RIYADH: Musim haji 2026 berlangsung dalam suasana jauh berbeza dari tahun sebelumnya apabila konflik geopolitik di Asia Barat mula memberi kesan langsung terhadap perjalanan jutaan umat Islam ke Tanah Suci.

Perang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran bukan sahaja mengubah landskap keselamatan rantau itu, malah, ia turut menggugat perjalanan udara, meningkatkan kos perjalanan dan memaksa sebahagian jemaah menggunakan laluan darat yang lebih panjang serta berisiko.

Bagi ramai umat Islam, perjalanan haji 2026 bukan lagi sekadar persiapan rohani dan kewangan, malah, perjalanan yang dibayangi ketakutan terhadap perang, ketidakstabilan ekonomi dan kemungkinan gangguan keselamatan di sepanjang laluan ke Makkah.

Di Sudan, konflik dalaman yang berpanjangan menjadikan impian menunaikan haji semakin sukar dicapai.

Cik Amona Mukhtar, 43 tahun, suri rumah yang kehilangan tempat tinggal akibat perang saudara Sudan, antara mereka yang berjaya menunaikan impian tersebut selepas bertahun menabung.

Beliau dipilih sebagai salah seorang daripada 900 anggota jemaah dari wilayah Sudan Utara untuk menunaikan haji.

Namun, kos perjalanan yang meningkat hampir dua kali ganda menyebabkan keluarganya terpaksa bergantung kepada bantuan masyarakat sekeliling.

Suami dan adiknya mengumpulkan wang simpanan, manakala jiran pula menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

“Kebanyakan orang tahun ini (2026) tidak mempunyai wang untuk menunaikan haji,” katanya.

“Masyarakat memutuskan setiap orang perlu membantu kerana tiada siapa lagi mampu menanggung kos itu seorang diri.”

Kos haji kini mencecah kira-kira 19 juta pound Sudan ($40,432) jumlah yang dianggap mustahil dicapai bagi ramai rakyat negara itu selepas perang menjejas gaji, menutup perniagaan dan menghancurkan ekonomi keluarga.

Kisah Cik Amona menggambarkan bagaimana ibadah haji kini semakin berkait rapat dengan pergolakan politik dan peperangan di rantau Asia Barat.

Perjalanan udara terganggu

Kesan paling jelas dapat dilihat pada sektor penerbangan.

Ketidakstabilan ruang udara di Asia Barat menyebabkan beberapa negara mula mengubah strategi penghantaran jemaah.

Pihak Berkuasa Haji dan Umrah Iraq secara rasmi mengumumkan penggunaan laluan darat untuk musim haji kali ini.

Ketua pihak berkuasa itu, Encik Sami al-Massoudi, berkata keputusan tersebut dibuat kerana risiko keselamatan penerbangan dan kenaikan harga tiket yang mendadak.

“Bergantung kepada perjalanan udara ketika konflik masih tidak menentu boleh menyebabkan rakyat Iraq kehilangan peluang menunaikan haji sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, pihak berkuasa bimbang ruang udara boleh ditutup secara tiba-tiba jika perang kembali memuncak ketika jemaah sedang dalam perjalanan.

Di Kurdistan Iraq, pemerintah wilayah itu menilai keadaan sebelum membuat keputusan akhir mengenai kaedah perjalanan jemaah.

Jurucakap Direktorat Haji dan Umrah Kurdistan, Encik Karwan Stwany, berkata keputusan dibuat berdasarkan perkembangan keselamatan semasa.

“Segalanya bergantung pada keadaan di lapangan dan kesannya terhadap penerbangan,” katanya.

Penganalisis politik antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat, Encik Reza Barjizadeh, berkata Kurdistan sendiri pernah menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron sepanjang konflik berlangsung.

Beliau menegaskan keputusan menggunakan laluan darat bukan tanda panik, tetapi langkah berjaga-jaga.

Namun bagi jemaah biasa, perjalanan darat melalui kawasan gurun dan sempadan berisiko tetap membawa cabaran besar, termasuk perjalanan lebih panjang, kos tambahan dan tekanan fizikal.

Satu lagi isu yang mendapat perhatian ialah pengurangan mendadak kuota haji Iran.

Bagi 2026, hanya sekitar 30,000 anggota jemaah Iran dibenarkan menunaikan haji berbanding kira-kira 90,000 pada 2025.

Pengurangan itu berlaku ketika ketegangan antara Teheran dengan Washington dan Tel Aviv terus memuncak.

Sebelum ini, timbul cadangan supaya penyertaan Iran dibatalkan sepenuhnya kerana kebimbangan keselamatan, namun, Arab Saudi dan Iran akhirnya mencapai tolak ansur.

Kebimbangan utama haji dipolitik

Ketua Jawatankuasa Haji Iran, Encik Ali Reza Rashidan, mengesahkan pihaknya mengadakan rundingan dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk memastikan perjalanan jemaah berjalan lancar.

Duta Iran ke Riyadh, Encik Ali Reza Enayati, turut mengumumkan ketibaan kumpulan pertama jemaah Iran di Arab Saudi.

Namun pemerhati politik memberi amaran sebarang peningkatan konflik boleh menjejas hubungan rapuh antara Riyadh dengan Teheran sepanjang musim haji.

Penganalisis politik Yaman, Encik Yassine al-Tamimi, berkata kebimbangan utama ialah kemungkinan haji dipolitikkan oleh pihak tertentu.

“Bahaya lebih besar ialah jika jemaah Iran digunakan untuk mencetuskan ketegangan, terutama jika ada kumpulan dari Iraq atau Lebanon yang cuba mengganggu kesucian haji,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Amerika dan Israel juga mempunyai kepentingan untuk mengelakkan musim haji daripada menjadi medan konflik politik terbuka.

Arab Saudi perketat kawalan

Dalam masa sama, Arab Saudi memperketat sistem pengurusan dan kemasukan jemaah menerusi pelaksanaan kad Nusuk yang kini diwajibkan kepada semua jemaah.

Kad digital itu perlu dimiliki sebelum visa haji diluluskan dan digunakan sepanjang perjalanan haji dari ketibaan hingga pulang.

Langkah tersebut diperluas ke beberapa negara termasuk Maghribi dan Yaman sebagai usaha membanteras pasaran gelap serta penyeludupan jemaah tanpa permit.

Pengusaha pengangkutan Yaman, Encik Osama al-Hajouri, berkata sebelum ini ramai jemaah menggunakan laluan tidak rasmi dan khidmat penyeludup untuk memasuki Arab Saudi.

“Ada yang melintasi sempadan secara tidak rasmi sebelum diseludup ke Makkah dari dalam Arab Saudi sendiri,” katanya.

Arab Saudi kini mengenakan denda sehingga 100,000 riyal ($34,139) terhadap individu yang memasuki Makkah tanpa permit sah.

Hukuman penjara dan pengusiran turut dikenakan terhadap pelanggar peraturan.

Pada masa sama, kos visa dan pakej haji juga meningkat ketara.

Visa haji kini berharga sekitar 2,300 riyal Saudi berbanding 2,000 riyal pada 2025.

Visa khas ‘visa ihsan’ yang diperoleh melalui hubungan tertentu pula dilaporkan mencecah AS$1,300 ($1,665), manakala pakej lengkap boleh mencecah AS$5,300.

Arab Saudi turut menggantung pembaharuan visa pelancong biasa bagi memastikan sistem haji tidak disalahgunakan.

Walaupun berdepan perang, kenaikan harga dan ketidaktentuan perjalanan, ramai umat Islam tetap berazam menunaikan haji.

Profesor Sains Politik, Universiti Kahirah, Dr Heba al-Bishbishy, berkata konflik sering meningkatkan semangat keagamaan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Amalan agama biasanya menjadi lebih kuat ketika konflik berlaku.

“Umat Islam tidak akan membenarkan Amerika dan Israel menjejaskan ibadah paling penting dalam Islam,” katanya.

Beliau turut menjangkakan jumlah anggota jemaah umrah akan meningkat selepas musim haji berakhir.

Bagi Cik Amona pula, segala kesusahan dan pengorbanan itu akhirnya membawa beliau ke Tanah Suci.

Dalam diam, beliau telah menghadiri kursus haji dan melengkapkan vaksinasi demam kuning, influenza serta meningitis.

Namun, jauh di sudut hati, beliau masih sukar mempercayai impian itu benar-benar menjadi kenyataan.

“Setiap kali saya duduk bersendirian, saya bertanya kepada diri sendiri… betulkah saya akhirnya pergi menunaikan haji?” katanya. – Agensi berita.