SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

PBB: Serangan penduduk haram Israel di Tebing Barat membimbangkan

PBB: Serangan penduduk haram Israel di Tebing Barat membimbangkan

Mar 25, 2026 | 2:06 PM

PBB: Serangan penduduk haram Israel di Tebing Barat membimbangkan

peneroka israel
Penduduk haram Israel dilaporkan membakar rumah dan kenderaan milik penduduk Palestin di Deir al-Hatab, sebuah perkampungan di timur kota Nablus, Tebing Barat, pada 23 Mac. - Foto AFP

RAMALLAH: Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa keganasan oleh penduduk haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang didudukinya telah mencapai “kadar membimbangkan”.

Keadaan ini berlaku di tengah-tengah perluasan petempatan haram Israel yang berterusan di wilayah Palestin itu.

“Serangan harian berkaitan penduduk haram meningkat, selalunya dengan kehadiran tentera Israel, mengakibatkan korban, kerosakan harta benda dan perpindahan penduduk Palestin di seluruh Tebing Barat yang diduduki Israel,” kata Encik Ramiz Alakbarov, timbalan penyelaras khas untuk Proses Keamanan Timur Tengah, kepada Majlis Keselamatan PBB pada 24 Mac.

Meliputi tempoh dari 3 Disember 2025 hingga 13 Mac 2026, Encik Alakbarov berkata pihak berkuasa Israel “memajukan atau meluluskan” lebih 6,000 unit rumah di Tebing Barat yang didudukinya, termasuk kira-kira 3,160 unit di Kawasan C dan 2,850 di Baitulmakdis Timur.

Beliau mengutuk apa yang digambarkannya sebagai “perluasan petempatan Israel yang tidak henti-henti di Tebing Barat, yang terus mencetuskan ketegangan, menghalang akses rakyat Palestin ke tanah mereka, dan mengancam daya maju Negara Palestin yang merdeka sepenuhnya dan bersebelahan.”

Encik Alakbarov melaporkan rakyat Palestin menghadapi perpindahan, perobohan, pengusiran, dan sekatan pergerakan yang lebih luas.

“Perobohan dan penyitaan struktur Palestin melibatkan banyak pelanggaran hak asasi manusia dan menimbulkan kebimbangan tentang risiko pemindahan paksa,” katanya.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap nasib sejumlah besar rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, yang ditahan Israel, termasuk dalam tahanan pentadbiran tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Menurutnya, laporan penyeksaan, layanan buruk, termasuk keganasan seksual, dan kematian dalam tahanan “sangat membimbangkan.”

Mengenai Gaza, Encik Alakbarov berkata gencatan senjata kekal “sangat rapuh,” dengan serangan udara Israel, tembakan, dan bedilan berterusan di seluruh wilayah yang kini bak padang jarak padang terkukur itu.

Beliau berkata kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin yang telah kehilangan tempat tinggal, kini berlindung di 1,200 lokasi, kebanyakannya dalam keadaan sesak dan tidak selamat, dan hanya bahan api dan bantuan kemanusiaan yang terhad telah memasuki Gaza melalui Karem Shalom sejak pertengahan Mac.

Justeru, Encik Alakbarov menyeru Israel supaya segera menghentikan pemotongan hasil pendapatan Palestin kerana “langkah-langkah ekonomi dan fiskal yang menghukum” itu mengganggu kestabilan institusi Palestin dan mengancam daya maju Penguasa Palestin. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg