MANAMA (Bahrain): Negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengecam keras serangan peluru berpandu dan dron Iran terhadap Bahrain, Kuwait dan Jordan sambil memberi amaran, tindakan agresif Teheran hanya akan membawa kepada “pengasingan lebih besar” di rantau itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas mesyuarat menteri ke-167 GCC di Manama, Bahrain, pada 10 Jun, ketika ketegangan serantau terus memuncak walaupun gencatan senjata rapuh antara Iran dengan Amerika Syarikat masih berkuat kuasa sejak April lalu.

Dalam kenyataan itu, GCC menyifatkan tindakan Iran sebagai “permusuhan” yang tidak membantu usaha persefahaman dan perdamaian di rantau Teluk.

“Tindakan agresif tidak membina hubungan, dan ugutan tidak mewujudkan kestabilan,” menurut kenyataan itu.

Majlis itu berkata serangan Iran hanya akan “menjauhkan rakyat antara satu sama lain, meruntuhkan asas kepercayaan, menyemai perpecahan dan menutup ruang dialog” yang selama ini diperjuangkan negara Teluk.

GCC turut mempersoalkan bagaimana hubungan masa depan dengan Iran boleh dibina sekiranya serangan sedemikian terus dilakukan.

“Kepada pihak yang melancarkan serangan iaitu Iran, bagaimana hubungan masa depan dapat dibina sedangkan serangan seperti ini masih giat diteruskan?” menurut kenyataan itu lagi.

Menteri luar negara anggota GCC turut memberi amaran bahawa jika Iran terus mengekalkan pendekatan agresif, negara itu hanya akan berdepan pengasingan lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa.

Bagaimanapun, GCC menegaskan pintu dialog masih terbuka sekiranya Iran memilih “jalan kebijaksanaan dan semangat kejiranan yang baik”.

Mesyuarat itu berlangsung hanya beberapa jam selepas Bahrain mendakwa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan sejumlah peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Iran pada awal pagi 10 Jun.

Pemerintah Bahrain menyifatkan serangan itu sebagai “khianat”, manakala tentera Kuwait turut mengesahkan negara itu dapat memintas beberapa objek udara yang dianggap ancaman.

Kementerian Luar Kuwait kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam “serangan berulang Iran” terhadap negara itu.

GCC menyifatkan serangan terhadap Bahrain, Kuwait dan Jordan sebagai “serangan terang-terangan” terhadap kedaulatan negara terbabit, keselamatan rakyat serta integriti wilayah masing-masing.

Majlis itu berkata tindakan Iran jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip hubungan kejiranan yang baik.

GCC turut menegaskan, keselamatan negara anggotanya tidak boleh dipisahkan dan sebarang serangan terhadap satu anggota dianggap serangan terhadap semua negara anggota.

“Keselamatan negara GCC adalah tidak boleh dibahagikan,” menurut kenyataan itu.

Majlis berkenaan turut mengesahkan hak sah negara anggota untuk mempertahankan diri secara individu atau kolektif berdasarkan Artikel 51 Piagam PBB, termasuk bertindak balas terhadap serangan menggunakan semua kaedah yang dibenarkan undang-undang antarabangsa.

Dalam masa yang sama, GCC cuba menenangkan kebimbangan rakyat dan penduduk negara Teluk dengan menegaskan bahawa sistem pertahanan udara bersama rantau itu berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.

GCC turut menegaskan bahawa serangan berterusan tidak akan melemahkan negara Teluk, malah akan mengukuhkan perpaduan dan keteguhan rakyat rantau itu.

Majlis itu turut menyalahkan Iran sepenuhnya terhadap “kesan berbahaya” serangan tersebut ke atas keselamatan serantau, laluan perkapalan antarabangsa dan bekalan tenaga global.

Ia menggesa Iran menghentikan segera semua serangan terhadap negara GCC, kepentingan mereka serta rakyat awam.

GCC juga menyeru Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan tegas dengan mengutuk serangan tersebut dan memastikan pihak bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.

Kementerian Luar Iran mempertahankan tindakannya dengan berkata negara Teluk bertanggungjawab menghalang serangan Amerika terhadap Iran daripada dilancarkan dari wilayah mereka.

Teheran turut memberi amaran bahawa ia tidak akan teragak-agak menyasarkan pangkalan tentera yang digunakan untuk menyerang Iran.

Kebanyakan negara Teluk, kecuali Bahrain, sebelum ini menafikan mereka membenarkan wilayah masing-masing digunakan untuk melancarkan serangan Amerika terhadap Iran.

Namun Presiden Amerika, Encik Donald Trump, beberapa kali mendakwa negara Teluk termasuk Kuwait, Bahrain, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) membantu operasi Washington.

Walaupun mengecam keras Iran, menteri luar GCC menegaskan mereka masih membuka ruang untuk penyelesaian diplomatik.

“Pintu persefahaman tetap terbuka bagi mereka yang memilih bahasa kebijaksanaan dan semangat kejiranan yang baik,” menurut kenyataan bersama itu. – Agensi berita.