Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengiktirafan Trump tingkatkan profil Islamabad di dalam gencatan senjata AS-Iran
Pengiktirafan Trump tingkatkan profil Islamabad di dalam gencatan senjata AS-Iran
Pengiktirafan Trump tingkatkan profil Islamabad di dalam gencatan senjata AS-Iran
ISLAMABAD: Keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk melanjutkan gencatan senjata dengan Iran tanpa had masa bukan sekadar langkah taktikal ketenteraan, tetapi turut mencerminkan perubahan penting dalam landskap diplomasi global.
Dalam kenyataannya, Encik Trump secara terbuka mengiktiraf peranan kepimpinan Pakistan, khususnya Perdana Menteri Encik Shehbaz Sharif dan Panglima Tentera Pakistan, Marsyal Syed Asim Munir dalam mendorong keputusan tersebut.
“Berdasarkan permintaan Marsyal Asim Munir dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif, kami bersetuju menangguhkan serangan ke atas Iran sehingga cadangan damai dapat dikemukakan,” kata Encik Trump.
Pengiktirafan ini dilihat sebagai satu kejayaan besar bagi Pakistan, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan ketidakstabilan dalaman, namun kini tampil sebagai pengantara utama dalam konflik geopolitik yang kompleks.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pakistan berusaha mengubah imejnya daripada negara yang bergelut dengan isu keselamatan dan ekonomi kepada pemain diplomatik yang relevan.
Peranan sebagai pengantara antara Amerika Syarikat dan Iran memberi peluang kepada Islamabad untuk membuktikan keupayaannya sebagai kuasa pertengahan yang berpengaruh.
Seorang diplomat Pakistan, Encik Ali Sarwar Naqvi, menegaskan bahawa kedudukan strategik Pakistan memainkan peranan penting. “Pakistan mempunyai kepercayaan daripada semua anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta hubungan baik dengan Iran,” katanya.
Ini membolehkan Islamabad berfungsi sebagai jambatan antara pihak yang saling tidak mempercayai, terutama apabila lokasi rundingan tradisional seperti Geneva atau Vienna tidak lagi dianggap neutral oleh Teheran.
Di sebalik peranan sebagai pengantara, terdapat kepentingan ekonomi yang jelas mendorong Pakistan untuk terlibat secara aktif dalam rundingan damai.
Ketidakstabilan di Asia Barat memberi kesan langsung kepada ekonomi Pakistan yang sangat bergantung kepada import tenaga dari rantau Teluk.
Menurut laporan oleh Institut Pembangunan Ekonomi Pakistan (PIDE) kenaikan harga minyak akan meningkatkan tekanan inflasi dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara itu.
“Kenaikan harga tenaga boleh meningkatkan kos pengeluaran industri dan melemahkan keyakinan perniagaan,” menurut laporan tersebut.
Penutupan Selat Hormuz pula boleh memburukkan lagi keadaan dengan menjejaskan rantaian bekalan global dan meningkatkan defisit perdagangan.
Dalam konteks ini, usaha Pakistan meredakan konflik bukan sahaja bersifat diplomatik, tetapi juga langkah strategik untuk melindungi kepentingan ekonominya.
Penglibatan aktif dalam rundingan damai juga membuka ruang kepada Pakistan untuk meningkatkan profil antarabangsa dan menarik pelaburan asing.
Sejak kebelakangan ini, negara itu berdepan cabaran ekonomi termasuk kekurangan tenaga, tekanan mata wang dan kebergantungan kepada pinjaman luar.
Namun, kejayaan dalam peranan diplomatik boleh mengubah persepsi global terhadap Pakistan.
Seorang penganalisis berkata kejayaan ini berpotensi memberi kesan jangka panjang. “Jika Pakistan berjaya membantu menamatkan konflik, ia akan meningkatkan kredibiliti dan membuka peluang ekonomi baharu,” katanya.
Di bawah kepimpinan Marsyal Munir, Pakistan juga dilaporkan telah mengukuhkan hubungan ekonomi dengan Amerika Syarikat, termasuk beberapa perjanjian strategik.
Namun, peranan sebagai pengantara turut membawa risiko.
Sekiranya rundingan damai gagal atau konflik kembali memuncak, Pakistan berisiko dipersalahkan oleh pihak tertentu.
Selain itu, terdapat juga kritikan dalaman yang mempersoalkan sama ada Islamabad benar-benar bertindak secara neutral atau sekadar menyokong kepentingan Washington.
Seorang pemerhati memberi amaran mengenai persepsi ini. “Jika dilihat terlalu berpihak kepada Amerika, ia boleh menjejaskan sokongan domestik dan hubungan dengan Iran,” katanya.
Peranan dominan Marsyal Munir dalam usaha diplomatik turut menonjolkan pengaruh besar tentera dalam struktur kuasa Pakistan. Ini mencerminkan sifat “hibrid” sistem politik negara itu, di mana tentera memainkan peranan penting dalam dasar luar.
Namun, peningkatan pengaruh tentera juga menimbulkan persoalan terhadap masa depan demokrasi Pakistan serta hubungan serantau, termasuk dengan India.
Penganalisis berkata situasi ini perlu diperhatikan dengan teliti. “Pengukuhan peranan tentera dalam diplomasi boleh memberi kesan jangka panjang terhadap keseimbangan kuasa dalam negara,” katanya.
Penganalisi melihat peranan Pakistan dalam gencatan senjata Amerika-Iran menunjukkan bagaimana negara itu memanfaatkan peluang geopolitik untuk meningkatkan kedudukannya di peringkat global.
Namun, di sebalik kejayaan diplomatik ini, terdapat kepentingan ekonomi dan politik yang lebih besar yang sedang dipertaruhkan.
Seperti yang dirumuskan oleh seorang penganalisis: “Pakistan bukan sekadar mencari keamanan, tetapi juga mencari tempatnya dalam susunan dunia baharu.”
Persoalannya kini sama ada Islamabad mampu mengekalkan keseimbangan antara peranan sebagai pengantara dan kepentingan nasionalnya dalam jangka panjang. - Agensi berita
