keletihan mental yang melampau.
Jika sebelum ini beliau aktif membantu mangsa perang, kali ini beliau mengakui sudah kehabisan tenaga emosi.
“Mungkin kami sudah terlalu biasa dengan semua ini,” katanya.
Namun, tidak semua berkongsi keletihan yang sama.
Peniaga dari Dahiya, Encik Mohammed Ismail, masih menjadikan pesisir sebagai tempat mencari ketenangan.
“Saya datang ke sini untuk menghilangkan tekanan,” katanya sambil membaca Al-Quran di bawah sinar matahari.
Walaupun telah dua kali kehilangan tempat tinggal dalam tempoh kurang dua tahun, beliau berusaha meneruskan kehidupan seperti biasa.
Namun, realiti perang sentiasa menghantui.
Pada pertengahan Mac, serangan udara Israel melanda kawasan Ramlet al-Baida di pesisir, mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan puluhan yang lain.
Tidak lama sebelum itu, sebuah hotel di kawasan sama turut menjadi sasaran.
Bagi keluarga seperti Encik Hussein Hame, kehidupan kini berada di antara rasa takut dengan kelegaan.
“Malam itu, anak-anak saya panik apabila mendengar letupan. Saya terpaksa membawa mereka ke gereja untuk berlindung.
Namun keesokan harinya, anak-anaknya mahu kembali ke pesisir,” kongsinya.
Fenomena itu mencerminkan satu hakikat penting: walaupun berdepan risiko, penduduk di Lebanon tetap mencari ruang untuk meneruskan kehidupan.
Pesisir Beirut kini menjadi lambang pertembungan antara perang dengan kehidupan, antara kehilangan dengan kelangsungan.
Ia bukan sekadar lokasi geografi, malah, ruang sosial yang memperlihatkan bagaimana masyarakat bertahan dalam krisis.
Seperti yang diungkapkan Encik Hussein Hame, dalam nada yang mencerminkan keletihan dan realiti pahit: “Perang ini tidak pernah benar-benar meninggalkan kami.” – Agensi berita.

