SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Negara Arab, Islam kecam sekatan Israel ke atas gereja, masjid di Baitulmakdis

Negara Arab, Islam kecam sekatan Israel ke atas gereja, masjid di Baitulmakdis

Mar 31, 2026 | 1:53 PM

Negara Arab, Islam kecam sekatan Israel ke atas gereja, masjid di Baitulmakdis

Pasukan keselamatan Israel berkawal ketika jemaah Muslim berkumpul di luar tembok Kota Lama Baitulmakdis pada 20 Mac.
Pasukan keselamatan Israel berkawal ketika jemaah Muslim berkumpul di luar tembok Kota Lama Baitulmakdis pada 20 Mac. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Beberapa negara Arab dan Islam pada 30 Mac mengecam tindakan Israel mengenakan sekatan terhadap jemaah Muslim dan Kristian di Baitulmakdis, termasuk menghalang akses ke tempat ibadat utama seperti Masjid Al-Aqsa dan Gereja Makam Suci (Holy Sepulcher).

Dalam satu kenyataan bersama, negara termasuk Arab Saudi, Mesir, Jordan, Pakistan, Indonesia, Turkey, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

“Langkah berterusan Israel ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan, serta mencabul hak kebebasan beribadat,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Israel telah menutup pintu Masjid Al-Aqsa kepada jemaah selama 30 hari berturut-turut, termasuk sepanjang bulan Ramadan.

Pasukan keselamatan Israel dilaporkan dikerah secara besar-besaran di sekitar Kota Lama, dengan semua laluan menuju ke masjid disekat.

Negara-negara Arab dan Islam turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengambil pendirian tegas bagi menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai pencabulan berterusan terhadap kebebasan beragama.

Saksi memaklumkan bahawa jemaah Palestin bukan sahaja dihalang memasuki kawasan masjid, malah tidak dibenarkan menunaikan solat di jalan berhampiran tembok Kota Lama.

Sejak penutupan itu, hanya pengawal masjid dan kakitangan Jabatan Wakaf Islam dibenarkan berada di dalam kawasan Al-Aqsa.

Sekatan tidak terhad kepada umat Islam sahaja.

Polis Israel dilaporkan menghalang Kardinal Pierbattista Pizzaballa, Patriark Latin Baitulmakdis, daripada memasuki Gereja Makam Suci bagi meraikan Misa Ahad Palma, sekali gus mencetuskan kecaman meluas daripada pemimpin dunia dan masyarakat Kristian antarabangsa.

Gereja Katolik dalam kenyataan pada 29 Mac memaklumkan bahawa Kardinal Pizzaballa dan Francesco Ielpo, Penjaga Rasmi Gereja Makam Suci, telah dihalang daripada memasuki gereja berkenaan.

Ini merupakan kali pertama dalam tempoh berabad-abad, ketua gereja tidak dapat meraikan Misa Ahad Palma di salah satu tapak paling suci dalam kepercayaan Kristian.

“Kejadian ini menjadi satu titik perubahan serius dan mengabaikan sensitiviti berbilion penganut Kristian di seluruh dunia yang pada minggu ini menumpukan perhatian kepada Baitulmakdis,” kata kenyataan itu.

Polis Israel pula menjelaskan bahawa semua tapak suci di Baitulmakdis ditutup atas faktor keselamatan susulan perang antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran.

Dalam kenyataan kepada agensi berita AFP, polis Israel berkata permohonan Kardinal Pizzaballa untuk memimpin misa Ahad Palma, yang menandakan permulaan Minggu Suci Kristian sehingga Easter, tidak dapat diluluskan atas sebab keselamatan.

“Kawasan Kota Lama dan tapak-tapak suci merupakan kawasan yang kompleks serta tidak membenarkan akses untuk kenderaan kecemasan dan penyelamat berskala besar, sekali gus menimbulkan risiko sebenar terhadap nyawa manusia sekiranya berlaku kejadian melibatkan ramai mangsa,” ujar kenyataan polis.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula menyatakan bahawa penghalangan tersebut dibuat atas “keprihatinan khas terhadap keselamatan” Kardinal Pizzaballa, memandangkan tapak-tapak suci di Baitulmakdis didakwa berulang kali menjadi sasaran ancaman Iran.

Bagaimanapun, pemerintah Israel memberi jaminan rancangan sedang dirangka bagi membolehkan pemimpin gereja menjalankan ibadat mereka di tapak berkenaan dalam tempoh Minggu Suci.

Gereja Katolik bagaimanapun menyifatkan tindakan menghalang Kardinal Pizzaballa dan Ielpo sebagai “langkah yang jelas tidak munasabah dan amat tidak seimbang”, serta satu pencabulan terhadap kebebasan beragama dan status quo tapak suci.

Kejadian itu mendapat kecaman antarabangsa.

Duta Amerika ke Israel, Encik Mike Huckabee, menyifatkannya sebagai “tindakan melampau yang malang” dan sukar untuk difahami, khususnya apabila had perhimpunan awam ketika itu hanya melibatkan empat wakil gereja.

Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni, menganggap kejadian berkenaan sebagai satu penghinaan bukan sahaja terhadap penganut Kristian, malah, terhadap semua masyarakat yang menghormati kebebasan beragama.

Menteri Luar Italy, Encik Antonio Tajani, turut memanggil duta Israel bagi mendapatkan penjelasan rasmi.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menegaskan bahawa kebebasan beribadat untuk semua agama mesti dijamin di Baitulmakdis.

Nada sama turut disuarakan oleh diplomat tertinggi Kesatuan Eropah, Cik Kaja Kallas, serta Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, yang menyifatkan tindakan itu sebagai serangan tidak berasas terhadap kebebasan beragama dan undang-undang antarabangsa.

Israel mempertahankan langkah tersebut dengan alasan keselamatan, susulan konflik serantau yang tercetus sejak 28 Februari.

Sejak itu, semua perhimpunan awam termasuk di masjid, gereja dan rumah ibadat lain dihadkan kepada sekitar 50 orang.

Perarakan Ahad Palma yang lazimnya menarik ribuan anggota jemaah dari Bukit Zaitun ke Baitulmakdis juga dibatalkan.

Namun, pihak gereja menegaskan bahawa mereka telah mematuhi semua sekatan sejak awal konflik.

“Menghalang kemasukan Kardinal dan penjaga tempat suci adalah tindakan yang tidak munasabah dan tidak seimbang,” tambah kenyataan itu. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg