Topic followed successfully
Go to BHkuNew Zealand akan laksana dasar jantina IOC baru dengan ‘penuh hormat dan prihatin’
New Zealand akan laksana dasar jantina IOC baru dengan ‘penuh hormat dan prihatin’
Mahu pastikan kelayakan untuk kategori wanita di peringkat Olimpik lebih jelas, konsisten dan adil
New Zealand akan laksana dasar jantina IOC baru dengan ‘penuh hormat dan prihatin’
SYDNEY: Jawatankuasa Olimpik New Zealand (NZOC) pada 27 Mac mengiktiraf bahawa banyak usaha yang dicurahkan dalam membangunkan dasar Olimpik baru mengenai perlindungan kategori wanita dalam sukan elit, dan berkata ia akan melaksanakannya dengan “penuh hormat dan prihatin”.
Dasar itu, yang didedahkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 26 Mac, memperkenalkan ujian gen yang secara berkesan akan menghalang atlet transjantina dan sesetengah mereka yang mempunyai Perbezaan dalam Perkembangan Seksual (DSD) daripada bersaing dalam kategori wanita di Sukan Olimpik.
Atlet angkat berat New Zealand, Laurel Hubbard, yang pada Sukan Olimpik Tokyo 2021 menjadi atlet pertama yang bersaing dalam kategori jantina yang berbeza daripada jantina semasa kelahirannya, tidak lagi layak untuk bertanding.
“Kami mengiktiraf usaha perundingan yang menyeluruh dan pandangan pakar yang telah membentuk dasar ini... bagi memastikan kelayakan untuk kategori wanita di peringkat Olimpik lebih jelas, konsisten dan adil,” kata ketua eksekutif NZOC, Nicki Nicol, dalam satu kenyataan.
“Tumpuan kami sekarang adalah untuk memahami dasar ini sepenuhnya dan bekerja dengan teliti... untuk memastikan sebarang langkah seterusnya didekati dengan pemahaman yang jelas, rasa hormat dan prihatin.
“Ini adalah bidang yang kompleks dan sensitif yang memberi kesan secara langsung kepada manusia, bukan sekadar dasar. Kami komited untuk menunjukkan Manaaki (belas ihsan) dengan menyokong kesejahteraan, privasi dan maruah atlet.”
Kumpulan kerja IOC, yang penyelidikannya menjadi asas kepada dasar itu, mendapati bukti saintifik menunjukkan kelebihan prestasi lelaki dalam semua sukan dan melebihi 100 peratus dalam acara yang melibatkan kuasa ‘ledakan’ seperti angkat berat.
Selain itu, mereka mendapati tiada “bukti semasa bahawa penindasan testosteron atau rawatan hormon pengesahan jantina menghapuskan kelebihan ini”.
Penentang dasar itu mempertikaikan sains tersebut, mempunyai kebimbangan mengenai kesihatan mental atlet transjantina serta perlindungan dan kesan ke atas atlet yang mendapati mereka mempunyai DSD hanya selepas menjalani ujian genetik SRY.
Kumpulan hak sukan lesbian, gay, biseksual, transjantina (LGBT) Australia, Pride Cup, pada 27 Mac menyeru persekutuan sukan kebangsaan negara itu, yang kebanyakannya komited kepada kemasukan atlet pelbagai jantina, untuk menolak dasar baru itu.
“(Ia mengalihkan) fokus sukan wanita kepada pengecualian dengan mencadangkan ujian genetik dan peraturan kelayakan yang lebih ketat yang tidak berbuat apa-apa untuk memperbaiki keadaan wanita dalam sukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC), bagaimanapun, mengakui dasar baru itu dan “keadilan dan kepastian” yang diberikannya kepada atlet wanita elit.
“Keputusan ini akan mencabar bagi sesetengah atlet dan (kami) mengambil berat tentang kebajikan dan kesejahteraan mereka,” kata presiden AOC, Ian Chesterman.
“Kami juga mengakui bahawa keputusan ini tidak terpakai kepada mana-mana program sukan akar umbi atau riadah.” – Reuters.

